Saturday, 16 November 2013

Tahanan Reman Suspek Bunuh Pegawai Bank Dilanjutkan

Suspek diiringi polis ketika memasuki kamar perbicaraan.
PETALING JAYA: Polis melanjutkan tahanan reman ke atas lelaki yang didakwa menembak mati pegawai Ambank, Norazita Abu Talib.
Laode Ardina Laude Rasila, 35, tiba di Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 10.45 pagi Sabtu.
Tahanan reman ke atasnya akan dilanjutkan selama seminggu di mana dia akan kekal di lokap balai polis Petaling Jaya sehingga 23 November untuk disoal siasat mengenai kes bunuh dan rompak.
Suspek yang berasal dari Sulawesi itu dan memiliki MyKad palsu diiringi oleh polis memasuki kamar perbicaraan.
Rasila yang bekerja sebagai pengawai keselamatan didakwa menembak mati Norazita, 37, ketika beliau membuka peti besi di AmBank cawangan Subang Jaya.
Suspek dipercayai melarikan wang tunai berjumlah RM450,000 dengan sebuah motosikal.
Polis kemudiannya menemui RM20,000 daripada isterinya di rumah mereka.
Polis turut menahan dua rakannya yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan MyKad palsu.
Isteri, dua rakannya dan empat yang lain turut ditahan.

Rasuah: Sarjan Dipenjara 9 Tahun, Denda RM32,500

JOHOR BAHARU: Seorang penolong pegawai penyiasat berpangkat sarjan dihukum penjara sembilan tahun dan denda RM32,500 oleh Mahkamah Seksyen di sini, Jumaat selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah, tahun lepas.
Hakim Mohamad Haidar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman tiga tahun bagi setiap pertuduhan terhadap K. Krishna Malay, 49, dari Ibu Pejabat Polis Johor Baharu Selatan selepas pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, tertuduh hanya dikenakan penjara tiga tahun berikutan hakim memerintahkan hukuman tersebut dijalankan serentak bermula hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 18 bulan jika gagal membayar denda.
Mohamad Haidar juga membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan menetapkan ikat jamin RM10,000 terhadap tertuduh.
Bagi pertuduhan pertama, Krishna didakwa meminta suapan RM1,500 daripada R. Murali sebagai dorongan menyelesaikan kes curi di Balai Polis Sentral, Jalan Meldrum di sini, pada pukul 1 pagi, 17 Ogos 2012.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa meminta suapan RM2,500 daripada ibu tiri Murali, A. Pushpa pada pukul 6 pagi dan pertuduhan ketiga meminta RM1,000 daripada Murali pada pukul 9.30 pagi di tempat dan tarikh yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.
Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ridzuan Abd Malik manakala tertuduh diwakili peguam G.K. Sritharan.
Dalam kes berasingan di mahkamah sama, seorang pemandu teksi warga Singapura dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah memberi suapan RM50 kepada seorang pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Ng Geok Hock, 55, didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Sultan Iskandar di sini pada 5.50 petang, 25 Okt lepas sebagai dorongan untuk mengelak dikenakan kompaun kerana gagal menggunakan laluan teksi di kompleks tersebut.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, membayar denda tersebut. -BERNAMA