Friday, 21 February 2014

Pemandu Lori Cedera Ditembak Di Kaki

SHAH ALAM: Seorang pemandu lori ditembak di bahagian kaki selepas terlibat dengan adegan kejar-mengejar dengan dua buah kereta peronda polis.
Difahamkan lelaki tersebut memandu secara berbahaya di Jalan Kebun di sini ketika anggota polis sedang mengawal lalu lintas kira-kira pukul 7 pagi Jumaat.
Apabila diarahkan untuk menghentikan lori tersebut, pemandu itu memecut laju dan dua buah kereta peronda polis mengejar lori itu sehingga Taman Kandis, Klang.

Pengurusan Kes Rayuan Pendakwaan Terhadap Pembebasan Azilah, Sirul Azhar 25 Februari Ini

PUTRAJAYA: Rayuan pendakwaan terhadap pembebasan dua anggota Unit Tindakan Khas polis daripada tuduhan membunuh wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu ditetapkan untuk pengurusan kes pada Selasa, 25 Feb.
Peguam Datuk Hazman Ahmad mewakili Cif Inspektor Azilah Hadri berkata beliau menerima notis daripada pendaftar Mahkamah Persekutuan semalam memaklumkan tentang tarikh pengurusan kes itu.
"Pada hari berkenaan (25 Feb) mahkamah akan menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan pendakwaan," katanya ketika dihubungi di sini Jumaat.
Pada 23 Ogos tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah, 37, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 42, serta melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt, 2006.

Kata Hasutan Terhadap Sultan Perak: Karpal Singh Diputuskan Bersalah

KUALA LUMPUR: Peguam Karpal Singh yang juga pengerusi DAP didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini terhadap pertuduhan mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak berhubung pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar pada 2009.
Karpal, 73, dituduh mengeluarkan kenyataan itu di firma guamannya di Jalan Pudu Lama pada 6 Februari 2009.
Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan 7 Mac untuk menjatuhkan hukuman setelah peguam Karpal Singh, Gobind Singh Deo yang juga anaknya, memberitahu mahkamah bahawa tertuduh tidak berapa sihat dan memerlukan masa untuk menyediakan mitigasi

Polis Rampas 10 Kenderaan Mewah

KUALA LANGAT: Polis merampas 10 kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM1.4 juta yang dipercayai digunakan sindiket penyeludupan di persisiran pantai berdekatan Batu Hampar, Jugra, Banting di sini, Khamis.
Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kesemua kenderaan terbabit ditinggalkan anggota sindiket semasa polis menyerbu persisiran pantai itu pukul 6 pagi.
"Kereta mewah yang dirampas terdiri daripada sebuah Toyota Camry, dua jenis Toyota Vellfire, sebuah Toyota Alphard dan enam Toyota Estima yang sebahagian besar nombor pendaftaran dan nombor casisnya telah ditukar.

Ketua DAP Cawangan Kampung Jering Mati Ditembak

Polis forensik membuat pemeriksaan rapi di hadapan rumah bekas Pengerusi DAP Kampung Jering Wong Kong Ting, 56, yang juga seorang kontraktor tanaman semula sawit mati ditembak di rumahnya di Kampung Jering, Ayer Tawar. - fotoBERNAMA
MANJUNG: Ketua DAP Cawangan Kampung Jering mati ditembak di rumahnya di Kampung Jering, Ayer Tawar dekat sini.
Wong Kong Ting, 56, ditemui mati berlumuran darah di hadapan rumahnya oleh anggota keluarga selepas mendengar bunyi tembakan kira-kira pukul 10 malam Rabu.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Manjung namun disahkan mati kira-kira pukul 11 malam.
Difahamkan tiga das tembakan telah dilepaskan kearah mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian lengan dan dada.

Emosi Saya Terganggu Seumur Hidup - Anak Pasangan Malaysia Di Sweden

Ammar (tengah) bersama adik-adiknya Adam (kiri) dan Arif (kanan).
STOCKHOLM: Anak lelaki pasangan Malaysia di Sweden yang dibicarakan atas dakwaan mendera berkata hukuman yang diberikan oleh ibunya tidak meninggalkan kesan secara fizikal sebaliknya dari sudut emosi.
Ammar, 12, menerusi temubual berkata dia mahu keluarganya kembali bersama seperti biasa.
"Saya ingin ibu bapa saya kembali ke rumah dan kami boleh menjalani kehidupan bersama-sama," kata Ammar dalam video yang dirakam awal Januari lalu ketika perbicaraan di Mahkamah Daerah Solna di sini pada Khamis.
Ammar yang kelihatan kecewa meminta polis yang menemuduganya agar membebaskan ibu bapanya secepat mungkin.