Tuesday 12 May 2015

Teo: JPA harus sasar 'jabatan tak beri manfaat'



Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sepatutnya mensasarkan jabatan yang tidak "memberi manfaat kepada rakyat" dan bukannya membekukan pengambilan kakitangan awam baru, khususnya bagi Kementerian Kesihatan, kata seorang ahli parlimen pembangkang.

MP Kulai Teo Nie Ching berkata antara yang pertama harus disasarkan ialah jabatan seperti 'Bahagian Wanita Pertama Malaysia' (FLOM).

Katanya, walaupun saiz perkhidmatan awam juga perlu turut dikawal, tetapi pembekuan jawatan baru di semua kementerian adalah tidak masuk akal.

"Sebaliknya, JPA patut mensasar dan mengurangkan saiz jabatan-jabatan tertentu yang tidak benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, seperti FLOM, utusan khas dan penasihat khas di bawah Jabatan Perdana Menteri, Cawangan Khas, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), [. ..] dan lain-lain lagi, "katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada tahun 2011 kemunculan bahagian FLOM telah mengundang kontroversi, tetapi kemudiannya telah diperjelaskan sebagai ia adalah jabatan tidak rasmi yang terdiri daripada pegawai-pegawai yang dipinjamkan yang membantu isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dengan tugas-tugasnya.

Teo mengulas pengumuman JPA bahawa ia akan membekukan pengambilan jawatan baru untuk mengawal saiz perkhidmatan awam.

Ahli Parlimen DAP itu mengingatkan bahawa langkah tersebut akan memberi kesan teruk terhadap sektor kesihatan awam.

"Pembekuan jawatan baru seperti yang diumumkan oleh JPA akan menjejaskan pembukaan hospital baru dan perkhidmatan yang diberikan kepada pesakit.

"JPA telah berkata bahawa pembekuan jawatan baru dalam perkhidmatan awam akan diimbangi dengan usaha untuk meningkatkan peluang pekerjaan di sektor swasta.

"Bagaimanapun, beralih kepada sektor swasta juga bermakna bil perubatan yang lebih tinggi," katanya.

Selain Kementerian Kesihatan, katanya, Kementerian Pelajaran juga perlu mengambil lebih ramai guru apabila sekolah baru bakal dibuka.

Mahkamah: Notis demo kekal tak sah



Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) yang meminta peserta memberi notis 10 hari sebelum mengadakan sesuatu perhimpunan kekal batal dan tidak sah.

Ini susulan pihak pendakwaan hari ini menarik balik rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan terhadap Exco Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad yang dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan.

Berikutan itu, keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan seksyen tersebut sebagai batal dan tidak sah dan tidak berpelembagaan, diterima.

Peguam Nik Nazmi Latheefa Koya memberitahu Malaysiakinibahawa penarikan balik rayuan itu dibuat oleh DPP Manoj Kurup, yang juga ketua bahagian perbicaraan dan rayuan di Pejabat Peguam Negara.

President Mahkamah Rayuan Hakim Tan Sri Md Raus Sharif yang mengetuai barisan hakim membatalkan rayuan pendakwa ekoran penarik balik rayuan tersebut.

Sebelum itu, Nik Nazmi menulis dalam twitternya: "Alhamdulillah. Mahkamah Persekutuan membatalkan kes #Black505 saya selepas pendakwaraya menarik balik rayuan."

"Tapi masih ada peluang (bagi kerajaan) untuk menyelamatkan APA dengan kes Black 505 melibatkan (pemimpin PKR Johor) R Yuneswaran," katanya lagi.

Nik Nazmi yang juga ADUN Seri Setia dituduh pada 2013 tidak memberi notis 10 hari untuk mengadakan perhimpunan yang berlangsung di Stadium Kelana Jaya selepas pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, exco kerajaan Selangor itu memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mengisytiharkan seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman tidak berpelembagaan tetapi beliau gagal dalam usahanya.

Tun M Berkeras Mahu Najib Letak Jawatan


Diterbitkan: Selasa, 12 Mei 2015 12:14 AM
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tetap dengan pendirian tegasnya yang mahu Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Menerusi kemaskini terbaharu blog chedet.cc pada Isnin, Dr Mahathir berkata beliau tidak mempunyai pilihan dengan mendesak peletakan jawatan Najib berikutan kontroversi yang semakin meningkat terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pembelian loji janakuasa dengan harga yang jauh lebih tinggi dan pelaburan dan usaha sama dengan Petro Saudi.
"Berbilion Ringgit telah hilang dan tidak mungkin akan kembali. Secara langsung atau tidak langsung, Najib bertanggungjawab untuk kerugian besar-besaran ini. Oleh kerana tindakan yang tidak bertanggungjawab itu, Najib tidak lagi layak menjadi Perdana menteri," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau sedar pembangkang akan memanfaatkan keengganannya menyokong Najib, sambil menambah bahawa Barisan Nasional akan menerima musibah sekiranya Najib terus kekal.

Beliau juga berkata, jika Umno dan kepimpinan BN perlu berubah, ia perlu dilakukan sebelum pilihan raya umum ke-14.

Dr Mahathir berkata beliau merasakan kontroversi mengenai 1MDB sangat serius dari kali pertama mengetahui tentang berita itu.

"Pada masa itu, tidak banyak maklumat mengenainya. Saya tidak mempunyai pilihan tetapi untuk menghantar surat yang menyatakan saya menarik balik sokongan terhadap beliau. Sejak itu, saya menerima banyak maklumat mengenai 1MDB dan saya terkejut dengan jumlah hutang.

"1MDB juga gagal untuk membayar pinjaman RM42bil, wang dikatakan melabur di Kepulauan Cayman. Butiran mengenai pelaburan dan usaha sama dengan Petro Saudi juga tidak jelas," katanya.

Lelaki Hidap Penyakit Jantung Didakwa Tuduhan Menipu


Diterbitkan: Isnin, 11 Mei 2015 9:28 PM
  (Ubah saiz teks)
KANGAR: Seorang lelaki yang mengadu mengalami masalah jantung selepas ditangkap, hari ini didakwa di Hospital Tuanku Fauziah di sini atas tiga pertuduhan menipu membabitkan wang tunai dan barang kemas berjumlah lebih RM32,000.
K.S. Saravanan, 37, didakwa melakukan kesalahan itu di Perlis dan Kedah tahun lepas.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif membacakan pertuduhan di hadapan  Majistret Norhayati Ibrahim di wad hospital.
Saravanan dimasukkan ke hospital sejak 7 Mei, sehari selepas dia ditangkap selepas mengadu menghidap masalah jantung.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memperdayakan K. Guruman untuk menyerahkan wang tunai RM500 dan rantai emas berharga RM15,000 bagi pelaburan di sebuah rumah di Kaki Bukit, dekat Kangar antara 21 Mei dan 22 Mei tahun lepas.
Bagi pertuduhan kedua, dia dikatakan menganjurkan skim pelaburan yang tidak wujud untuk memperdayakan M. Saroja supaya memasukkan wang RM1,400 ke dalam akaunnya di sebuah bank di Padang Besar pada 12 tengah hari, 23 Mei.
Dia juga dituduh menganjurkan skim pelaburan untuk memperdayakan Saroja supaya menyerahkan rantai leher emas, sepasang subang dan loket bernilai
RM16,000 kepadanya di sebuah rumah di Kubang Pasu, Kedah pada 3 petang. Saravanan dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi ketiga-tiga pertuduhan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan, dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Norhayati menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama dan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan keduadan ketiga.
Beliau menetapkan 15 Jun bagi mengemukakan dokumen dan bagi tertuduh untuk melantik peguam.
-- BERNAMA

PAC arah CEO, bekas CEO 1MDB 'mengadap'



Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebulat suara bersetuju memulakan prosiding siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Arul Kanda Kandasamy dan bekas CEO pertamanya Datuk Shahrul Ibrahim Halmi adalah antara tokoh yang akan dipanggil untuk memberi penjelasan.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, prosiding siasatan awal terhadap 1MDB akan dimulakan pada 19 Mei depan.

Menurut Ahli Parlimen Pulai itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah (gambar kanan) dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negara (EPU) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Abdullah akan turut dipanggil.

"PAC sebulat suara bersetuju memulakan prosiding siasatan terhadap syarikat 1MDB dalam satu perbincangan khas yang diadakan pada 30 April lalu," katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Keputusan itu dibuat oleh semua ahli PAC yang terdiri daripada lapan ahli parlimen BN dan lima pembangkang.

Kata Nur Jazlan, PAC bersetuju memanggil semua pihak terbabit dalam pengurusan kawalan tadbir urus syarikat 1MDB sejak ia mula ditubuhkan pada 2009 selepas ditukar fungsi daripada Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA).

Ahli MT Umno tawar diri selesai isu 1MDB



Beberapa anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno menawarkan kepakaran masing-masing untuk menyelesaikan masalah berkaitan syarikat pelaburan negara 1MDB, kata perdana menteri.

“Beberapa anggota MT telah menawarkan pengalaman dan pengetahuan mereka untuk membantu menyelesaikan masalah 1MDB.

“Beberapa langkah tegas boleh diambil. Maka atas nasihat MT, kerajaan akan beri pertimbangan dan akan membuat keputusan selanjutnya,” katanya selepas mesyuarat MT Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Najib, mereka menawarkan diri susulan persetujuan mesyuarat supaya kepimpinan parti bersatu menangani cabaran dan mengukuhkan kedudukan di sisi rakyat.

“Dengan keputusan tersebut, maka MT nyatakan juga kalau ada apa-apa isu berbangkit, MT mengharapkan mereka diberi peluang dan ruang untuk menyumbang idea-idea yang bernas dan cadangan positif supaya sebarang isu yang berbangkit boleh ditangani dan dicari penyelesaian sebaik-baiknya.”

Najib juga berkata, MT mengambil maklum bahawa keputusan siasatan perlu dipercepat supaya rakyat tahu hasilnya.

“Dan saya harap AG (ketua audit negara) dapat buat kenyataan tentang bila laporan tersebut boleh dibentangkan pada PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara).

“MT mengharapkan tindakan-tindakan yang tegas diambil kepada sesiapa menyalahi dari segi undang-undang. Ini bergantung pada laporan yang kita akan terima,” katanya.