Friday, 21 February 2014

Pemandu Lori Cedera Ditembak Di Kaki

SHAH ALAM: Seorang pemandu lori ditembak di bahagian kaki selepas terlibat dengan adegan kejar-mengejar dengan dua buah kereta peronda polis.
Difahamkan lelaki tersebut memandu secara berbahaya di Jalan Kebun di sini ketika anggota polis sedang mengawal lalu lintas kira-kira pukul 7 pagi Jumaat.
Apabila diarahkan untuk menghentikan lori tersebut, pemandu itu memecut laju dan dua buah kereta peronda polis mengejar lori itu sehingga Taman Kandis, Klang.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata polis berjaya mengepung lori itu dengan bantuan dua lagi kenderaan pelbagai guna (MPV).
Beliau berkata dua penumpang lori terbabit berjaya melarikan diri ke kawasan semak berhampiran sebaik saja polis mengepung kawasan tersebut.
"Pemandu lori cuba melarikan diri tetapi datang kembali mengacukan batang logam kepada polis," kata Azisman.
Jelas beliau, pemandu lori tersebut cuba bergelut untuk merampas pistol dari seorang anggota polis, memaksa mereka untuk melepaskan tembakan yang terkena kaki pemandu lori itu.
"Kami masih memburu dua lagi lelaki bersama pemandu lori tersebut," kata Azisman.
Pemandu lori tersebut telah dihantar ke sebuah hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

No comments:

Post a Comment