Thursday, 15 August 2013

Lelaki Pukul Wanita Dengan Tukul Besi Dalam Video Didakwa Di Mahkamah

SEREMBAN: Siow Kong Poh, 33, yang dikatakan sebagai lelaki dalam video yang dilihat memukul bekas teman wanita menggunakan tukul besi dan menghentaknya, mengaku tidak bersalah apabila dia didakwa di Mahkamah Majistret di sini kerana menyebabkan cedera serius dengan senjata.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Lim Pui Lee di rumahnya di Taman Jasper Jaya pada Sabtu lalu, yang dilaporkan menyebabkan bekas teman wanitanya itu menerima 30 jahitan di kepala.
Dia dibenarkan diikat jamin sebanyak RM3,200. Menurut laporan media, kedua-duanya, yang pernah bercerai sebelum ini, menjalinkan hubungan selama hampir 10 tahun sebelum kejadian berlaku.
Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Saiful Azly Kamaruddin berkata, polis memutuskan untuk mendakwa suspek ekoran ia melibatkan kepentingan awam.
Video berkenaan kini tersebar luas dipercayai dirakamkan oleh anak Lim.
Di dalam video itu menyaksikan seorang lelaki memukul seorang wanita berkali-kali, menghentak kepalanya dengan tukul besi.
Kelihatan seorang wanita lain dilihat cuba menghalang daripada pukulan berlaku, manakala kedengaran suara merayu untuk menghentikan pukulan itu.
Video itu disiarkan di halaman Facebook "Malaysian Crime Awareness Campaign" (Kempen Kesedaran Jenayah Malaysia), yang dikongsi sebanyak 160 kali sejak ia dimuat naik pada Isnin.
Video itu yang disiarkan di YouTube telah ditonton lebih 6,800 kali.
Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Saiful Azly Kamaruddin berkata, serangan itu berkaitan dengan masalah dalaman dan suspek ditangkap pada hari yang sama.
Mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.

Hukuman Gantung Lima Termasuk Tiga Beradik Warga Mexico Kekal

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Rabu mengekalkan sabitan serta hukuman gantung lima lelaki, termasuk tiga beradik warga Mexico, kerana mengedar lebih 29.4 kilogram dadah jenis methampetamine yang dianggar bernilai hampir RM44 juta pada 2008.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azahar Mohamed membuat keputusan itu sebulat suara selepas menolak rayuan pemandu kren yang juga rakyat Malaysia Lee Boon Siah, 49, tukang cat warga Singapura Lim Hung Wang, 56, serta tiga beradik berkenaan iaitu Jose Regino Gonzales Villarreal, 34, Simon Gonzales, 37, dan Luis Alfonso Gonzales, 45.
Dalam penghakimannya, Azahar berkata Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila memutuskan kesemua perayu mengedar dadah berkenaan.
Beliau berkata berdasarkan hujah kedua-dua pihak, keputusan hakim Mahkamah Tinggi berhubung pembabitan kesemua perayu dalam pengedaran dadah berkenaan adalah betul dan konsisten dengan bukti yang dikemuka.
"Kami mendapati rayuan ini tiada merit. Oleh itu, kami mengekalkan sabitan dan hukuman mati kelima-lima perayu," katanya.
Selain Azhar, Panel itu turut dianggotai Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Hamid Sultan Abu Backer.
Pada Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Johor Baharu mendapati kesemua tertuduh bersalah melakukan perbuatan itu di kilang IPL Packaging Industries Sdn Bhd, Jalan Idaman 1/5, Taman Perindustrian Senai pada 3.15 petang, 4 Mac 2008.
Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa berdasarkan bukti, adalah jelas kilang berkenaan digunakan untuk memproses dadah jenis methamphetamine.
Keputusan itu juga menyaksikan Mahkamah Tinggi buat pertama kalinya meneroka bidang baharu dalam perundangan berkaitan definisi pemprosesan dadah bagi tujuan pengedaran.
Peguam Kitson Foong mewakili Lee dan tiga beradik warga Mexico, Lim oleh Rosal Azimin Ahmad manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya How May Ling. - BERNAMA