Tuesday 26 November 2013

Peguam Saman Peguam Negara, 10 Yang Lain Berjumlah Lebih RM47 Juta

KUALA LUMPUR: Seorang peguam telah memfailkan saman berjumlah lebih RM47 juta terhadap Peguam Negara, bekas Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kerajaan Malaysia dan tujuh lagi atas dakwaan mendakwanya secara salah.
Rosli Dahlan, memfailkan saman itu Jumaat lepas di Mahkamah Tinggi Sivil di sini melalui Tetuan Kumar Partnership.
Media memperoleh writ samannya pada Selasa.
Dalam pernyataan tuntutannya, beliau menamakan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, SPRM, Kerajaan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, tiga Timbalan Pendakwa Raya, seorang pegawai penyiasat SPRM, dan seorang pegawai polis sebagai defendan.
Rosli mendakwa defendan-defendan dengan niat jahat menangkapnya dan mendakwanya di mahkamah berhubung kes di bawah SPRM.
Peguam itu berkata bagaimanapun beliau telah dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 20 Disember 2010.
Beliau mendakwa tindakan defendan-defendan telah menyebabkannya dan keluarganya mengalami trauma, penghinaan, cemuhan, ejekan, kesakitan dan penderitaan.
Rosli menuntut ganti rugi punitif, teruk dan teladan berjumlah RM47 juta dan ganti rugi khas berjumlah RM750,000, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah. - BERNAMA

Mahkamah Rayuan Kekalkan Pembebasan Koperal Jenain

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, Selasa, mengekalkan keputusan mahkamah tinggi melepaskan dan membebaskan Koperal Jenain Subi daripada tuduhan mengakibatkan kematian pelajar sekolah berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, tiga tahun lepas.
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Balia Yusof Wahi sebulat suara menolak rayuan pendakwaan terhadap keputusan mahkamah tinggi yang membebaskan Jenain, 50.
Balia memutuskan tiada merit dalam rayuan pendakwaan.
Beliau berkata mahkamah tinggi tidak terkhilaf dalam keputusannya berhubung isu berkaitan niat Jenain untuk mengakibatkan kematian pelajar lelaki itu.
Mahkamah tinggi, ketika membebaskan Jenain pada 2012, memutuskan bahawa Jenain tidak mempunyai niat untuk mengakibatkan kematian Aminulrasyid, sebaliknya menembak kereta yang dipandu remaja itu dengan niat menghentikan kenderaan berkenaan.
Balia berkata daripada 30 tembakan yang dilepaskan, sebutir peluru menembusi kereta itu manakala bakinya mengenai bahagian bawah kenderaan berkenaan.
Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat merupakan dua lagi hakim yang menganggotai panel itu.
Balia berkata mahkamah tidak bersetuju dengan hujah pendakwaan bahawa mahkamah tinggi dengan sendirinya membuat keputusan bahawa insiden itu adalah satu kemalangan dalam lingkungan maksud Seksyen 80 Kanun Keseksaan.
"Pihak pembelaan menimbulkan isu ini semasa membuat penghujahannya di mahkamah sesyen dan mahkamah tinggi. Tidak boleh dikatakan bahawa mahkamah tinggi telah terkhilaf dalam penghakimannya. Isu Seksyen 80 bukanlah pembelaan Jenain.
"Mahkamah tinggi dalam keputusannya telah menyebutkannya sepintas lalu dan ia bukanlah teras penghakimannya untuk membenarkan rayuan Jenain," kata Balia.
Pada 13 September 2011, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhi hukuman penjara lima tahun terhadap Jenain selepas mendapatinya bersalah terhadap tuduhan itu.
Jenain didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April, 2010.
Pada 5 Disember tahun lepas, mahkamah tinggi meminda keputusan itu dan membebaskan Jenain selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara.
Pendakwaan merayu kepada Mahkamah Rayuan.
Di luar mahkamah, Jenain, yang diiringi keluarganya, berkata beliau berterima kasih kepada peguam dan rakan-rakannya kerana sokongan mereka.
Kata Jenain beliau akan kembali bertugas dalam pasukan polis.
Jenain diwakili peguam peguam M. Athimulan, Salim Bashir dan Halim Ashgar manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Duzuki Mokhtar dan Wan Saharuddin Wan Ladin mengendalikan pendakwaan. - BERNAMA