Friday 24 April 2015

Dr M ucap 'semoga maju jaya' pada Najib



Tun Dr Mahathir Mohamad, seperti selalunya, menjawab dengan gaya yang bersahaja tetapi sinis apabila diminta mengulas mengenai cuitan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadapnya pagi ini.

"Semoga beliau maju jaya dan selamat sejahtera," kata bekas perdana menteri itu kepada pemberita ketika ditemui di sebuah forum di Kuala Lumpur hari ini

Dr Mahathir diminta mengulas ucaputama Najib di InvestMalaysia 2015 hari ini di mana perdana menteri menyentuh kenyataan “sesetengah pihak” yang mengaku mungkin keseorangan dalam menyatakan kebenaran.

Sementara itu, ketika berucap dalam forum media sosial, bekas pemimpin negara itu bercakap mengenai pelbagai isu- daripada perlunya perubahan kepimpinan dan isu pornografi dan remaja.

Beliau berkata begitu mudah untuk mengakses benda yang "kotor" dalam talian yang boleh merosakkan anak muda Malaysia.

"Seorang kanak-kanak seawal usia tiga tahun boleh menaip perkataan "seks" dan dapat semua benda yang kotor ini.

"Mereka akan membesar dengan semua kekotoran ini dan ini tidak baik bagi masyarakat," katanya.

Mahathir: Mana lagi RM27 bilion 1MDB?



Dr Mahathir Mohamad hari ini membentangkan kiraanya terhadap pembelian 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui pinjaman RM42 bilion dan mendakwa RM27 bilion tidak dapat dikesan.

Berdasarkan semua pembelian diketahui, jumlahnya menjadi RM14.7 bilion.

“Jadi, kira-kira RM27 bilion yang tinggal,” katanya.

Beliau juga berkata lebih daripada AS$1 bilion dibayar kepada Petro Saudi tanpa pengesahan tentang nilai syarikat itu atau asetnya.

“Di mana wang yang lain?” soalnya dalam tulisan terkini di blognya hari ini.

Beliau menyenaraikan pembelian 1MDB seperti berikut:

1) Tanjong Energy (kini Powertek Energy Sdn Bhd) - RM8.5 bilion
2) Genting Sanyan Power (kini stesen janakuasa Kuala Langat) - RM2.3 bilion
3) Jimah Energy - RM1.2 bilion
4) 70 ekar tanah di Jalan Tun Razak (projek Tun Razak Exchange) - RM320 juta
5) 495 ekar tanah bekas lapangan terbang TUDM Sungai Besi TUDM (kini Bandar Malaysia) - RM363.5 juta
6) 234 ekar tanah di Air Itam, Pulau Pinang- RM1.38 bilion

Ketua polis ditegur bekas ketua polis



Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar salah apabila membersihkan penunjuk perasaan antisalib di Petaling Jaya sebelum siasatan dibuat, kata pendahulunya Tan Sri Musa Hassan.

“Beliau patut bertindak secara profesional,” katanya apabila disoal berhubung perkara itu.

Musa berkata Khalid berkata Khalid sepatutnya menjalankan siasatan terlebih dahulu daripada berkata tiada kesalahan dilakukan.

Bekas ketua polis itu juga menyarankan supaya Khalid sendiri tidak terlibat dalam kes itu memandangkan abangnya antara yang terlibat dalam demonstrasi itu.

Sebaliknya, kata Musa, Timbalan Ketua Polis Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim sepatutnya yang menguruskan kes tersebut.

"Saya rasa polis perlu lebih profesional. Saya sendiri, kalau mana-mana anggota keluarga sya terlibat, saya tidak sepatutnya terlibat, penyiasatan perlu dilaksanakan," katanya.