Tuesday 12 May 2015

Teo: JPA harus sasar 'jabatan tak beri manfaat'



Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sepatutnya mensasarkan jabatan yang tidak "memberi manfaat kepada rakyat" dan bukannya membekukan pengambilan kakitangan awam baru, khususnya bagi Kementerian Kesihatan, kata seorang ahli parlimen pembangkang.

MP Kulai Teo Nie Ching berkata antara yang pertama harus disasarkan ialah jabatan seperti 'Bahagian Wanita Pertama Malaysia' (FLOM).

Katanya, walaupun saiz perkhidmatan awam juga perlu turut dikawal, tetapi pembekuan jawatan baru di semua kementerian adalah tidak masuk akal.

"Sebaliknya, JPA patut mensasar dan mengurangkan saiz jabatan-jabatan tertentu yang tidak benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, seperti FLOM, utusan khas dan penasihat khas di bawah Jabatan Perdana Menteri, Cawangan Khas, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), [. ..] dan lain-lain lagi, "katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada tahun 2011 kemunculan bahagian FLOM telah mengundang kontroversi, tetapi kemudiannya telah diperjelaskan sebagai ia adalah jabatan tidak rasmi yang terdiri daripada pegawai-pegawai yang dipinjamkan yang membantu isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dengan tugas-tugasnya.

Teo mengulas pengumuman JPA bahawa ia akan membekukan pengambilan jawatan baru untuk mengawal saiz perkhidmatan awam.

Ahli Parlimen DAP itu mengingatkan bahawa langkah tersebut akan memberi kesan teruk terhadap sektor kesihatan awam.

"Pembekuan jawatan baru seperti yang diumumkan oleh JPA akan menjejaskan pembukaan hospital baru dan perkhidmatan yang diberikan kepada pesakit.

"JPA telah berkata bahawa pembekuan jawatan baru dalam perkhidmatan awam akan diimbangi dengan usaha untuk meningkatkan peluang pekerjaan di sektor swasta.

"Bagaimanapun, beralih kepada sektor swasta juga bermakna bil perubatan yang lebih tinggi," katanya.

Selain Kementerian Kesihatan, katanya, Kementerian Pelajaran juga perlu mengambil lebih ramai guru apabila sekolah baru bakal dibuka.

No comments:

Post a Comment