Wednesday, 13 November 2013

NSTP Dan Wartawan Mohon Maaf Kepada Bersih 2.0, Ambiga Berhubung Artikel Fitnah

KUALA LUMPUR: The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan wartawannya pada Rabu, memohon maaf kepada Datuk Ambiga Sreenevasan dan 14 ahli jawatankuasa Bersih 2.0 di Mahkamah Tinggi di sini, berhubung artikel fitnah yang disiarkan pada tahun lepas.
Kumpulan syarikat berkenaan dan wartawan Farrah Naz Karim turut memohon maaf kepada Merdeka Strategic Development Centre Sdn Bhd, CIJ Communication Service Sdn Bhd dan Suara Inisiatif Sdn Bhd atau Suaram.
Ketiga-tiga organisasi itu juga telah memfailkan saman terhadap NSTP dan Farrah Naz.
Hakim Lee Heng Cheong mengarahkan NSTP dan Farrah Naz, defendan pertama dan kedua, masing-masing membayar kos RM30,000 setiap satu kepada empat plaintif.
Peguam Ranjit Singh, kemudian berkata bahawa semua empat saman telah diselesaikan sepenuhnya.
Permohonan maaf itu dibacakan di mahkamah oleh Ranjit pada Rabu.
Beliau berkata, permohonan maaf itu akan disiarkan oleh NSTP dalam akhbar harian The New Straits Times (NST) pada halaman ketiga dengan cara dan gaya yang sama dalam tempoh 14 hari dari hari Rabu pada mana-mana hari kecuali hari Sabtu.
"Saiz permohonan maaf itu harus meliputi tidak kurang daripada 50 peratus keseluruhan halaman ketiga setiap hari," katanya.
Ranjit berkata NSTP juga akan menyiarkan permohonan maaf dalam portal NST Online di muka depan sebagai item pertama di ruangan berita utama

20 Warga Filipina Didakwa Guna Kad Pengenalan Palsu Dan Milik Orang Lain

PETALING JAYA: Dua puluh warga Filipina termasuk enam wanita pada Rabu dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret berasingan di sini selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri.
Kesemua tertuduh yang berumur antara 19 hingga 44 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nazri Omran dan Majistret KB Elina Hong Tze Lan.
Mengikut pertuduhan, 10 daripada tertuduh didakwa menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri manakala 10 lagi didakwa menggunakan kad pengenalan milik orang lain di kawasan Blok A dan B, Flat SS8, Jalan SS3/39, Sungei Way di sini pada 2.30 pagi tadi.
Pertuduhan dibuat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain yang beralamat di Sabah.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Pendaftaran Negara Zubaidah Zahol Ahmad. - BERNAMA