Friday 4 July 2014

Nurul Izzah Saman Utusan Diteruskan Dengan Perbicaraan


Diterbitkan: Khamis, 3 Julai 2014 1:55 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar terhadap Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Aziz Ishak dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad akan diteruskan dengan perbicaraan selepas kedua-dua pihak tidak mencapai persetujuan untuk proses mediasi pada Rabu.
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Aziz dan Utusan ketika ditemui pemberita memaklumkan kedua-dua pihak bersetuju untuk perbicaraan, dan tarikh perbicaraan ditetapkan pada 21 dan 22 Ogos depan.
Proses mediasi itu dijalankan di dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hasnah Mohamed Hashim yang turut dihadiri peguam Azhana Mohd Khairuddin yang mewakili Nurul Izzah.
Prosiding mediasi itu turut dihadiri Nurul Izzah dan Aziz.

ASP Bebas Tuduhan Terima Suapan RM4,000


Diterbitkan: Khamis, 3 Julai 2014 6:29 PM
  (Ubah saiz teks)
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamismelepas dan membebaskan seorang pegawai polis berpangkat ASP daripada tuduhan menerima suapan RM4,000, empat tahun lepas.
Hakim Datuk Ghazali Cha membenarkan rayuan ASP Azmi Abdullah, 54, dengan mengenepikan sabitan serta hukuman penjara lima tahun dan denda RM20,000 yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 9 Ogos 2012.
Mahkamah turut memerintahkan denda RM20,000 yang telah dibayar oleh Azmi serta wang ikat jamin berjumlah RM8,000 dikembalikan kepadanya.
Mengikut pertuduhan, Azmi yang merupakan bekas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang didakwa menerima untuk dirinya suapan wang tunai RM4,000 daripada seorang lelaki.

Kereta Perisai ATM Terbalik, Dua Anggota Tentera Maut


Diterbitkan: Khamis, 3 Julai 2014 10:13 PM
-Gambar hiasan
  (Ubah saiz teks)
IPOH: Dua anggota tentera terbunuh dan dua lagi cedera parah selepas kereta perisai milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM ) yang dinaiki mereka terbalik di KM232.6 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dekat Kuala Kangsar, kira-kira 40km dari sini.

Jurucakap polis berkata pemandu itu dipercayai hilang kawalan terhadap kereta tersebut yang melanggar pembahagi jalan dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 petang Khamis.

Kereta perisai itu terbalik dan menyebabkan empat anggota tentera di dalamnya terperangkap.

Ketua Balai Bomba Kuala Kangsar Ismail Darus berkata, mereka berjaya menyelamatkan pemandunya, Leftenan Korporal Freaddy Barbalas, dan Koperal Sharifuddin Abdullah.

Rizalman Dijangka Dihantar Ke New Zealand Seawal Minggu Depan


Diterbitkan: Jumaat, 4 Julai 2014 3:40 PM
Muhammad Rizalman
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Bekas pembantu staf pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, Pegawai Waran II Muhammad Rizalman Ismail dijangka dihantar balik ke negara itu, minggu depan.

Menurut sumber terdapat beberapa perkara yang perlu diselaraskan antara kedua-dua buah negara terlebih dahulu.

"Perkara itu PNC (Private and Confidential) untuk dibincangkan bersama media. Perkara itu perlu dibincang bersama dengan pihak di sana (New Zealand) kerana kita tidak mahu sebarang perselisihan faham wujud," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.