Monday 4 August 2014

Mahkamah Tinggi Benarkan Semakan Hukuman Lelaki Tunjuk Isyarat Lucah


Diterbitkan: Khamis, 31 Julai 2014 6:32 PM
  (Ubah saiz teks)
GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini Khamis membenarkan permohonan semakan hukuman seorang juruukur bahan yang mengaku bersalah menunjukkan isyarat lucah kepada Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dan seorang pegawai polis tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Wong Teck Meng turut memerintahkan Leong Pei Koe, 30, dibicarakan semula di hadapan majistret lain.
Bagi pertuduhan pertama, Leong didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada Tuanku Hajah Haminah ketika kenderaan rasmi baginda melalui balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, dekat sini pada 11.50 pagi 11 Februari tahun lepas.

Remaja Dituduh Bunuh Warga Emas


Diterbitkan: Ahad, 3 Ogos 2014 1:52 PM
  (Ubah saiz teks)
KOTA TINGGI: Seorang remaja lelaki berumur 15 tahun pada Ahad didakwa di Mahkamah Majistret di sini terhadap tuduhan membunuh seorang wanita warga emas, bulan lepas.
Juvana itu dituduh membunuh Jariah Abu Bakar, 62, di dalam rumah bernombor 1213, Blok 9, Felda Lok Heng Barat, di sini, pada 12.05 tengah hari, 22 Julai lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen Kota Tinggi Hairul Azhar Muhamad.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 Sept ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Natassa Zaini.

NGO Buat Laporan SPRM Isu Salah Guna Kuasa Adun PKR


Diterbitkan: Ahad, 3 Ogos 2014 5:10 PM
  (Ubah saiz teks)
ALOR SETAR: Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah pada Ahad membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung salah guna kuasa membabitkan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada PKR dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.
Presidennya Khairul Anuar Ramli berkata laporan SPRM dibuat bagi menguatkan lagi siasatan terhadap dakwaan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah sebelum ini, Muhammad Sanusi Md Nor dalam laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini, selepas laporan polis dibuat Jumaat lepas.
Beliau berkata ini kerana rakyat negeri ini ingin mengetahui kebenaran dakwaan penyelewengan yang dilakukan kepimpinan kerajaan negeri yang mentadbir Kedah pada 2008 hingga 2013.

50,000 Anak Ayam Rentung, Pemilik Rugi RM2 Juta Reban Ternakan Terbakar


Diterbitkan: Ahad, 3 Ogos 2014 6:53 PM
  (Ubah saiz teks)
TANJUNG MALIM: Seorang penternak kerugian RM2 juta selepas 60,000 anak ayam yang diternak di dalam sebuah reban di Kampung Kelawar di sini rentung dalam satu kebakaran, Ahad.

Pengurus ladang ternakan terbabit Lim Chee Wah berkata beliau diberitahu mengenai kejadian tersebut oleh pekerjanya pada pukul 7.15 pagi sebelum menghubungi pihak bomba.

"Kebakaran ini menyebabkan saya mengalami kerugian teruk iaitu kira-kira RM2 juta termasuk kos premis," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Beliau berkata kejadian itu adalah yang pertama sejak ladang itu dibuka dua tahun lepas.