Warga Australia Dominic Jude Bird, yang dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah oleh mahkamah tinggi minggu lepas, belum dapat menarik nafas lega apabila Mahkamah Rayuan semalam menetapkan Khamis ini untuk mendengar permohonan inter-parte berhubung perintah penahanannya yang diperoleh pihak pendakwaan.

Bird, 34, dari Perth, ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang pada 1.55 tengah hari semalam, kira-kira 10 minit sebelum menaiki pesawat untuk ke Australia.

Pegawai polis menyerahkan kepadanya perintah mahkamah ex-parte yang diperoleh pihak pendakwaan daripada Mahkamah Rayuan pada 12.45 tengah hari semalam.

Dalam prosiding semalam di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Azhar Mohamad, peguam yang mewakili Bird, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah memohon penangguhan singkat untuk membolehkan responden menyediakan afidavit balasan berhubung alasan pihak pendakwaan bagi penahanan semula itu.

Dua lagi anggota panel ialah Datuk Dr Hamid Sultan Backer dan Datuk Mokhtaruddin Baki.

Muhammad Shafee memberitahu mahkamah, Bird ditahan mengikut Seksyen 56A Akta Mahkamah Kehakiman 1954 dan beliau bercadang mencabar peruntukan dalam seksyen itu yang dianggap bercanggah dengan kebebasan asasi yang termaktub di bawah Perkara 4, 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

"Semasa dia ditahan, responden mempunyai visa yang sah dengannya dan pihak pendakwaan telah mengabaikan peringatan kami sebanyak empat kali di mahkamah berhubung keperluan memperbaharui visa anak guam saya.

"Seksyen 56A melibatkan isu perlembagaan dan jarang sekali dicabar di mahkamah. Pihak pendakwaan dan saya sendiri perlukan masa untuk menyediakan aspek undang-undang mengenai perkara ini dan menyediakan afidavit balasan masing-masing," katanya.

Hakim Azhar membenarkan permohonan Muhammad Shafee selepas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Bache memberitahu mahkamah yang beliau juga memerlukan masa untuk menyediakan afidavit lanjutan.

Beberapa wartawan dari Australia turut hadir di mahkamah semalam.

Kemudiannya, Shafee memberitahu pemberita, pasukan pembelaan tidak mempersoalkan hak pihak pendakwaan memfailkan rayuan tetapi mereka sepatutnya menghormati keputusan mahkamah.

Pada 4 Okt, Bird dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mahkamah memutuskan pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munsabah terhadap kes pendakwaan terhadap pertuduhan mengedar methamphetamine seberat 167.8 gram di sebuah kedai kopi di Jalan Yap Kwan Seng di sini pada 1 Mac tahun lepas.

Bagaimanapun, warga Australia itu ditahan pegawai Imigresen pada hari sama kerana visanya sudah tamat.

-Bernama