Wednesday, 6 May 2015

Anwar saman SPR tak benar undi di Pmtg Pauh



Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dua pihak lagi kerana tidak membenarkannya mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh esok.
  
Anwar, bekas Anggota Parlimen Permatang Pauh, memfailkan saman pemula itu di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lupur melalui Tetuan Daim & Gamany dan menamakan SPR, pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga.
  
Dalam permohonannya, Anwar memohon deklarasi bahawa beliau mempunyai kelayakan sebagai pengundi seperti diperuntukkan di bawah Fasal 119 Perlembagaan Persekutuan, selain menuntut pampasan dan kos.
  
Oleh itu Anwar, 68, menuntut defendan-defendan mengambil tindakan susulan untuk menguatkuasakan haknya sebagai pengundi.
  
Anwar dalam afidavit sokongan untuk menyokong tuntutannya mendakwa pada 30 April lepas, peguamnya menghantar surat tuntutan kepada SPR dan Abdul Aziz untuk mengesahkan bahawa beliau layak mengundi.

Beliau berkata sehingga hari ini tiada jawapan daripada kedua-dua defendan, oleh itu tindakan mereka telah menafikan haknya sebagai pengundi dan bertentangan dengan Fasal 119 Perlembagaan Persekutuan juga mencabuli haknya di bawah Perlembagaan.
  
Anwar berkata deklarasi yang dipohon itu adalah untuk menegakkan haknya untuk mengundi pada PRK Permatang Pauh dan pada mana-mana Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.
  
Beliau mendakwa telah mendaftar sebagai pengundi yang sah bagi kawasan Permatang Pauh sebelum dijatuhin hukuman oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb lepas dan pada PRU ke-13 dua tahun lepas beliau telah mengundi di kawasan itu.
  
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 26 Jun 2008.
  
Peguam Anwar, N.Surendran memberitahu media bahawa anak guamnya memfailkan saman itu kerana SPR tidak membenarkannya mengundi di PRK Permatang Pauh esok dan pihaknya akan cuba mendapatkan tarikh pendengaran secepat mungkin.

Ditanya sama ada Anwar juga membuat permohonan untuk mengundi kepada SPR semasa menjalani hukuman penjara enam tahun bagi kesalahan menyalahgunakan kuasa pada PRU 1999 dan 2004, Surendran berkata Anwar tidak membuat permohonan itu.
  
Seorang lagi peguamnya Latheefa Koya berkata kes itu akan menjadi kes ujian kerana mengikut Fasal 119 Perlembagaan Persekutuan seseorang banduan yang telah berdaftar sebagai pengundi sebelum disabitkan kesalahan adalah layak mengundi.
  
Anak perempuan keempat Anwar, Nurul Ilham turut hadir di mahkamah bersama suaminya Reza Mohd Rafie.
    

No comments:

Post a Comment