Monday 5 September 2016

Ustaz Rotan Tiga Pelajar Tahfiz Direman Empat Hari


Mstar-Diterbitkan: Jumaat, 29 Julai 2016 12:27 PM
  (Ubah saiz teks)
SUNGAI PETANI: Seorang ustaz ditahan reman bagi membantu siasatan kes tiga pelajar lelaki cedera dirotan di sebuah maahad tahfiz di sini yang menjadi viral di laman sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di Parit Buntar, Perak pada 10.10 malam tadi.
"Lelaki terbabit direman selama empat hari bermula hari ini hingga 1 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.
Beliau berkata polis telah mengambil keterangan daripada dua pelajar terlibat berusia 12 dan 10 tahun, masing-masing berasal dari Tikam Batu, Sungai Petani dan Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Seorang lagi mangsa bagaimanapun belum dapat dihubungi, katanya.
Md Zukir berkata siasatan awal polis mendapati ketiga-tiga mangsa dirotan kerana cuba melarikan diri dari maahad tahfiz itu ketika waktu subuh, Isnin lepas. 
Beliau berkata suspek yang merupakan ustaz ganti di maahad tahfiz itu mencari dan menemui pelajar terbabit berhampiran Ibu Pejabat Polis Kuala Muda lalu membawa mereka pulang sebelum dirotan di dalam bilik kuliah di hadapan rakan-rakan lain.
"Akibat kejadian itu, ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan lebam pada badan dan luka di kepala," katanya.
Gambar pelajar tahfiz dengan kesan rotan di badan dan kepala menjadi viral di laman sosial apabila dikatakan dipukul seperti penjenayah.-- Bernama

Mahkamah Perintah Ganti Rugi Diberi Kepada Keluarga Tiga Remaja-Mstar 1.9.2016



Ibu kepada Muhammad Shamil Hafiz Shapiei, Norhafizah Md Razali menitiskan air mata selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan tujuh anggota polis, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Selangor dan Ketua Polis Negara serta kerajaan, bertanggungjawab ke atas tindakan tembak anaknya dan dua remaja lain pada 2010 dan memerintahkan mereka membayar ganti rugi kepada keluarga remaja berkenaan, Khamis. -fotoTHESTAR
  (Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA: Usaha untuk mendapatkan keadilan selama hampir enam tahun bagi membersihkan nama anak-anak mereka yang didakwa ditembak polis, berjaya pada Khamis bagi keluarga tiga remaja.

Mahkamah Rayuan di sini membenarkan tuntutan yang dikemukakan keluarga  Muhammad Shamil Shapiei, 15, Mohd Hairul Nizam Tuah, 20, dan Muhamad Hanafi Omar, 22, terhadap polis dan kerajaan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh memutuskan tujuh anggota polis, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Selangor dan Ketua Polis Negara serta kerajaan, bertanggungjawab ke atas tindakan tembak itu dan memerintahkan mereka membayar ganti rugi kepada keluarga remaja berkenaan.

Mahkamah membenarkan rayuan keluarga simati untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menolak tuntutan mereka terhadap polis dan kerajaan.

"Kami berpendapat hakim perbicaraan khilaf dalam mengatakan responden tidak bertanggungjawab," kata Hakim Zawawi yang bersidang dengan Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Hakim Mohd Zawawi mengembalikan perkara itu kepada Mahkamah Tinggi bagi menilai jumlah ganti rugi. Beliau juga memerintahkan polis dan kerajaan supaya membayar kos sebanyak RM40,000 kepada keluarga tiga remaja itu.