Friday 29 May 2015

Kem Pelarian Di Wang Kelian Milik 'Yassin'-mstar


Diterbitkan: Khamis, 28 Mei 2015 3:03 PM
  (Ubah saiz teks)
ALOR SETAR: Kem-kem transit yang ditemui pihak berkuasa Malaysia di kawasan hutan Wang Kelian, Perlis dipercayai diguna untuk menempatkan mangsa-mangsa jenayah pemerdagangan manusia yang "dibeli" oleh ejen besar sindiket itu dikenali dengan nama "Yassin".
Perkara itu didedahkan Timbalan Pengerusi Rohingya Society in Malaysia (RSM) Kedah, Yusof Ali kepada Bernama hari ini yang turut berkata, Yassin berbangsa Rohingya dan dikenali sebagai seorang daripada ejen utama sindiket itu.
Menurutnya, walaupun berasal dari Myanmar tetapi Yassin, yang berumur dalam lingkungan 30-an tinggal di selatan Thailand, manakala operasi sindiket pemerdagangan manusia diketuainya pula menjangkau sehingga ke negara ini.
"Hasil maklumat kami, beliau merupakan ejen yang bertanggungjawab "membeli" warga Rohingya dan Bangladesh terbabit daripada sindiket di selatan Thailand dengan harga tertentu dan ditempatkan secara sementara di kem-kem transit di Wang Kelian sebelum dijual kepada pihak lain.

'Polis upah peguam sebab AG enggan bertindak''-mkini



Bekas pengarah bahagian jenayah komersial Bukit Aman Datuk Ramli Yusof mendakwa di Mahkamah Tingi Kuala Lumpur bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) menuduh Rosli Dahlan sehari sebelum hari raya pada 2007 untuk mengelakkan peguam itu membantunya.

Memberi keterangan semasa pemeriksaan semula peguam Chethan Jethwani, Ramli berkata sudah jelas bahawa bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail cuba menganiayanya.

Katanya pihak polis menemui Rosli setelah Jabatan Peguam Negara tidak mahu memfailkan draf afidavit beliau dan enam lagi pegawai polis terhadap ketua kongsi gelap Goh Cheng Poh.

Ramli berkata Rosli membantu memfailkan afidavit untuk menentang permohonan habeas corpus Goh.

“Mereka cuba elak Rosli daripada bantu saya dan itu sebabnya mereka dakwa dia dulu. Saya sebenarnya suspek, bukan Rosli.

“Saya saksi utama (kes pengisytiharan aset). Mereka patut tuduh saya di mahkamah sejak awal lagi,” kata bekas pegawai kanan polis itu lagi.

Dr M: Doktor disiasat, menteri mewah terlepas-mkini



Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan dakwaan pilih kasih terhadap pihak didakwa hidup mewah di negara ini.

Katanya beliau sendiri pernah digeledah oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana mempunyai klinik dan dianggap kaya sebagai seorang doktor serta tidak membayar cukai sepenuhnya.

Begitu juga apabila pegawai kerajaan yang hidup mewah melebihi pendapatan biasanya disiasat.

“Tetapi apabila menteri atau orang awam tertentu diketahui hidup terlalu mewah, siasatan tidak dibuat.

“Sebaliknya orang yang membuat laporan polis berkenaan perkara tertentu disiasat,” kata Mahathir.

“Amatlah menyedihkan apabila ternampak ada pilih kasih dalam siasatan jenayah.”

Beliau justeru menegaskan bahawa setiap rakyat Malaysia tertakluk pada undang-undang sama dan negara ini sudah disenaraikan sebagai antara 10 negara yang rasuah berleluasa.|

Mahathir membangkitkan perkara itu ketika mengulas keengganan jabatan kerajaan bertanggungjawab bertindak terhadap dakwaan kehilangan wang 1MDB, syarikat pelaburan negara cetusan ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya, kata Mahathir, pihak yang membuat laporan polis dimufliskan, rumah dirampas dan disiasat kononnya membiayai gerakan keganasan dan penggubahan wang haram.

Bukan itu sahaja, kata Mahathir, pemberita juga ditangkap bawah Akta Hasutan dan kemudian dibebas kerana mereka sebenarnya tidak melakukan sebarang kesalahan.
 

Wednesday 27 May 2015

Suspek Culik Budak Tujuh Tahun Direman-MSTAR


  (Ubah saiz teks)
KOTA BAHARU: Seorang lelaki yang disyaki terbabit dengan kes penculikan seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun pada Jumaat lepas ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Baharu Roszita Md Saad.
Dalam kejadian Jumaat lepas mangsa dibawa ke masjid oleh bapanya untuk menunaikan solat Isyak di Masjid Muhammadi sebelum didapati hilang kira-kira pukul 9 malam.
Mangsa ditemui orang awam sedang meminta sedekah di sebuah pasar raya sehari selepas kejadian sebelum diserahkan kepada bapanya yang berniaga di Pasar Siti Khadijah di sini.
Akhbar pada Selasa melaporkan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim dipetik sebagai berkata suspek berumur 22 tahun yang berasal dari Terengganu itu ditangkap orang awam ketika sedang meminta sedekah di hadapan Masjid Muhammadi di sini pada 10.15 pagi Isnin.

Zahid: Keselamatan negara kebimbangan utama-MALAYSIAKINI



Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, larangan Jabatan imigresen Malaysia terhadap aktivis Revolusi Payung dari Hong Kong, Joshua Wong dibuat di luar pengetahuannya.

Bagaimanapun, Zahid yang ditemui pemberita di lobi parlimen hari ini menjelaskan, sesuatu larangan dibuat oleh imigresen terhadap warganegara asing biasanya disebabkan atas pertimbangan faktor keselamatan.

Ditanya mengapa Wong ditahan di Lapangan Terbang Pulau Pinang, Zahid berkata perkara itu akan ditanya sendiri kepada Ketua Pengarah Imigresen.

"Saya perlu tanya saya punya ketua imigresen, kita perlu periksa, ia merupakan kes yang berlainan," katanya.

Zahid menambah, kerajaan sentiasa bersikap terbuka terhadap perbezaan pendapat dan ideologi politik seseorang aktivis.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya terdapat aktivis atau warga asing yang dilihat boleh memberi kesan negatif kepada negara ini, kerajaan akan bertindak tegas dengan mereka.

Wong tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pagi tadi sebelum dihantar pulang ke Hong Kong tidak lama selepas itu.

Adik PM: Tindakan 1MDB tak boleh diterima-MALAYSIAKINI



Adik kepada perdana menteri, Datuk Seri Nazir Razak berkata beliau tidak dapat menerima keputusan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk tidak hadir ke siasatan parlimen berhubung masalah firma itu.

Pengerusi kumpulan perbankan CIMB itu berkata, bekas ketua pegawai operasi 1MDB, Datuk Shahrul Halmi dan penggantinya, Arul Kanda sepatutnya hadir untuk siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kerana firma tersebut “mencetus krisis nasional”.

“Syarikat anda mencetuskan krisis nasional dan anda boleh pula terlalu sibuk untuk menghadapi (siasatan) parlimen? Ini tidak boleh diterima,” kata Nazir.

Adik kepada Datuk Seri Najib Razak itu memuatkan tulisan itu melalui akaun Instagram.

Beliau pada April lalu turut mengecam 1MDB kerana tidak hadir ke persidangan Invest Malaysia untuk menjelaskan isu yang menghurung firma tersebut.

1MDB dalam kenyataan semalam menjelaskan tarikh yang ditetapkan untuk memberi keterangan di PAC itu bertembung dengan satu temujanji di luar negara.

Firma itu juga menyatakan bahawa Arul Kanda, Shahrol Halmi dan anggota lembaga pengarahnya akan memberi kerjaasama dan hadir ke siasatan PAC.

"Tarikh ini sedang diputuskan kerana tarikh yang dicadangkan sebelum ini bertembung dengan tarikh yang dijadualkan untuk komitmen di luar negara.

"Arul Kanda dan Datuk Shahrol Halmi menanti-nanti peluang untuk hadir ke siasatan jawatankuasa ini dan menjelaskan kedudukan 1MDB," kenyataan itu dipetik.

Dalam kenyataan hari ini pula, 1MDB seterusnya menjelaskan bahawa firma tersebut hanya menerima surat berhubung jemputan ke sesi siasatan tersebut pada 21 Mei.

Menurut 1MDB, jemputan yang dikepilkan bersama dalam satu surat dari kementerian kewangan itu meminta syarikat tersebut hadir ke siasatan pada 26 Mei.

“Sebaik menerima surat tersebut, 1MDB menjawab kepada Kementerian Kewangan pada 21 Mei, pada hari yang sama ketika jemputan itu diterima.

“Seperti yang disahkan oleh YB Nur Jazlan, pengerusi PAC, tarikh untuk kemunculan ini masih lagi sedang diputuskan, memandangkan tarikh yang dicadangkan sebelum ini bertembung dengan komitmen di luar negara yang dijadualkan sebelumnya.”

Mat Sabu: Rakyat tak percaya jaminan polis-MALAYSIAKINI



Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menuntut Polis Diraja Malaysia memberi penjelasan dan bertanggungjawab atas pencerobohan yang berlaku ke atas sempadan negara.

Mohamad (kiri) dalam kenyataannya hari ini berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu bertanggungjawab dalam isu itu dan mesti meletak jawatan jika tidak mampu menyelesaikannya.

“Rakyat terus bimbang dengan isu keselamatan dan tidak mampu lagi mempercayai jaminan keselamatan oleh pihak polis khususnya dan kerajaan,” katanya Mohamad.

Sementara itu PKR hari ini mengemukakan usul supaya sidang parlimen ditangguhkan bagi mendengar penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi mengenai isu keselamatan negara.

Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung (kanan) berkata penjelasan itu merujuk kepada penemuan 139 kubur dan 28 kem digunakan sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia - Thailand.

Polis semalam mengesahkan ia adalah kubur mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

“Bahawa Dewan ini menggesa Menteri Dalam Negeri memberi penjelasan dalam soal keselamatan negara, bagaimana kem-kem memperdagangkan manusia dan kubur-kubur yang baru ditemui di dalam kawasan Malaysia boleh terjadi tanpa pengetahuan kerajaan selama ini,” kata Gooi.

Katanya lagi, sidang itu perlu disegerakan memandangkan berkepentingan ramai dan perlu disegerakan.

Monday 25 May 2015

Kes BAFIA Rafizi Ditetapkan 19 Jun


Diterbitkan: Jumaat, 22 Mei 2015 3:24 PM
Mohd Rafizi Ramli.
  (Ubah saiz teks)
SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat menetapkan 19 Jun depan bagi mendengar kes Setiausaha Agung PKR Mohd Rafizi Ramli yang menghadapi pertuduhan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).
Hakim Zamri Bakar menetapkan tarikh itu berikutan Hakim Rozina Ayob yang mengendalikan kes berkenaan, menarik diri pada 15 Mei lepas.

Rozina membuat keputusan menarik diri daripada mendengar kes Mohd Rafizi selepas beliau menyedari mempunyai hubungan kekeluargaan dengan saksi utama kes tersebut iaitu Pengerusi National Feedlot Corporation (NFC) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Sehubungan itu, Rozina berkata semua prosiding permohonan ditangguhkan sehingga hakim baharu mengambil alih kes ini.

Pakatan Mungkin Berpecah Dalam Tempoh Dua Minggu Lagi


Diterbitkan: Ahad, 24 Mei 2015 9:22 PM
Lim Kit Siang.
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat kini di ambang perpecahan.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS, tiga parti komponen dalam pakatan pembangkang mungkin tidak akan wujud lagi dalam tempoh dua minggu lagi.
"Ini merupakan perkembangan politik paling tidak munasabah," kata Lim dalam laman blognya pada Ahad.

Beliau berkata sebuah kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno mungkin akan menjadi kenyataan selepas cuba dihalang bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.

"Bekas pemimpin PAS menegaskan kerajaan perpaduan mendapat restu daripada Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang tetapi dihalang Nik Aziz," katanya.

Katanya, beliau terkejut apabila mengetahui dakwaan terbaharu Hadi bahawa cadangan tersebut mendapat kelulusan Nik Aziz dan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dimaklumkan kepada DAP.

Lim merujuk kepada ucapan Hadi pada Selasa lalu di mana beliau mendakwa Nik Aziz dan Anwar menyokong idea pembentukan kerajaan perpaduan dengan Umno.

"DAP tidak pernah memaklumkan kepada Hadi mengenai idea itu.

"Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli turut menafikan Anwar bersetuju dengan konsep tersebut.

"Nik Aziz mungkin tidak bersetuju atau beliau tidak akan menegur Nasharuddin pada Jun 2009 dan memberitahunya supaya berundur sebagai Timbalan Presiden PAS dan Ahli Parlimen Bachok serta menyertai Umno sekiranya beliau ingin tetap meneruskan konsep perpaduan," katanya.

Lim berkata satu cara untuk menyelamatkan Pakatan Rakyat daripada berpecah adalah dengan mengamalkan hala tuju lapan tahun Pakatan Rakyat.

Beliau berkata tiga parti komponen perlu komited untuk menegakkan dua prinsip asas iaitu kepatuhan pada dasar bersama dan prinsip operasi kesepakatan mengenai Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sebagai badan pembuat dasar tertinggi dalam Pakatan Rakyat.

Thursday 21 May 2015

Muzik, puisi di malam 100 hari Anwar di penjara



Para pemimpin dan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berhimpun di luar pintu Penjara Sungai Buloh untuk menunjukkan solidariti dengan ketua umum PKR itu, di malam 100 hari belliau di penjara.

Mereka yang berjumlah hampir 300 orang itu menyanyi dan menari di antara laungan "Reformasi!" - yang menjadi motto Anwar.

Muzik dan puisi berkumandang di tengah-tengah cahaya nyalaan lilin ketika kumpulan band bangsART memainkan medley lagu protes jalanan.

Hadirin yang berbilang kaum daripada pelbagai peringkat umur, menggerakkan kepala dan menghentak kaki mengikut iramanya.

Sasterawan negara Datuk A Samad Said turut mendeklamasikan sajak bertajuk 'Malam Anwar',

Manakala anak perempuan sulung Anwar, Nurul Izzah turut membacakan puisi penyair terkenal Indonesia WS Rendra.

Katanya, Anwar meminta beliau mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang terus memberi peluang kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Permatang Pauh.

Kerusi Permatang Pauh telah diisytiharkan kosong apabila permohonan pengampunan Anwar ditolak, dan isterinya, Wan Azizah, memenangi pilihan raya kecil di situ dan mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen baru Isnin lalu.

Ibunya, yang turut dilantik sebagai ketua pembangkang yang baru, tidak hadir malam ini, tetapi adik-adiknya Nurul Nuha dan Nurul Ilham tampil memberi ucapan yang menyentuh hati.

Walaupun berucap kepada hadirin, namun Nurul Nuha seolah-olah bercakap terus dengan ayahnya, berikrar bahawa mereka tidak akan menangis dalam menghadapi kesukaran ini, walaupun dia beberapa kali kedengaran sebak.

Pemimpin PKR termasuk Naib Presiden Tian Chua dan Shamsul Iskandar Md Akin, bergilir-gilir menyampaikan ucapan di atas sebuah trak pick-up, melaungkan nada solidariti dan berjanji kepada Anwar bahawa rakyat akan terus membanjiri jalanan untuk menuntut pembebasannya.

Beberapa pemimpin Pakatan yang kelihatan turut hadir ialah MP Segambut Lim Lip Eng dan MP Ipoh Timur Thomas Su, kedua-duanya dari DAP dan MP PSM Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar.

Curi wang mangsa MH370, mekanik dipenjara, sebat



Seorang mekanik hari ini dijatuhi hukuman penjara berjumlah 11 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi
kesalahan mencuri wang berjumlah RM7,650 milik seorang mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, antara Mei dan Julai tahun lepas.
  
Hakim Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman itu terhadap Basheer Ahmad Maula Sahul Hameed, 34, selepas tertuduh pada 28 April lepas menukar pengakuan kepada bersalah terhadap empat pertuduhan mencuri wang milik seorang mangsa pesawat
itu, warga China Tian Jun Wei.
  
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara dua tahun, pertuduhan kedua pula penjara dua tahun dan masing-masing penjara tiga tahun dan satu sebatan serta empat tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan ketiga dan keempat.
  
Bagaimanapun, Basheer hanya perlu menjalani hukuman penjara empat tahun selepas Hakim Norsharidah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak mulai hari ini.

Permohonan injunksi untuk halang dana labur lagi dalam 1MDB



Satu permohonan akan difailkan di mahkamah minggu depan untuk mendapatkan injunksi bagi menghalang beberapa dana daripada terus membuat pelaburan dalam 1MDB, kata Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Dana-dana itu ialah Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Haji, yang telah membuat pelaburan tersebut pada masa lalu.

Bercakap dalam satu ceramah di Serdang malam tadi, Rafizi berkata, pihaknya mahu memastikan dana-dana tersebut berfikir dua atau tiga kali sebelum melaburkan wang dalam 1MDB selepas ini.

Katanya, ketika skandal 1MDB berlanjutan, syarikat pelaburan itu perlu mencari lebih banyak wang untuk membayar hutangnya RM42 bilion.

Dalam keadaan sebegitu, Rafizi melahirkan kebimbangan mengenai kemungkinan dana-dana tersebut akan terlibat lebih dalam lagi.

Ketika ditemui selepas ceramah tersebut bagi mendapatkan maklumat mengenai permohonan itu, Rafizi bagaimanapun memberitahu pemberita bahawa beliau akan mengumumkannya dalam satu sidang akhbar esok.

Wednesday 20 May 2015

PKR nafi Anwar setuju idea k'jaan perpaduan



PKR hari ini menafikan sekeras-kerasnya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim atau mana-mana pimpinan parti itu telah atau pernah bersetuju dengan idea bergabung dengan Umno di dalam sebuah kerajaan perpaduan seperti yang dirujuk oleh Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, semalam.

Naib Presiden yang juga setiausaha agung PKR, Rafizi Ramli berkata beliau diberi mandat oleh biro politik PKR untuk menafikan perkara itu.

"PKR berharap kami tidak diheret di dalam persoalan dalaman PAS," kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, fokus PKR adalah untuk membela rakyat dan memperbaiki institusi kerajaan yang didakwanya rosak di bawah BN.

DAP nasihat Hadi: Islam agama ramah, bukan marah



DAP menyuarakan kehairanan terhadap kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa orang Islam dibenar melepaskan kemarahan terhadap parti itu susulan isu hudud.

“Sebagai seorang yang bukan beragama Islam dan tanpa ilmu mengenai agama Islam, saya hanya tahu bahawa Islam adalah agama ramah, bukan agama marah,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Saya memohon Hadi supaya mengemukakan dalil Quran yang manakah dijadikan hujah bahawa umat Islam mesti sentiasa marah terhadap mereka yang tidak percaya, mahupun mereka yang tidak sependapat.”

Hadi semalam berkata PAS menunjukkan "kemarahan" terhadap DAP berhubung isu pelaksanaan hudud di Kelantan demi tanggungjawab Islam.

"DAP tidak bersetuju dengan hudud, buat kenyataan yang berlawanan dengan Kelantan. Jadi kita ada tanggungjawab kita (menjaga Islam). Kita marah.

"Kita marah sebab ia satu tanggungjawab Islam. Kita mesti marah.”

Dalam kenyataannya hari ini, Lim juga mempersoalkan kenapa Hadi hanya melepaskan kemarahan kepada DAP dan pihak lain yang membantah undang-undang sama.

Anggota Parlimen Bagan itu berkata DAP membantah hudud kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan, bukan kerana ia sebahagian daripada ajaran Islam.

“Adakah Hadi hanya marahkan DAP kerana DAP merupakan satu-satunya parti yang ikhlas dan serius membantah undang-undang hudud tidak seperti parti-parti lain yang tidak benar-benar komited, tetapi sekadar bersandiwara mengikut arahan Umno?” katanya lagi. 
 

Tuesday 19 May 2015

Kes Sosilawati: Rayuan Empat Lelaki Ditangguh Ke 10 Ogos


Diterbitkan: Isnin, 18 Mei 2015 8:34 PM
Salah seorang daripada empat lelaki yang dijatuhkan hukuman mati kes pembunuhan Sosilawati, R Matan menaiki van penjara selepas kes rayuan mereka ditangguhkan ke 10 Ogos.
  (Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menangguhkan ke 10 Ogos ini untuk mendengar rayuan empat lelaki dijatuhi hukuman mati bagi kesalahan membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lain selepas seorang peguam menarik diri daripada mewakili seorang daripada tertuduh.
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Aziah Ali dijadual mendengar rayuan itu selama lima hari bermula Isnin.
Bagaimanapun, pendengaran ditangguhkan selepas peguam Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan kepada mahkamah yang beliau menarik diri daripada mewakili tertuduh keempat R. Kathavarayan susulan surat dan laporan polis dibuat oleh tertuduh (Kathavarayan).
Peguam itu berkata Kathavarayan telah membuat laporan polis bertarikh 20 April tahun ini menyatakan dia tidak mahu beliau (Hisyam) mewakilinya atas alasan kepentingannya akan terjejas.
Kathavarayan juga menyatakan dalam laporan itu yang dia mahukan peguam bangsa India yang fasih bahasa Tamil mewakilinya untuk memudahkannya berkomunikasi dengan peguam itu.

Pengarah Syarikat Disamun Hampir Setengah Juta


Diterbitkan: Isnin, 18 Mei 2015 11:10 PM
Gambar hiasan.
  (Ubah saiz teks)
SHAH ALAM: Seorang pengarah sebuah syarikat kerugian hampir setengah juta ringgit selepas disamun sekumpulan lelaki dipercayai warga Amerika Latin di hadapan sebuah gudang di Seksyen 15 di sini petang Isnin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Supt Ruslan Abdullah berkata kejadian kira-kira 3.20 petang itu berlaku ketika mangsa yang berusia 42 tahun sedang memandu Ford Ranger memasuki kawasan Seksyen 15.
"Secara tiba-tiba tiga lelaki dipercayai warga Amerika Latin yang berada dalam sebuah kereta BMW memberi isyarat kepada mangsa bahawa tayar belakang kenderaan mangsa pancit," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata berikutan itu mangsa memberhentikan kenderaannya bagi memeriksa tayar kenderaan berkenaan.
"Ketika mangsa memberhentikan kenderaannya, seorang daripada suspek telah membuka pintu kenderaan mangsa sebelum melarikan beg milik mangsa yang diletakkan di tempat duduk bahagian belakang pemandu," katanya.
Ruslan berkata sebelum kejadian, mangsa dilaporkan telah mengeluarkan wang tunai berjumlah RM449,000 dari sebuah bank di Subang Jaya.

Skandal 1MDB mesti dijelaskan di parlimen


Saya tidak nafikan bahawa Umno berhak memberikan penjelasan kepada ahli parti berkenaan isu yang dikaitkan dengan presidennya.

Tetapi harus disedari bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak ialah perdana menteri Malaysia dan 1MDB adalah milik kerajaan Malaysia di bawah kementerian kewangan yang mana Najib juga adalah menterinya.

Krisis yang melanda 1MDB memberi kesan langsung kepada status kewangan negara yang mana rakyat sebagai pembayar cukai adalah antara penyumbang terbesar pendapatan negara.

Lainlah jika Umno berpendirian bahawa harta dan wang kerajaan adalah milik Umno.

Kalaulah Najib melihat ada kewajaran memberikan penjelasan kepada para ketua Umno bahagian berkenaan isu yang dikaitkan dengan, maka amat wajar sekali jika Najib menjelaskan isu ini di Parlimen.

Ini kerana, rakyat Malaysia bukan ahli dan penyokong Umno sahaja. Harus diingati bahawa BN hanya menguasai 47.38 peratus undi sahaja daripada seluruh rakyat Malaysia dalam pilihan raya umum ke-13, dan saya yakin kini ia semakin merosot.

Tidak cukup dengan siasatan oleh Jawatakuasan Kira-kira Wang Negara dan Ketua Audit Negara sahaja, Najib mesti jelaskan isu ini di Parlimen.


DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI ahli parlimen Kuala Nerus. 
 

DAP: Kes Altantuya tak habis dengan FAQ



Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata kenyataan terbaru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai kes Altantuya Shaariibuu hanya membangkitkan persoalan baru mengenai kes pembunuhan tersebut.

Katanya, Najib tidak sepatutnya harus bahawa “jawapan kepada soalan lazim (FAQ)” di blog PM itu akan menamatkan semua persoalan mengenai kes tersebut.

Sebaliknya, ia akan “meledakkan” semula soalan yang masih belum terjawab sebelum ini, kata MP Gelang Patah itu dalam kenyataannya.

“Ia akan meledakkan semula persoalan – mengapa terdapat konspirasi untuk mendiamkan isu ini sejak sembilan tahun lalu oleh pihak berkuasa berkaitan dan individu terlibat...?” soalnya.

Lim mendakwa, tindakan mendiamkan diri itu bagi mengelakkan motif pembunuhan Altantuya dipersoalkan.

Monday 18 May 2015

Najib: Henti kaitkan saya dengan kes Altantuya



Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak terus menyerang Dr Mahathir Mohamad dengan menimbulkan keraguan mengapa bekas perdana menteri itu membangkitkan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu yang berlaku lapan tahun lalu.

Kes Altantuya adalah yang pertama tersenarai dalam soalan lazim (FAQ) dalam blog perdana menteri itu

Dalam jawapannya, Najib mempersoalkan mengapa "individu berpengaruh (dengan) pelbagai sumber" membangkitkan dan mengaitkan beliau dalam kes tersebut.

"Jika mereka percaya (berhubung dakwaan penglibatan Najib) adalah benar, mengapa mereka tidak membangkitkannya apabila isu itu meletus lapan tahun lalu? Kenapa sekarang?" soal Najib.

Wan Azizah dilantik ketua pembangkang



Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) dan Datuk Hasan Arifin (BN-Rompin) mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen hari ini.

Upacara angkat sumpah itu diadakan di hadapan Speakder Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Wan Azizah, yang kembali ke Parlimen selepas tujuh tahun, juga diumumkan oleh Speaker sebagai ketua pembangkang baru.

Sidang Parlimen bermula hari ini sehingga 18 Jun, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dijangka membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11 pada hari Khamis.
 
Speaker berkata beliau puas hati mendapatkan kata sepakat (dari pihak Pakatan Rakyat), dan mengumumkan Wan Azizah sebagai ketua pembangkang serta mengalu-alukan kehadirannya semula di Parlimen.
 
Anak-anak Wan Azizah - Ehsan Anwar dan Ilham Hana Anwar - menghadiri majlis tersebut.
 
Pada 7 Mei, Wan Azizah memenangi kerusi parlimen Permatang Pauh dengan majoriti 8,841 undi dalam pilihan raya kecil baru-baru ini.

Beliau mendapat 30,316 undi berbanding 21,475 undi yang diperolehi calon BN Suhaimi Sabudin.
 

Thursday 14 May 2015

Abdul Azeez Patut Letak Jawatan Pengerusi TH - Syed Mehdhar


Diterbitkan: Rabu, 13 Mei 2015 10:50 PM
Abdul Azeez Abdul Rahim.
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sewajarnya meletak jawatan kerana kredibiliti terus dipertikaikan banyak pihak.
Setiausaha Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Mehdhar Syed Abdullah menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya melucutkan jawatan Abdul Azeez kerana tindakannya mencetuskan kegelisahan dikalangan pedeposit TH.
"Dari segi kredibiliti, ianya sudah tercemar apabila pada mulanya beliau menafikan berhubung pembelian tanah tersebut oleh TH.
"Ini bukan melibatkan urusniaga RM100 atau RM1,000 tetapi mencecah ratusan juta ringgit, agak mustahil Pengerusi TH tidak ambil tahu, apatah lagi pendedahannya tersebar luas menerusi media sosial," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam blog umnobahagiancheras pada Rabu.
Beliau berkata, sebarang urusniaga jutaan ringgit atau apa juga keputusan melibatkan kepentingan umum sesebuah syarikat GLC mesti diketahui oleh pengerusi.

Kes Yazid: Membaca Buku Bersifat Radikal Bukan Kesalahan - Saksi


Diterbitkan: Khamis, 14 Mei 2015 12:07 AM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Seorang pensyarah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa membaca buku yang bersifat radikal tidak menjadi satu kesalahan kepada individu yang membacanya.
Pensyarah Jabatan Usuludin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Kamaruddin Salleh berkata bagaimanapun kesan pembacaan bahan seperti itu adalah bergantung kepada asas pemikiran dan kemahiran menafsir individu itu sendiri.
"Dalam sesetengah keadaan, konteks seseorang menerima sesuatu bergantung kepada individu itu sendiri. Tidak salah untuk membaca tetapi perlu memahami dasar dan mempunyai kefahaman dalam agama," katanya semasa pemeriksaan balas peguam Amer Hamzah Arshad pada perbicaraan Yazid Sufaat, 51, dan pembantu kafetaria, Muhammad Hilmi Hasim, 35.
Yazid, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berdepan dua pertuduhan menggalakkan keganasan dengan niat mengugut orang awam di Syria dan menjadi anggota kumpulan Tanzim Al-Qaeda Malaysia, manakala Muhammad Hilmi didakwa bersubahat dengannya.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di DL 11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang antara 1 Ogos 2012 dan 7 Februari 2013.

Pemerdagangan Manusia: Dua Polis Antara 38 Ditahan - Khalid


Diterbitkan: Rabu, 13 Mei 2015 4:42 PM
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Dua anggota polis antara 38 individu yang ditahan berhubung kegiatan pemerdagangan manusia di utara Malaysia dan selatan Thailand.
Dalam kenyataan pada Rabu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tujuh sindiket pemerdagangan manusia dilumpuhkan hasil kerjasama rapat antara Polis Diraja Malaysia dan Thailand.
"Suspek membabitkan 21 warga Myanmar, 16 rakyat Malaysia dan seorang dari Indonesia ditahan antara Mac dan April tahun ini.
"Mereka merangkumi ejen, ketua sindiket, pihak yang bertanggungjawab membawa mangsa dan dua anggota polis," katanya sambil menambah semua terbabit ditahan mengikut Seksyen 26 (A) Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Khalid mendedahkan, mangsa sindiket itu lebih kepada warga Myanmar dan Bangladesh.
"Mereka juga dipercayai terbabit memalsukan dokumen Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)," katanya.
Khalid menambah, antara Ahad dan Isnin pula, polis menahan 1,018 Pati di pesisir pantai Langkawi.
"Mereka membabitkan 555 Bangladesh, 463 warga Myanmar. Dua kapal yang digunakan juga dirampas," katanya.
Semua Pati masih ditahan di Langkawi untuk membantu siasatan sebelum sebarang tindakan lanjut dilaksanakan.

Pati Di Langkawi & Aceh Dipercayai Guna Sindiket Sama


Diterbitkan: Khamis, 14 Mei 2015 7:00 AM
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Kebanjiran pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Myanmar (etnik Rohingya) dan Bangladesh di Langkawi dan Aceh, Indonesia hujung minggu lalu dipercayai didalangi oleh sindiket yang sama.
Sumber Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberitahu mStar Online pada Rabu, sindiket yang sama dipercayai mendalangi ketibaan pendatang asing tanpa izin ini melalui jalan yang berbeza.
“Kita mengesyaki Pati yang tiba di Langkawi dan Aceh melibatkan sindiket yang sama. Mereka cuma menggunakan laluan yang berbeza,” katanya.
KDN katanya, menyifatkan warga Bangladesh yang ditahan merupakan migran ekonomi yang meninggalkan negara mereka untuk mendapatkan peluang pekerjaan di negara asing manakala warga etnik Rohingya pula lari untuk menyelamatkan diri daripada konflik di wilayah Rakhine, Myanmar selain mereka tidak diiktiraf sebagai rakyat di negara itu.
Seramai 1,158 Pati yang terdiri daripada 486 orang dari Myanmar manakala 672 lagi dari Bangladesh tiba di Langkawi pada Ahad lalu dan ditahan pada awal pagi Isnin.