Thursday, 5 February 2015

Peguam Eric Paulsen Didakwa Menghasut


Diterbitkan: Khamis, 5 Februari 2015 12:13 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Peguam hak asasi manusia, Eric Paulsen didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, Khamis berhubung kenyataannya di Twitter yang mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan extremisme.
Pertuduhan itu dibacakan di hadapan hakim Abdul Rashid Daud.
Paul yang juga pengarah eksekutif Lawyers for Liberty, didakwa kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan menerusi akaun Twitternya di twitter.com/ericpaulsen101 yang mengatakan "Jakim sedang mempromosikan ekstremisme setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu banteras ekstremisme di Malaysia.”
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Unit Bahagian Siasatan Jenayah D5, Bukit Aman di sini, kira-kira pukul 8 malam pada 10 Januari lalu.
Beliau kemudiannya mengaku tidak bersalah di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.
Hakim Abdul Hasim kemudiannya menetapkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 27 April ini.
Paulsen diwakili peguam Gobind Singh Deo.

Enggan Bayar Hutang, Wanita Bakar Lelaki Bangladesh


Diterbitkan: Khamis, 5 Februari 2015 4:04 PM
  (Ubah saiz teks)
GEORGE TOWN: Seorang wanita warga Indonesia bertindak nekad membakar seorang lelaki Bangladesh kerana tidak membayar hutang seperti dijanjikan dalam satu kejadian berhampiran Pasar Awam Kampung Baru di Bukit Mertajam, Rabu, kata polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Mazlan Kesah berkata  siasatan awal mendapati wanita berumur 35 tahun itu marah terhadap mangsa  kerana tidak membayar wang yang dipinjamnya sejak bulan lepas.
"Mereka (wanita dan mangsa) memang mengenali antara satu sama lain dan  difahamkan wanita berkenaan telah meminjamkan sejumlah wang kepada mangsa dan lelaki itu berjanji untuk membayarnya.
"Bagaimanapun sehingga Selasa, mangsa gagal membayar wang yang dipinjam dan lelaki itu juga dikatakan langsung tidak menjawab pangilan telefon wanita  berkenaan sehingga membuatkan dia berang dan bertindak membakar mangsa,"  katanya kepada pemberita di sini, Khamis.