Tuesday, 28 July 2015

PAC: K'jaan gagal kesan Jho Low- Malaysiakini



Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Kementerian Kewangan masih belum berjaya mengesan jutawan Low Taek Jho.

Katanya, Kementerian Kewangan mencari jutawan itu bagi mengemukakan surat untuk memaksa Low hadir ke pendengaran PAC berkenaan kes 1MDB pada 8 September.

“Kami tidak tahu di mana dia berada. Kami perlu mencarinya dahulu. Kami sudah meminta Kementerian Kewangan mencarinya.

“Jika mereka tidak tahu di mana dia berada, bagaimana mereka dapat serah surat?,” kata Nur Jazlan ketika dihubungi Malaysiakini.

MP Pulai itu berharap, laporan media yang meluas dalam kes ini akan membolehkan Jho Low mengetahui mengenai hasrat PAC dan hadir ke pendengaran tersebut untuk menjelaskan mengenai isu 1MDB.

"Beliau pastinya mengetahui mengenai perkara ini melalui laporan media dua hari lalu, beliau sepatutnya datang dengan sukarela untuk memberi penjelasan,” katanya.

PAC memutuskan untuk memanggil Low sebagai saksi susulan laporan awal oleh Ketua Audit Negara ke atas 1MDB, yang dikemukakan kepada PAC pada 9 Julai.

Selain Low, kerajaan juga mencari dua lagi bekas pengarah pelaburan 1MDB, Jasmine Looi dan Casey Tang.

No comments:

Post a Comment