Isnin Februari 24, 2014
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menahan 170 pendatang tanpa izin termasuk empat kanak-kanak atas pelbagai kesalahan dalam Ops Bersepadu 6P selama tiga jam di sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di sini, Ahad.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan) Datuk Sakib Kusmi berkata pendatang tanpa izin yang ditahan dalam operasi bermula dari pukul 12 tengah hari itu terdiri daripada 70 warga Bangladesh, 60 warga Myanmar, 20 warga Indonesia dan 20 warga negara lain.
Antara kesalahan yang dilakukan oleh 120 pendatang asing lelaki, 46 wanita dan empat kanak-kanak itu ialah tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal melebihi masa, dokumen palsu dan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang tidak diiktiraf serta kesalahan yang melanggar Akta Imigresen, katanya.