Jumaat Februari 14, 2014
Muhdalena Ahmad bersama keluarganya meninggalkan Mahkamah Seksyen Putrajaya selepas hadir bagi membela diri terhadap empat tuduhan termasuk mengamuk bersenjata pedang samurai di hadapan Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada Julai 2012. -fotoTheStar/QISHIN TARIQ
PUTRAJAYA: Bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhdalena Ahmad memberitahu Mahkamah Seksyen di sini pada Khamis bahawa dia percaya lelaki yang ditembak mati dalam kejadian amuk bersenjatakan pedang samurai di pekarangan kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) dua tahun lepas, adalah 'Imam Mahadi'.
Muhdalena, 29, turut mengaku membawa pedang samurai dalam kejadian itu seperti mana diarahkan oleh 'Imam Mahadi' kerana percaya lelaki itu adalah pahlawan yang diutuskan Tuhan.
"Saya benar-benar percaya beliau adalah 'Imam Mahadi' dan perlu mematuhi arahannya kerana dia adalah seorang pahlawan yang dihantar oleh Tuhan untuk menyelamatkan umat manusia," jelas Muhdalena ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh.