Monday 13 January 2014

Mohamad Salleh & NFCorp Fail Saman Fitnah Terhadap Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dan syarikatnya pada Isnin menfailkan saman fitnah terhadap Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkaitan satu kenyataan mengenai pembelian lapan unit kondominimum yang disiarkan oleh sebuah portal televisyen propembangkang.
Beliau dan syarikatnya menamakan Nurul Izzah sebagai defendan pertama dan turut menfailkan saman sama terhadap Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution sebagai defendan kedua.
Mohamad Salleh menfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Wan Shahrizal, Hari & Co pada 24 Disember lepas dan media memperoleh salinan pernyataan tuntutan itu pada Isnin ketika kes itu disebut di dalam kamar di hadapan Hakim Datuk Hue Siew Kheng.
Peguam Y. Sheelan yang mewakili Mohamad Salleh dan NFCorp memberitahu pemberita bahawa Hue menetapkan 27 Februari depan untuk pengurusan kes sementara menunggu kesemua defendan menfailkan pernyataan pembelaan mereka.
Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamad Salleh mendakwa Nurul Izzah telah membuat satu kenyataan berhubung pendedahan Pengarah Strategik PKR Mohd Rafizi Ramli yang menyatakan beliau (Mohamad Salleh) membeli lapan unit kondominium di KL Eco City menggunakan dana awam yang disalurkan kepada NFCorp.
Kenyataan Nurul Izzah itu disiarkan di Malaysiakini TV pada 7 Mac 2012.
Mohamad Salleh turut mendakwa Nurul Izzah membuat kenyataan itu terhadapnya yang membawa maksud bahawa beliau dan keluarganya telah menyalahgunakan wang NFCorp untuk membeli lapan unit kondominium bagi kegunaan peribadinya dan keluarga, bukan untuk syarikat itu.
Beliau mendakwa ekoran kenyataan fitnah itu, reputasi dan kredibilitinya sebagai seorang berpendidikan tinggi, ahli perniagaan dan suami kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dikritik masyarakat.
Beliau menuntut satu perintah injunksi dikeluarkan bagi menghalang kesemua defendan menerbitkan kata-kata fitnah sama terhadapnya selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk, faedah, kos atau relif lain yang difikirkan sesuai. - BERNAMA

Kong Choy Bebas Tuduhan Menipu Bekas PM Dalam Projek PKFZ

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy pada Isnin dilepas dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan menipu bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zamani Abdul Rahim di dalam kamar selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan itu.
Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Chan memberitahu pemberita bahawa pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kesemua pertuduhan yang dihadapi Chan selepas menghalusi representasi yang dikemukakan anak guamnya.
Beliau berkata pihak pendakwaan juga menarik balik pertuduhan itu selepas mempertimbangkan keterangan saksi dalam kes perbicaraan bekas menteri pengangkutan Tun Ling Liong Sik yang menghadapi pertuduhan menipu kerajaan berhubung projek sama.
Mahkamah juga membenarkan permohonan Chan, 58, supaya wang jaminannya sebanyak RM1 juta dikembalikan kepadanya.
Sebaik sahaja dimaklumkan oleh Tan mengenai keputusan mahkamah itu, Chan yang berada di galeri awam kelihatan gembira diiringi tepukan gembira penyokongnya sambil mengucapkan tahniah kepada bekas menteri itu.
Selepas keputusan, Chan terus bergegas keluar dari bilik mahkamah.
Pada 25 Oktober tahun lepas, Ling, 70, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada akhir kes pembelaan selepas mahkamah mendengar keterangan saksi-saksi.
Chan pula didakwa terhadap tiga pertuduhan menipu Abdullah dengan memperdayakannya (Abdullah) untuk meluluskan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) sebagai pemaju siap guna bagi menjalankan pembangunan projek hub penghantaraan di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja pengubahsuaian di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006 bernilai RM1.9 bilion.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 4, Blok Utama di Pejabat Perdana Menteri Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Chan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan. - BERNAMA

Bekas Pegawai Penerangan Daerah Ledang Didakwa Kemuka Lima Tuntutan Palsu

JOHOR BARU: Bekas Pegawai Penerangan Daerah Ledang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Isnin, atas lima tuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Jabatan Penerangan Negeri Johor berhubung penyediaan perkhidmatan makanan dan minuman bernilai RM6,500, lima tahun lepas.
Zaid Md Amin, 60, yang bersara pada 2 Januari lepas, memohon dibicarakan selepas kelima-lima pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.
Bagi tuduhan pertama, Zaid didakwa dengan niat memperdayakan Jabatan Penerangan Negeri Johor menerusi satu dokumen pesanan kerajaan yang mengandungi butiran matan yang palsu, yang sebenarnya tidak dilaksanakan, iaitu perkhidmatan penyediaan makanan dan minuman Program Pemimpin Bersama Rakyat di Komuniti Bestari Kampung Lerek Anjung, Ledang pada 9 Mei 2009, yang berjumlah RM500.
Bagi tuduhan kedua hingga empat, dia didakwa dengan niat sama menerusi dokumen kerajaan bagi penyediaan perkhidmatan dan program yang sama di Kampung Durian Chondong, Kampung Parit Ghani dan Kampung Serom 3, Ledang pada 10, 15 dan 16 Mei 2009, yang masing-masing berjumlah RM500.
Bagi tuduhan kelima, Zaid didakwa dengan niat sama menerusi dokumen kerajaan bagi penyediaan perkhidmatan dan program sama di Dewan Serbaguna Bukit Gambir pada 31 Julai 2009, yang berjumlah RM4,500.
Dia didakwa melakukan empat pertuduhan itu di Pejabat Daerah Ledang, pada 18 Mei 2009 manakala pertuduhan kelima didakwa dilakukan di pejabat sama pada 4 Ogos 2009.
Zaid dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai butiran matan yang palsu atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noorfazlin Hamdan menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan tersebut.
Peguam A.Ashok kemudian memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya itu baru bersara selepas berkhidmat selama 35 tahun, perlu menanggung seorang isteri, dua anak yang sedang belajar dan seorang ibu mentua yang uzur selain tertuduh memberi kerjasama baik sepanjang siasatan kes itu.
Mohamad Haldar membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 3 Februari depan untuk pengurusan kes. - BERNAMA