Tuesday 28 July 2015

Dr M patut sertai gabungan 'Selamatkan Malaysia'- Malaysiakini



Selepas pertelingkahan berdekad-dekad, pemimpin popular DAP Lim Kit Siang Siang kini berpaling kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mencadangkan Mahathir dan dua bekas timbalannya Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Musa Hitam bersama dalam gabungan besar baru “Selamatkan Malaysia” bagi berdepan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Lim, ketua anggota parlimen DAP, berkata kemelut 1MDB tidak harus dibiarkan memusnahkan negara ini.

“Kini tiba masanya pemimpin politik, tidak kira parti, bangsa, agama, umur atau gender mengetepikan perbezaan dan bersama-sama merangka dan melaksanakan rangka dasar 'Selamatkan Malaysia'.

“DAP dan semua parti politik yang progresif bersedia menyahut seruan 'Selamatkan Malaysia',” katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur.

Ditanya siapa patut terlibat sama, Lim menyebut “tiga Tun”, iaitu Mahathir, Abdullah dan Musa, barisan progresif daripada kedua-dua pihak atau bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lim bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan berkata belum menyatakan perkara itu kepada Mahathir dan pemimpin-pemimpin lain.

PAC: K'jaan gagal kesan Jho Low- Malaysiakini



Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Kementerian Kewangan masih belum berjaya mengesan jutawan Low Taek Jho.

Katanya, Kementerian Kewangan mencari jutawan itu bagi mengemukakan surat untuk memaksa Low hadir ke pendengaran PAC berkenaan kes 1MDB pada 8 September.

“Kami tidak tahu di mana dia berada. Kami perlu mencarinya dahulu. Kami sudah meminta Kementerian Kewangan mencarinya.

“Jika mereka tidak tahu di mana dia berada, bagaimana mereka dapat serah surat?,” kata Nur Jazlan ketika dihubungi Malaysiakini.

MP Pulai itu berharap, laporan media yang meluas dalam kes ini akan membolehkan Jho Low mengetahui mengenai hasrat PAC dan hadir ke pendengaran tersebut untuk menjelaskan mengenai isu 1MDB.

"Beliau pastinya mengetahui mengenai perkara ini melalui laporan media dua hari lalu, beliau sepatutnya datang dengan sukarela untuk memberi penjelasan,” katanya.

PAC memutuskan untuk memanggil Low sebagai saksi susulan laporan awal oleh Ketua Audit Negara ke atas 1MDB, yang dikemukakan kepada PAC pada 9 Julai.

Selain Low, kerajaan juga mencari dua lagi bekas pengarah pelaburan 1MDB, Jasmine Looi dan Casey Tang.

Edge mohon semakan kehakiman- MALAYSIAKINI


Edge Media Group telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan semakan kehakiman terhadap keputusan Kementerian Dalam Negeri menggantung dua penerbitannya.

Dalam satu kenyataan media ringkas, Edge Media Group berkata permohonan itu telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melalui peguamnya, Raja, Darryl & Loh.

Menurutnya, pihaknya juga telah meminta agar permohonan itu didengar pada kadar yang segera.

"Kami tidak dapat memberikan salinan afidavit permohonan kami sehingga kes ini didengar," katanya.

Jumaat lepas, Kementerian Dalam Negeri menggantung selama tiga bulan, berkuat kuasa hari ini, permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily.