Friday 28 August 2015

MB: Demo esok akan jadi yang terbesar

Menteri Besar Selangor Azmin Ali berkata perhimpunan BERSIH 4 akan menjadi yang terbesar dalam sejarah negara ini kerana didorong oleh keadaan semasa ekonomi.
“Oh, saya ingat meluaslah. Yang terbesarlah saya rasa,” katanya ketika ditanya berapa ramai dijangka hadir dalam perhimpunan esok.
BERSIH 4 akan berlangsung di tiga kota besar – Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching – selama 34 jam bermula petang esok.
Ia berlangsung ketika berlaku krisis kepercayaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kemerosotan nilai ringgit terburuk dalam 17 tahun serta penyusutan tahap rizab negara bawah paras AS$100 bilion.
Beliau yang juga timbalan presiden PKR juga mengambil kesempatan mengajak pelbagai pihak berhimpun esok, dan tidak semestinya penyokong pembangkang atau BERSIH sahaja hadir hadir.
“Sekarang dengan isu-isu ekonomi, nilai ringgit yang semakin menyusut, keyakinan pelabur asing sudah terhakis, jadi rakyat bertanggungjawab untuk bangkit supaya perhimpunan BERSIH adalah satu perhimpunan untuk menyelamatkan negara dan memulihkan ekonomi,” katanya.
Azmin juga berkata, perhimpunan esok untuk menyatakan pendirian bahawa rakyat mahukan pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab.
“Dan saya yakin perhimpunan ini aman demi untuk menyelamatkan negara dan memulihkan ekonomi,” katanya.
Azmin sendiri dijangka hadir dalam perhimpunan esok.
“Oh, ya,” katanya ringkas ketika ditanya akan mengambil bahagian atau tidak.


2.4K6
 Hari ini, 1:15 pm      Hari ini, 1:27 pm


Di balik tirai besi, Anwar seru sokong BERSIH

Meskipun terpenjara di sebalik tirai besi, bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap menyeru rakyat bangkit menyelamatkan Malaysia dengan menyokong himpunan BERSIH 4.
Dalam kenyataannya melalui Ibu Pejabat PKR, ketua umum PKR itu berkata adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat Malaysia turun menyertai BERSIH 4 ketika negara dilanda beberapa krisis.
"Gegaran Merdeka menandakan berakhirnya pemerintahan penjajahan curang kerana penindasan dan kezaliman.
"Merdeka juga mengusung gagasan besar dan keyakinan baru; menegak keadilan dan negara hukum serta memacu pertumbuhan dengan jaminan pengagihan saksama.
"Terdapat ketimpangan luar biasa diantara cita-cita luhur kemerdekaan dan sekatan ke atas kebebasan rakyat. Institusi hukum tercemar dan kesenjangan pendapatan terus melebar.
"Kita harus bertindak dan selamatkan Malaysia tercinta!" katanya.
Negara bakal menyambut hari Kemerdekaan yang ke 58 tahun ini dengan membawa tema ‘Sehati Sejiwa’.
Menjelang sambutan kemerdekaan, BERSIH 4 akan meganjurkan perhimpunan selama 34 jam bermula Sabtu ini di tiga kota besar, Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching.
Ia berlangsung ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang berdepan isu derma RM2.6 bilion ke dalam akaunnya, kontroversi 1MDB serta kejatuhan teruk nilai ringgit.


11.8K421
 27 Aug 2015, 6:33 pm      27 Aug 2015, 7:01 pm


Mahkamah perintah bebas awal aktivis 'occupy parlimen'


Kesemua kecuali seorang daripada pelajar dan aktivis yang ditahan kerana mengadakan protes di luar perkarangan Parlimen pada malam Selasa, telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Mahkamah telah mengurangkan tempoh reman mereka daripada tiga hari kepada dua selepas satu semakan.
Enam belas orang daripada mereka ditahan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Bagaimanapun, aktivis Heng Kiah Chun dinafikan semakan kerana dia ditahan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
Seksyen 353 Kanun Keseksaan berkaitan dengan penggunaan kekerasan jenayah dalam menghalang pegawai awam dan tidak dibenar semakan.

 27 Aug 2015, 9:40 pm      27 Aug 2015, 11:43 pm

Thursday 27 August 2015

BERSIH 4 referendum rakyat, kata bekas timbalan menteri



6146
 Zulaikha Zulkifli      Hari ini, 9:24 am      Hari ini, 10:26 am
Bekas timbalan menteri belia dan sukan Gan Ping Sieu berkata, perhimpunan BERSIH 4 akan menjadi referendum suara rakyat berhubung isu-isu yang berlaku di bawah pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Malah, bekas naib presiden MCA itu berkata, kehadiran orang ramai pada perhimpunan yang akan diadakan pada Sabtu dan Ahad ini juga adalah bertujuan bagi melahirkan rasa marah dan kecewa yang dihadapi rakyat berhubung pelbagai krisis yang melanda negara.
"Bagi saya BERSIH 4 adalah referendum rakyat tentang keadaan semasa di bawah pemerintahan Najib. Dan orang yang menghadiri BERSIH kerana satu sebab yang mudah iaitu mereka marah, kecewa dengan krisis yang dihadapi.
"Kita kena menegaskan bahawa perhimpunan ini ialah satu perhimpunan yang aman dan untuk menikmati Perlembagaan yang ada iaitu tentang hak untuk bersuara melalui aktiviti yang dianjurkan oleh BERSIH," katanya.
Beliau berkata demikian dalam forum anjuran Malaysiakini yang bertajuk '1MDB: Protes Rakyat atau Dewan Rakyat'.
Antara panelis lain dalam forum itu ialah tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin, bekas timbalan menteri pengajian tinggi Datuk Saifuddin Abdullah serta Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah.
Sementara itu, seorang lagi ahli panel Saifuddin pula berpandangan BERSIH 4 dilihat sebagai satu perhimpunan rakyat yang wajar disertai oleh semua parti politik terutamanya Umno.
Menurutnya, Umno perlu menjadi sebuah parti politik yang lebih komprehensif bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.
"BERSIH 4 sebahagian daripada proses demokrasi matang dan progresif. Jadi ia harus disokong oleh semua parti politik termasuk Umno dan BN.
"Umno perlu jadi parti politik yang lebih kompetitif kerana pilihan raya akan datang akan lebih kompleks.
"Umno tak boleh ke pilihan raya ke-14 dengan paradigma lama. Mesti pergi dengan perjuangan yang ditambah dengan satu harapan dan wacana baru," katanya lagi.

Amaran IGP pada 'baju merah' terhadap ugutan jenayah



2.2K37
 26 Aug 2015, 8:52 pm      26 Aug 2015, 9:57 pm

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar telah mengeluarkan amaran keras kepada semua pihak agar tidak menggalakkan keganasan, dan ini termasuk kumpulan anti-BERSIH.
"Walaupun kita telah mengisytiharkan perhimpunan BERSIH sebagai haram, kita tidak akan bertolak ansur dengan tindakan ugutan jenayah oleh sesiapa sahaja terhadap mereka yang mengambil bahagian," katanya kepada Malaysiakini.
Khalid berkata demikian bagi mengulas laporan bahawa kumpulan anti-BERSIH akan berlatih dengan parang dan pedang sebagai persediaan berikutan perhimpunan BERSIH 4 yang dijadualkan hujung minggu ini.
Pemimpin kumpulan itu, ketua bahagian Umno, Jamal MD Yunos berkata latihan itu adalah untuk mempertahankan diri dan bukan untuk mencetuskan keganasan.
Bagaimanapun, Khalid berkata perbuatan itu boleh ditafsirkan sebagai ugutan jenayah dan polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang berkumpul di jalan-jalan dengan senjata.
"Mengapa berlatih dengan pedang jika anda tidak berniat untuk membawanya pada hari itu? Jika itu berlaku, maka pihak polis akan menangkap mereka yang didapati memiliki senjata.
"Kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana kumpulan yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam," katanya.
Khalid juga mengulangi amaran polis kepada orang ramai untuk mengelakkan perhimpunan BERSIH dan perhimpunan yang dirancang oleh kumpulan yang lain.
Jamal bercadang untuk menggerakkan 30,000 orang untuk berdepan dengan perhimpunan semalaman BERSIH, yang antara lain untuk menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdu Razak.
Dengan memakai kameja-T merah, kumpulan anti-BERSIH merancang untuk berkumpul di Low Yat Plaza.
Semalam, kumpulan itu mempersembahkan seni mempertahankan diri di luar pusat beli-belah Sogo, di mana peserta memecahkan jubin dan kayu.

Mahathir: Pengundi Malaysia tak perlu dirasuah



4.7K6
 26 Aug 2015, 4:59 pm      26 Aug 2015, 5:03 pm

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata wang sumbangan RM2.6 bilion, yang dikatakan untuk tujuan pilihan raya, terlalu besar kecuali “jika untuk merasuah pengundi Malaysia”.
“Kenapa 700 juga dolar? Sudah tentu ia terlalu besar untuk keperluan-keperluan pilihan raya Malaysia, kecuali jika untuk merasuah pengundi Malaysia.
“Kenapa seseorang mahu merasuah pengundi Malaysia supaya Najib boleh menang. Rakyat Malaysia sudah menyokong BN tanpa perlu dirasuah oleh sesiapa, apatah lagi orang asing,” katanya.

Ibrahim Ali: Muhyiddin talian hayat terakhir Umno




7.5K81
 Anne Muhammad      26 Aug 2015, 6:00 pm      26 Aug 2015, 6:18 pm
Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali hari ini berkata nasib Umno pada masa akan datang bergantung kepada timbalan presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Justeru, kata Ibrahim, bagi memastikan Umno dan BN kekal berkuasa selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang, Datuk Seri Najib Razak perlu melantik kembali Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri.
"Tali hayat Umno pada PRU14 ini duduk pada Muhyiddin, kalau (tindakan) bijak, pada saya, Najib perlu mengembalikan semula jawatan timbalan perdana menteri kepada Muhyiddin.
"Malah tali hayat Umno kini bergantung kepada sokongan orang Melayu,” kata ahli politik veteran itu.
Bagaimanapun, kata Ibrahim, jika tindakan itu tidak dibuat kerana kasihankan timbalan perdana menteri baru Datuk Seri Zahid Hamidi, Umno mungkin hanya boleh kekal berkuasa dua tahun sahaja lagi.
Ibrahim juga berkata, walaupun Zahid diturunkan daripada jawatan itu, naib presiden Umno itu masih seorang menteri.
Ibrahim juga berkata jawatan Zahid itu tidak berguna lagi jika BN kalah dalam PRU14.
Ditanya tentang ura-bahawa Muhyiddin akan dipecat pada 9 September ini, Ibrahim tidak nampak ia petanda yang baik untuk Umno.
"Orang duduk cakap Muhyiddin akan dipecat 9 September ini, kalau benar ini ibarat orang mengantuk disorongkan bantal dan (Umno) gali lubang makin dalam," katanya.

Wednesday 26 August 2015

Berhenti bermimpi jadi pahlawan, Najib



719
 Radzi Razak      23 May 2015, 7:00 pm      23 May 2015, 9:03 pm

  
Bekas Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Affifuddin Omar menggamatkan dewan tempat sebuah forum diadakan di Petaling Jaya hari ini apabila meminta perdana menteri berhenti bermimpi kononnya beliau seorang pahlawan Bugis.
Kata Affifuddin, keadaan itu kerana orang Bugis juga dikenali sebagai lanun.
Menurut beliau yang kini aktif menulis novel, kenyataan berulang kali Datuk Seri Najib Razak untuk tidak mahu mengalah walaupun berdepan kritikan hebat kelihatan lompong kerana beliau tidak menjawab tuduhan yang ditujukan.
"Orang Bugis tak melawan sangat dulu. Yang kuat melawan, orang Aceh. Orang Aceh dok diam (tak ke mana-mana) saja.
"Orang Bugis (berlayar) di laut selalu menyamun saja.
"(Jadi), tak payah bermimpi jadi pahlawan Bugis. Saya pun ada darah Minang," katanya.
PAC tak ada kuasa
Sementara itu, Afiffudin juga berkata, kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang hangat ketika ini mungkin menandakan berakhirnya hayat politik Najib dan UMNO.
"Pihak yang tampil menyokong beliau adalah pemimpin bahagian tetapi ahli tahu apa yang berlaku di peringkat bawahan, terutama dalam pilihan raya kecil Rompin lalu.
Affifuddin juga menyokong desakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu akaun 1MDB diaudit dengan teliti tanpa bergantung hanya kepada siasatan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC).
Kata Affifuddin, pengalaman menjadi Pengerusi PAC mengajar beliau bahawa jawatankuasa itu tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menyiasat secara bebas serta berkesan.
"Ketika saya mempengerusikan PAC, kami tidak membuat semakan forensik. Kami cuma membincangkan laporan Ketua Audit Negara.
"Jika mereka (kerajaan) meminta pengaudit menyembunyikan sesuatu, kami tidak boleh berbuat apa-apa. Skop PAC terhad. Kami tak ada kuasa memanggil sesiapa dan kami juga tidak ada kuasa mendakwa," katanya.
Affifuddin juga bertanya mengapa Najib dipaksa menjawab setiap dakwaan mengenai 1MDB ketika ada pihak lain yang turut terlibat.
Sambil menunjukkan dokumen mengenai syarikat tajaan kerajaan itu, Affifuddin berkata, ada ramai orang bergelar Datuk dan Tan Sri dari UMNO yang dilantik sebagai ahli lembaga serta penasihat 1MDB.
"Mengapa mereka berdiam diri? Mereka juga patut disiasat. Gergasi korporat ini hanya berdiam diri dan mengapa mereka tidak pernah memberikan jawapan?" katanya.

Peserta BERSIH boleh dapat perlindungan di 3 gereja



3
 25 Aug 2015, 10:34 pm      Hari ini, 12:40 am

  
Archbishop Kuala Lumpur Julian Leow mengesahkan bahawa tiga buah gereja Katolik di Kuala Lumpur akan membuka pintu mereka kepada peserta BERSIH 4 yang ingin mendapatkan perlindungan.
Katanya, atas semangat perikemanusiaan, Gereja Katolik telah memutuskan untuk membenarkan St John Cathedral di Bukit Nanas, Gereja St Anthony di Pudu dan Gereja Fatima di Brickfields menjadi tempat perlindungan ketika perhimpunan BERSIH 4.
Dalam satu kenyataan, Leow juga menjelaskan bahawa Gereja Katolik tidak memihak kepada mana-mana organisasi politik dan gereja itu telah berdoa untuk kesejahteraan negara tercinta ini.
Sebelum ini, Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah berkata, tiga gereja akan membuka pintu kepada peserta perhimpunan itu yang memerlukan perlindungan.
Ini telah membawa kepada kebimbangan bahawa tindakan akan diambil terhadap tiga gereja berkenaan.
Perhimpunan BERSIH 4 akan bermula pada jam 2 petang Sabtu dan berterusan selama 34 jam.
Selain menggesa Perdana Menteri Datuk Najib Abdul Razak berundur ekoran kontroversi 1MDB, penganjur perhimpunan itu berkata, mereka juga menuntut pembaharuan institusi untuk membasmi rasuah.

Sultan: Selesaikan kejatuhan amat teruk ringgit



25.9K2419
 25 Aug 2015, 1:32 pm      25 Aug 2015, 8:30 pm

  
Peka pada rintihan rakyat, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah kerajaan perlu menangani keadaan politik dan ekonomi yang tidak stabil.
Baginda bertitah, walaupun raja tidak boleh mencampuri politik, baginda tetap bertanggungjawab memastikan kehidupan rakyat Johor dalam keadaan baik, maju dan makmur.
“Oleh itu saya menggesa kepada pihak kerajaan yang memerintah supaya segera menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi sekarang ini, antaranya mengenai kejatuhan nilai ringgit yang amat teruk,” titah baginda.
Ringgit sekarang jatuh melebihi paras RM4 untuk sedolar Amerika Syarikat, prestasi terburuk dalam 17 tahun.
Laporan menyebut ia antaranya berpunca daripada kejatuhan harga komoditi, pengaruh matawang China, jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat serta keadaan politik yang tidak stabil.
Baginda bertitah demikian sempena hari ulang tahun Rejimen Gerak Khas yang ke-50. Petikan ucapan itu dimuat naik ke Facebook Johor Southern Tigers hari ini.
Urusan orang Johor
Sementara itu, mengulas penggunaan istilah Bangsa Johor, Sultan Ibrahim bertitah bahawa ia bukan istilah atau konsep baru.
Malah, titah baginda, lagu negeri sendiri dinamakan “Lagu Bangsa Johor”.
“Oleh itu, kepada orang luar yang tidak tahu sejarah Johor, Saya nasihatkan supaya jangan masuk campur dalam urusan orang Johor.
“Saya berharap rakyat bangsa Johor yang berbilang agama dan keturunan akan hidup harmoni dan bersatu padu demi untuk kemakmuran dan keamanan Negeri Johor Darul Ta'zim,” titah baginda lagi.