Friday 10 January 2014

Keputusan Kes Hasutan Karpal Singh 21 Feb

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 21 Februari depan untuk memutuskan kes peguam Karpal Singh yang didakwa mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak di firma guamannya di Jalan Pudu Lama di sini pada 6 Februari 2009.
Hakim, Datuk Azman Abdullah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Gobind Singh Deo dan Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin di akhir kes pembelaan.
Karpal, 73, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar dan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir oleh Sultan Perak boleh dipersoal di mahkamah.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Karpal daripada pertuduhan itu pada 11 Jun 2010, bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 20 Januari 2012 memerintahkan peguam berkenaan membela diri selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Terdahulu, Gobind berkata, kenyataan Karpal dalam sidang akhbar di firma guamannya pada 6 Feb 2009 dibuat secara ikhlas dan disokong undang-undang kes.
Beliau berkata, Karpal tidak mempersoal kuasa budi bicara atau prerogatif Sultan Azlan Shah tetapi cara pemerintah itu mengendalikan krisis politik di Perak.
"Karpal, dalam kenyataan media beliau menegaskan bahawa Sultan Perak mempunyai kuasa untuk bertindak di bawah Perkara 16(6) perlembagaan negeri berkenaan sekiranya Menteri Besar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun).
"Bagaimanapun, sebelum membuat keputusan itu, tertuduh menegaskan bahawa perkara pertama yang perlu ditentukan ialah kesahihan peletakan jawatan tiga Adun terbabit, iaitu isu yang perlu diputuskan oleh dewan undangan negeri dan bukan Sultan sendiri mengikut Perkara 33(1) Perlembagaan Negeri Perak," katanya.
Sementara itu, Noorin berkata Karpal melakukan kesalahan dengan melafazkanperkataan yang berkecenderungan menghasut seperti termaktub di bawah Seksyen 3 Akta Hasutan.
"Kami menghujahkan bahawa Karpal bukan memberi pendapat undang-undang tetapi sebaliknya menunjukkan perasaan marah apabila meneliti pernyataannya secara keseluruhan, susulan Sultan melantik seorang menteri besar baharu bukan dari parti komponen pakatan rakyat," katanya.
Beliau berkata, kata-kata Karpal secara ketara melanggar garis pemisah antara kritikan yang sah dengan hasutan, yang mana beliau seharusnya lebih berhati-hati sebagai seorang peguam kanan dan pemimpin pembangkang. - BERNAMA

Anwar Ibrahim, Lima Yang Lain Dilepas Tanpa Bebas Tuduhan Bersih 3.0

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lima yang lain dilepaskan tanpa dibebaskan berhubung penglibatan dalam Bersih 3.0.
Hakim mahkamah sesyen, Ahmad Bache, yang mendapati bahawa tuduhan itu adalah cacat, yang mengetepikan permohonan pihak pendakwaan untuk meneruskan perbicaraan.
Ini selepas keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari untuk mengetepikan arahan Majistret Zaki Asyraf yang mengeluarkan perintah melarang sebarang perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka antara 28 April dan 1 Mei 2012.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh tiga panel yang diketuai oleh Hakim Linton Albert yang mempersoalkan mengenai asas dakwaan terhadap mereka yang didakwa terlibat dalam perhimpunan bersih, kerana dakwaan dibuat dalam arahan majistret.
Pada 22 Mei 2012, Anwar, 65, dituduh secara bersama-sama dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, 49, dan Ketua PKR Rembau, Badrul Hisham, 35, menyertai protes jalanan di lokasi itu pada 28 April tahun yang sama, yang didakwa telah mencetuskan huru-hara di ibu negara.
Ketiga-tiga mereka turut menghadapi pertuduhan kedua iaitu bersubahat dengan Tangam Raju, Rajesh Kumar dan Farhan Ibrahim dengan cara menghasut mereka untuk mengalih penghadang besi di Jalan Raja pada hari yang sama.

Keputusan Bantahan Awal Petisyen DUN Lubok Merbau 16 Januari Ini

IPOH: Mahkamah Pilihan Raya di sini menetapkan 16 Januari bagi keputusan bantahan awal petisyen yang difailkan seorang pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubok Merbau untuk membatalkan keputusan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Hakim Abdul Rahman Sebli menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pihak responden.
"Saya memerlukan masa untuk menimbang hujahan responden dan bantahan oleh pempetisyen mengenai isu Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke yang mewakili responden kedua iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.
Pada prosiding hari ini, pempetisyen, Mohd Ridzuan Asit, yang duduk di galeri awam bangun membangkitkan isu berhubung notis pelantikan Alice kerana didakwa tidak mematuhi peruntukan Kaedah 34, Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.
"Mengikut kaedah 34, Alice tidak layak mewakili SPR kerana notis pelantikan bagi SPR ditandatangani oleh individu lain (Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan) bukan Alice," kata Mohd Ridzuan.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Norazmi Narawi yang mewakili SPR berkata merujuk kepada Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan, SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang berkuasa untuk mengadakan pilihan raya umum ke atas Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.
"Kaedah 34 tidak terpakai untuk peguam persekutuan sebaliknya hanya terpakai untuk peguam bela bagi suatu firma guaman kerana peguam persekutuan terikat dengan Akta Prosiding Kerajaan," katanya.
Anggota Dewan Undangan Negeri Lubok Merbau Datuk Siti Salmah Mat Jusak selaku responden pertama diwakili peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad dan Abu Bakar As Sidiq, manakala SPR selaku responden kedua diwakili Norazmi dan Alice.
Pada 23 Disember lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh dan DUN Lubok Merbau diremit semula ke mahkamah pilihan raya untuk mendengar merit kes selepas membenarkan rayuan petisyen pilihan raya yang difailkan pembangkang.
Pada PRU-13, Siti Salmah, calon Barisan Nasional, mengalahkan calon PAS Mohd Zainudin Mohd Yusof dengan majoriti 53 undi bagi kerusi itu. - BERNAMA

Dua Pegawai Wisma Putra Didakwa Perdaya Duta Besar Malaysia Ke AS RM378,000

Shahril Effendi (kiri) dan Mohd Hadtamizi (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan memperdaya Duta Besar Malaysia ke AS, tiga tahun lepas di Mahkamah Jalan Duta pada Jumaat. - FotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Dua pegawai Wisma Putra didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tuduhan memperdayakan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) membabitkan RM378,000 tiga tahun lalu.
Sharil Effendi Abdul Ghany, 47, didakwa dibawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Dia didakwa menggunakan dua dokumen mengandungi maklumat palsu melibatkan perbelanjaan semasa mesyuarat Apec di Honolulu, Hawaii pada 2011.
Rakannya, Mohd Hadtamizi Abu Bakar, 46, didakwa bersubahat dengan Sharil Effendi.
Kedua-duanya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin.
Rosbiahanin membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM30,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Februari ini untuk sebutan kes.