Sunday 17 March 2019

Serangan di NZ: Seorang rakyat Malaysia masih hilang

Nasib seorang rakyat Malaysia yang hilang selepas serangan pengganas di Christchurch, masih tidak diketahui setakat jam 3 petang tadi.
Bagaimanapun, menurut Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah, usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan mangsa.
“Setakat jam 3 petang, disahkan tiga rakyat Malaysia cedera dalam insiden tembakan yang mensasarkan dua masjid di Christchurch semalam. Semua mereka sedang dirawat di hospital.
“Seorang rakyat Malaysia masih hilang dan usaha untuk mengesannya masih dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, kerajaan telah menghantar dua pegawai dari pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington ke Christchrch bagi membantu mangsa dan keluarga mangsa.
Sementara itu, timbalan setiausaha agung (Hubungan Multilateral) dari Kementerian Luar Negeri akan turut berangkat ke sana petang ini.
Saifuddin turut memaklumkan bahawa beliau telah bercakap dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar New Zealand, Winston Peters, bagi menyampaikan takziah kepada kerajaan dan rakyat New Zealand.