Monday 2 December 2013

19 Februari Depan Pendengaran Untuk Batalkan Saman Bekas Polis Berjumlah RM128.5 Juta

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Isnin menetapkan 19 Februari depan untuk mendengar permohonan Peguam Negara, Kerajaan Malaysia dan 10 yang lain bagi membatalkan saman berjumlah RM128.5 juta oleh bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Ramli Yusuff berhubung dakwaan yang beliau didakwa secara salah.
Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan tarikh itu selepas Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bol Hassan, yang mewakili kesemua defendan memaklumkan bahawa permohonan untuk membatalkan saman itu akan difailkan pada 16 Disember ini. Mahkamah turut menetapkan 16 Januari depan untuk pengurusan kes.
Pada 1 November lepas, Ramli, 61, memfailkan saman dengan menamakan Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kerajaan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara Datuk Nordin Hassan dan Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan di SPRM, Anthony Kevin Morais sebagai defendan.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah Deputi Supritendan (DSP) Chew Kam Soon, Ketua Unit Siasatan SPRM E. Sok One, tiga Pegawai Penyiasat SPRM iaitu, Saiful Ezral Ariffin, Azmi Ismail dan Wan Abdul Rahman.
Dalam pernyataan tuntutannya, Ramli mendakwa defendan dengan niat jahat dan tanpa sebab munasabah menyiasat dan menuduhnya di mahkamah terhadap empat pertuduhan mengikut SPRM dan satu pertuduhan mengikut Kanun Keseksaan.
Beliau mendakwa antara Julai 2009 dan Ogos 2010, beliau telah dibebaskan daripada kesemua pertuduhan itu.
Bekas pegawai polis itu berkata akibat pendakwaan terhadapnya itu, beliau telah mengalami kecederaan dari segi reputasi, kerjayanya dan mengalami kesusahan, kesulitan dan kerugian.
Ramli yang diwakili peguam S.C. Tey menuntut ganti rugi khas, am, teruk, teladan dan faedah kos yang kesemuanya berjumlah RM128.5 juta. - BERNAMA

Tiada Bukti Asas Untuk Sahkan Kenyataan Hakim - Peguam Bela Anwar


MAHKAMAH

PUTRAJAYA: Tiada bukti asas yang boleh mewajarkan kenyataan seorang hakim Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah seseorang yang mempunyai kecenderungan terhadap perlakuan homoseksual, demikian mahkamah persekutuan diberitahu pada Isnin.
Dalam hujahnya, peguam Datuk Sulaiman Abdullah, yang mewakili ketua pembangkang itu berkata kenyataan berkenaan sepatutnya dipadamkan daripada sebahagian besar penghakiman bertulis oleh hakim Mahkamah Persekutuan ketika itu Tun Abdul Hamid Mohamad ketika melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat pemandu keluarganya.
Katanya perenggan yang dipersoalkan itu tidak diperlukan dan tidak relevan dalam penghakiman berkenaan kerana ia merupakan kenyataan peribadi Abdul Hamid terhadap Anwar dan tidak menjadi prinsip utama dalam kes terbabit.
"Perenggan yang dipersoalkan itu begitu tidak adil dan tidak munasabah kerana komen peribadi itu dibuat tanpa mengambil kira keterangan Anwar semasa perbicaraan," katanya.
Sulaiman berkata perenggan yang dipersoalkan itu mencemar dengan teruk nama baik Anwar dan terus mengakibatkan berlakunya ketidakadilan secara serius serta kerosakkan nama baiknya kerana ia sering disalahguna, diulang, disiarkan dan digunakan secara meluas sebagai suatu justifikasi untuk mengutuk dan merujuk kepada Anwar sebagai seorang pengamal homoseks atau seks songsang kepada orang ramai.
Beliau berkata setiap kali ketua pembangkang itu memfailkan saman fitnah bagi membersihkan namanya, penentang beliau akan menggunakan penghakiman berkenaan untuk membela diri.
Katanya perenggan berkenaan boleh ditafsirkan sebagai merendah-rendahkan, tidak wajar dan berat sebelah apabila hakim Mahkamah Persekutuan itu mengisytiharkan Anwar sebagai pesalah bersiri dan malah, melakukan kesalahan berkenaan seperti yang dituduh, tetapi beliau terpaksa dibebaskan kerana tidak cukup bukti.
Sulaiman berkata demikian dalam permohonan semakan semula yang dikemukakan Anwar untuk memadam perenggan "kami menemui bukti untuk mengesahkan bahawa perayu (Anwar dan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja) terlibat dengan kegiatan homoseksual dan lebih cenderung untuk mempercayai bahawa kejadian yang didakwa berlaku di Tivoli Villa itu benar-beanr berlaku pada..." dalam penghakiman berkenaan.
Pada 2 September 2004, Mahkamah Persekutuan yang diketuai Abdul Hamid, kemudiannya dilantik menjadi Ketua Hakim Negara dan selepas itu bersara pada 2008, dalam keputusan majoriti 2-1nya, membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar.
Mahkamah Persekutuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhi hukuman penjara sembilan tahun terhadap Anwar. - BERNAMA