Tuesday 17 March 2015

Petisyen bebaskan Anwar sasar sejuta tandatangan



Pakatan Rakyat akan menghantar petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi merayu pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Petisyen itu digelar sebagai 'Petisyen Rakyat' dan gabungan tersebut mensasarkan untuk mengumpulkan satu juta tandatangan rakyat Malaysia.
 
Proses pengumpulan tandatangan itu akan berlangsung sehingga 1 Mei, dan selepas itu petisyen berkenaan akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, kata Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin (kiri).
 
Katanya, inisiatif membuat petisyen bagi mengumpul sejuta tandatangan rakyat itu adalah sebagai usaha untuk merayu kepada Seri Paduka menggunakan kuasa-kuasa baginda bagi membebaskan Anwar.
 
Bercakap dalam satu sidang akhbar di lobi Dewan Rakyat hari ini, Shamsul berkata satu "perhimpunan" juga akan diadakan pada 1 Mei, sempena berakhirnya pengumpulan tandatangan tersebut.

IGP mahu Pua jelaskan tweet 'royal my foot'



Polis akan memanggil Tony Pua untuk menjelaskan mengenai satu tulisan MP Petaling Jaya Utara itu di Twitter yang mengkritik pasukan berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pasukannya mahu mendapatkan penjelasan sekiranya kritikan berkenaan merujuk kepada Raja-Raja Melayu.

"Bastards. Real bastards. Royal my foot", tulis Pua dalam bahasa Inggeris dalam merujuk kepada penahanan Nurul Izzah Anwar.

500 sertai nyalaan lilin sokong Nurul Izzah




500 orang penyokong menyertai nyalaan lilin di luar balai polis Jinjang malam ini sebagai tanda sokongan mereka kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang ditahan di lokap balai itu.

Mereka membawa plakad yang bertulis "Bebaskan Nurul Izzah", "Solidariti Bersama Nurul Izzah" dan "Kita Lawan".

Turut kedengaran ialah laungan kuat "bebas Nurul", "hidup Nurul" dan "Puteri Reformasi".

Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tiba pada jam 9.30 malam dan meluahkan perasaan sedihnya kepada para penyokong yang hadir

"Memang sedih anak diperlakukan sebegitu. Apa salah dia, dia cuma menyuarakan suara hati rakyat.

"Kezaliman tidak akan berkekalan,  kita akan kuat dan bersemangat untuk membela rakyat.

"Mungkin malam ini anak saya... tapi percayalah semangat yang ada pada kita akan lawan kezaliman sehabisnya," kata Azizah dalam ucapannya.