Wednesday 16 April 2014

'Tiger, Berambus Kau Dari Sini, Ini Bumi Kami' - Penceroboh


Diterbitkan: Selasa, 15 April 2014 11:21 PM
  (Ubah saiz teks)
KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa kira-kira 35 hingga 40 penceroboh bersenjata mula menembak ke arah pasukan komando VAT69 sejurus selepas seorang anggota kumpulan itu memekik "Tiger, berambus kau dari sini, ini bumi kami."

ASP Bingkok Anak John berkata beliau tahu gelaran 'Tiger' yang dimaksudkan merujuk kepada pasukannya iaitu komando VAT69.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Wahab Mohamed pada perbicaraan 30 individu berhubung insiden pencerobohan di Lahad Datu tahun lepas.

Kanak-Kanak Maut Kemalangan Di Temerloh


Diterbitkan: Selasa, 15 April 2014 5:56 PM
  (Ubah saiz teks)
KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun terbunuh selepas kereta yang dinaiki bersama ibu bapanya terbabas sebelum terbalik di Kilometer 3 Jalan Karak-Mentakab, dekat Temerloh pada Isnin.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim, S. Karshan mati ketika menerima rawatan akibat parah di kepala dan badan.

Katanya, kejadian jam 11.30 pagi itu dipercayai berlaku semasa bapanya yang berusia 30-an secara tiba-tiba hilang kawalan ke atas kereta Proton Wira yang dipandunya itu.

Polis Tahan Lapan Lelaki Terbabit Kesalahan Senjata Api


Diterbitkan: Selasa, 15 April 2014 9:18 PM
  (Ubah saiz teks)
ALOR SETAR: Polis Kedah menahan lapan lelaki termasuk seorang warga Myanmar berhubung kesalahan senjata api menerusi lima operasi Ops Cantas Khas bagi tempoh 21 Mac hingga Ahad lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata mereka yang berusia 30 hingga 40 tahun itu ditahan di Kota Setar, Sik dan Kuala Muda.

Polis juga merampas dua pucuk pistol jenis Luger dan revolver termasuk tiga butir peluru, sepucuk pistol tiruan, selaras senapang kayu buatan sendiri dan sebilah parang daripada suspek terbabit, katanya dalam sidang media, di sini Selasa.

Beliau berkata polis turut menemukan beberapa barangan lain seperti rompi dan pelekat berlogo polis dan topeng muka.