Wednesday 6 May 2015

Anwar saman SPR tak benar undi di Pmtg Pauh



Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dua pihak lagi kerana tidak membenarkannya mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh esok.
  
Anwar, bekas Anggota Parlimen Permatang Pauh, memfailkan saman pemula itu di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lupur melalui Tetuan Daim & Gamany dan menamakan SPR, pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga.
  
Dalam permohonannya, Anwar memohon deklarasi bahawa beliau mempunyai kelayakan sebagai pengundi seperti diperuntukkan di bawah Fasal 119 Perlembagaan Persekutuan, selain menuntut pampasan dan kos.
  
Oleh itu Anwar, 68, menuntut defendan-defendan mengambil tindakan susulan untuk menguatkuasakan haknya sebagai pengundi.
  
Anwar dalam afidavit sokongan untuk menyokong tuntutannya mendakwa pada 30 April lepas, peguamnya menghantar surat tuntutan kepada SPR dan Abdul Aziz untuk mengesahkan bahawa beliau layak mengundi.

Dr Mahathir nafi terlibat skandal BMF



Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dia tidak terbabit dalam skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF) yang menggemparkan negara suatu ketika dulu.

Menurut bekas perdana menteri itu, kerugian dialami BMF adalah tanggungjawab institusi kewangan itu.

"Tapi saya tak curi duit. Duit dah hilang. Itu bank punya duit. Saya bukan pengurus bank, saya bukan penasihat kepada bank itu.

"Ketika tu macam-macam bank hilang duit. Takkan duit hilang saya yang salah?" katanya mengulas kenyataan dibuat Senator Tunku Abdul Aziz dalam akhbar semalam.

Menurut Abdul Aziz skandal kewangan pada 1980-an itu adalah satu daripada perkembangan paling serius dalam industri perbankan negara.

Seorang daripada juruaudit BMF, Jalil Ibrahim mati dibunuh di kawasan kebun pisang di Hong Kong pada 1983.

Bekas Pengerusi BMF Lorrain Esme Osman mengaku bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah di London pada 1993 kerana memberi pinjaman tanpa cagaran untuk sebanyak RM 2.5 bilion kepada George Tan, seorang ahli perniagaan Sarawak.

Pada 1988 BMF memiliki aset bernilai lebih AS$15 bilion (RM54 bilion) tetapi terpaksa dicairkan ekoran skandal berkenaan.

Bagaimanapun Dr Mahathir tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai kenyataan dibuatnya hari ini.