Friday 21 February 2014

Pengurusan Kes Rayuan Pendakwaan Terhadap Pembebasan Azilah, Sirul Azhar 25 Februari Ini

PUTRAJAYA: Rayuan pendakwaan terhadap pembebasan dua anggota Unit Tindakan Khas polis daripada tuduhan membunuh wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu ditetapkan untuk pengurusan kes pada Selasa, 25 Feb.
Peguam Datuk Hazman Ahmad mewakili Cif Inspektor Azilah Hadri berkata beliau menerima notis daripada pendaftar Mahkamah Persekutuan semalam memaklumkan tentang tarikh pengurusan kes itu.
"Pada hari berkenaan (25 Feb) mahkamah akan menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan pendakwaan," katanya ketika dihubungi di sini Jumaat.
Pada 23 Ogos tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah, 37, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 42, serta melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt, 2006.

Kedua-dua mereka disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 2009.
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang didakwa bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas mendapati pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
Pihak pendakwaan tidak mengemukakan rayuan.
Mahkamah Rayuan, dalam penghakiman 47 muka surat, menegaskan bahawa keterangan ikut keadaan yang dikemukakan pendakwaan tidak mencukupi untuk mengekalkan keputusan bersalah kedua-dua anggota polis itu.
Kesalahan mereka tidak dibuktikan dengan memuaskan, oleh itu mahkamah terpaksa memberi mereka faedah kesangsian.
Pendakwaan memfailkan petisyen rayuan pada 3 Jan tahun ini, menyenaraikan enam sebab panel tiga hakim Mahkamah Rayuan telah terkhilaf, dalam undang-undang dan fakta, untuk membenarkan kedua-dua anggota polis itu terlepas daripada tali gantung. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment