Wednesday 21 August 2013

Ahmad Zahid Tarik Balik Saman Sivil Terhadap Rafizi

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu telah menarik balik saman sivil terhadap Pengarah strategik PKR Mohd Rafizi Ramli yang didakwa melakukah fitnah di blog.
Ahmad Zahid berbuat demikian selepas Rafizi berpuas hati berdasarkan penjelasan beliau dan fakta-fakta terkini bahawa beliau tidak terbabit di dalam keputusan Boustead Holdings Berhad untuk membayar RM160 juta kepada Awan Megah Sdn Bhd dan Astacanggih Sdn Bhd.
"Oleh itu, saya bersedia menarik balik kenyataan saya sebelum ini mengenai beliau dan urusniaga tersebut," kata Rafizi.
Pesuruhjaya Kehakiman Lee Heng Cheong mencatatkan keputusan itu.
Dalam saman itu, Ahmad Zahid mendakwa artikel berunsur fitnah dalam blog beliau telah mengaitkannya dengan tawaran tanah yang mempunyai hubungan dengan ahli perniagaan Deepak Jaikishan.
Beliau berkata artikel itu bermaksud beliau menyalahgunakan dana awam, terutamanya sumbangan anggota tentera di Tabung Lembaga Angkatan Tentera.