Tuesday 13 November 2018

Rosmah, Tengku Adnan dan Rizal ke SPRM esok

Isteri bekas Perdana Menteri, Rosmah Mansor dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor adalah antara individu yang menerima notis hadir ke SPRM esok untuk membantu siasatan.
Portal Utusan Malaysia yang memetik sumber, melaporkan selain kedua-dua individu itu, turut menerima notis sama adalah bekas pegawai khas Rosmah, Rizal Mansor.
“Mereka dikehendaki hadir ke ibu pejabat SPRM pada pukul 9 pagi esok berhubung siasatan yang sedang dijalankan SPRM,” kata sumber itu hari ini.
Mengikut sumber itu, semua mereka akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur Khamis ini atas pertuduhan beberapa kes penyelewengan dan salah guna kuasa semasa era pentadbiran kerajaan BN terdahulu.
Sumber itu tidak menolak kemungkinan mereka akan ditahan di lokap SPRM.

Friday 9 November 2018

Polis cari ibu bapa budak maut dipercayai didera

Polis meminta ibu kandung dan bapa tiri seorang budak lelaki berusia tiga tahun yang meninggal dunia di sebuah hospital di Ampang semalam, dipercayai akibat didera, supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata mereka ialah Noraini Samian, 20, dan Khairul Izaini Khairuddin, 31.
“Ibu kandung mangsa dan bapa tirinya yang turut dikenali sebagai ‘Boy Tiger’ menghilangkan diri selepas menghantar mangsa ke hospital semalam dengan sebuah motosikal jenis Yamaha berwarna kuning,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Fadzil berkata, mangsa sebelum itu dipercayai dibawa oleh ibu kandung dan bapa tirinya ke jabatan kecemasan hospital berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri, kira-kira 12 tengah hari semalam.

Thursday 8 November 2018

Najib dipanggil SPRM berhubung kes pemasangan tenaga solar

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Putrajaya hari ini, bagi memberi keterangan antaranya dipercayai berkaitan siasatan kes penyelewengan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak.
Kenderaan dinaiki Najib kelihatan masuk ke ibu pejabat tersebut melalui pintu belakang pada kira-kira pukul 9.40 pagi.