Thursday, 21 May 2015

Muzik, puisi di malam 100 hari Anwar di penjara



Para pemimpin dan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berhimpun di luar pintu Penjara Sungai Buloh untuk menunjukkan solidariti dengan ketua umum PKR itu, di malam 100 hari belliau di penjara.

Mereka yang berjumlah hampir 300 orang itu menyanyi dan menari di antara laungan "Reformasi!" - yang menjadi motto Anwar.

Muzik dan puisi berkumandang di tengah-tengah cahaya nyalaan lilin ketika kumpulan band bangsART memainkan medley lagu protes jalanan.

Hadirin yang berbilang kaum daripada pelbagai peringkat umur, menggerakkan kepala dan menghentak kaki mengikut iramanya.

Sasterawan negara Datuk A Samad Said turut mendeklamasikan sajak bertajuk 'Malam Anwar',

Manakala anak perempuan sulung Anwar, Nurul Izzah turut membacakan puisi penyair terkenal Indonesia WS Rendra.

Katanya, Anwar meminta beliau mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang terus memberi peluang kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Permatang Pauh.

Kerusi Permatang Pauh telah diisytiharkan kosong apabila permohonan pengampunan Anwar ditolak, dan isterinya, Wan Azizah, memenangi pilihan raya kecil di situ dan mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen baru Isnin lalu.

Ibunya, yang turut dilantik sebagai ketua pembangkang yang baru, tidak hadir malam ini, tetapi adik-adiknya Nurul Nuha dan Nurul Ilham tampil memberi ucapan yang menyentuh hati.

Walaupun berucap kepada hadirin, namun Nurul Nuha seolah-olah bercakap terus dengan ayahnya, berikrar bahawa mereka tidak akan menangis dalam menghadapi kesukaran ini, walaupun dia beberapa kali kedengaran sebak.

Pemimpin PKR termasuk Naib Presiden Tian Chua dan Shamsul Iskandar Md Akin, bergilir-gilir menyampaikan ucapan di atas sebuah trak pick-up, melaungkan nada solidariti dan berjanji kepada Anwar bahawa rakyat akan terus membanjiri jalanan untuk menuntut pembebasannya.

Beberapa pemimpin Pakatan yang kelihatan turut hadir ialah MP Segambut Lim Lip Eng dan MP Ipoh Timur Thomas Su, kedua-duanya dari DAP dan MP PSM Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar.

Curi wang mangsa MH370, mekanik dipenjara, sebat



Seorang mekanik hari ini dijatuhi hukuman penjara berjumlah 11 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi
kesalahan mencuri wang berjumlah RM7,650 milik seorang mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, antara Mei dan Julai tahun lepas.
  
Hakim Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman itu terhadap Basheer Ahmad Maula Sahul Hameed, 34, selepas tertuduh pada 28 April lepas menukar pengakuan kepada bersalah terhadap empat pertuduhan mencuri wang milik seorang mangsa pesawat
itu, warga China Tian Jun Wei.
  
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara dua tahun, pertuduhan kedua pula penjara dua tahun dan masing-masing penjara tiga tahun dan satu sebatan serta empat tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan ketiga dan keempat.
  
Bagaimanapun, Basheer hanya perlu menjalani hukuman penjara empat tahun selepas Hakim Norsharidah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak mulai hari ini.

Permohonan injunksi untuk halang dana labur lagi dalam 1MDB



Satu permohonan akan difailkan di mahkamah minggu depan untuk mendapatkan injunksi bagi menghalang beberapa dana daripada terus membuat pelaburan dalam 1MDB, kata Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Dana-dana itu ialah Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Haji, yang telah membuat pelaburan tersebut pada masa lalu.

Bercakap dalam satu ceramah di Serdang malam tadi, Rafizi berkata, pihaknya mahu memastikan dana-dana tersebut berfikir dua atau tiga kali sebelum melaburkan wang dalam 1MDB selepas ini.

Katanya, ketika skandal 1MDB berlanjutan, syarikat pelaburan itu perlu mencari lebih banyak wang untuk membayar hutangnya RM42 bilion.

Dalam keadaan sebegitu, Rafizi melahirkan kebimbangan mengenai kemungkinan dana-dana tersebut akan terlibat lebih dalam lagi.

Ketika ditemui selepas ceramah tersebut bagi mendapatkan maklumat mengenai permohonan itu, Rafizi bagaimanapun memberitahu pemberita bahawa beliau akan mengumumkannya dalam satu sidang akhbar esok.