Friday 1 November 2013

Bekas Pegawai Polis Saman Peguam Negara, Polis RM128.5 Juta

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Ramli Yusuff pada Jumaat memfailkan saman berjumlah RM128.5 juta terhadap Peguam Negara, bekas Ketua Polis Negara, Kerajaan Malaysia dan sembilan yang lain atas dakwaan mendakwanya secara salah.
Ramli, 61, memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, di sini melalui Tetuan Vin Partnership.
Dalam pernyataan tuntutannya beliau menamakan Tan Sri Abdul Gani Patail, Tan Sri Musa Hassan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kerajaan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Timbalan Pendakwa Raya dan pegawai-pegawai polis sebagai defendan.
Ramli mendakwa defendan dengan niat jahat dan tanpa sebab munasabah menyiasat dan menuduhnya di mahkamah terhadap empat pertuduhan mengikut SPRM dan satu pertuduhan mengikut Kanun Keseksaan.
Beliau mendakwa antara Julai 2009 dan Ogos 2010, beliau telah dibebaskan daripada kesemua pertuduhan itu.
Bekas pegawai polis itu berkata akibat pendakwaan terhadapnya itu, beliau telah mengalami kecederaan dari segi reputasi, kerjayanya dan mengalami kesusahan, kesulitan dan kerugian.
Beliau menuntut ganti rugi khas, am, teruk, teladan dan faedah kos yang kesemuanya berjumlah RM128.5 juta. - BERNAMA

Hasan Ali Menang Saman Fitnah Terhadap MP Shah Alam

SHAH ALAM: Presiden Jalur Tiga Malaysia (JATI) Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berjaya dalam samannya terhadap anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad, yang didakwa mengeluarkan kenyataan memfitnah beliau dalam satu sidang media pada Februari 2012.
Hakim Datuk Yaacob Md Sam membuat keputusan itu selepas berpuas hati Hasan berjaya membuktikan kenyataan Khalid, yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor, dibuat dengan niat jahat.
Dalam penghakimannya, Yaacob berkata dalam kes itu, mahkamah perlu melihat sama ada sidang media Khalid bertujuan menjawab dakwaan Hasan terhadap beliau berhubung isu 'parasit'.
"Setelah menimbang keterangan yang ada dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati defendan telah melebihi atau melangkaui daripada hanya mengadakan sidang media bagi tujuan mempertahankan diri tetapi telah menjangkau kepada isu yang tiada kaitan dengan perkara yang dituduh oleh plaintif, iaitu tentang isu parasit.
"Kenyataan defendan melebihi komen yang adil dan defendan tidak boleh dilindungi di bawah perlindungan bersyarat," katanya.
Yaacob menetapkan 27 November ini untuk mendengar hujah kedua-dua pihak berhubung jumlah ganti rugi dan kos.
Penyataan tuntutan Hasan, yang difail pada 12 April tahun lepas, mendakwa Khalid telah menuturkan perkataan bersifat fitnah terhadap beliau dalam sidang media bertarikh 24 Februari 2012.
Beliau berkata lanjutan sidang media itu, Khalid menerbitkan atau mengakibatkan penerbitan fitnah berkenaan dalam bentuk artikel bertajuk 'Video: Siapa Taja Hasan Ali' di laman blog defendan di http://www.khalidsamad.com.
Plaintif juga mendakwa wartawan yang hadir melaporkan kenyataan Khalid dalam portal berita atas talian, antaranya, laman sesawang 'mstar' melalui artikel bertajuk 'Khalid Soal Sama Ada Puncak Niaga & SYABAS Taja Jati' dan laman sesawang 'Malaysiakini' dengan artikel 'PAS asks Hasan Ali: Who's funding you?'.
Hasan berkata penerbitan kenyataan itu mengakibatkan kerosakan atau keburukan yang teruk terhadap reputasi, imej dan nama baiknya selain merendahkan martabat beliau di mata anggota masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk selain perintah injunksi menghalang Khalid daripada terus menerbit atau menyebabkan penerbitan kenyataan fitnah berkenaan, faedah pada kadar lapan peratus, kos serta relif lain yang difikir wajar oleh mahkamah.
Pembelaan Khalid, antara lain, mendakwa selepas dipecat oleh PAS dan sebelum sidang media berkenaan, Hasan telah mengadakan ceramah jerayawara di seluruh negara, dan dalam ceramah itu, plaintif antara lain menyerang PAS serta beliau dengan pelbagai tuduhan seperti 'parasit' dalam PAS.
Khalid juga mendakwa kenyataan beliau bukan bersifat memfitnah Hasan dan ia mempunyai unsur pernyataan fakta dan/atau pendapat.
Anggota Parlimen itu berkata jika sekalipun kenyataan berkenaan adalah fitnah, yang mana dinafikan, ia merupakan satu komen adil dan berpatutan berasaskan fakta serta perkara benar dan tepat.
Sepanjang perbicaraan, Hasan yang diwakili peguam Hasnal Rezua Merican memanggil dua saksi manakala Khalid, yang diwakili peguam Azhana Mohd Khairudin, mengemukakan tiga saksi. - BERNAMA