PUTRAJAYA: Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo pada Jumaat memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara setahun atas kesalahan mndapatkan untuk beliau dan isteri dua lot tanah dan sebuah banglo bernilai jutaan ringgit.
Notis tersebut difailkan menerusi peguam M.M. Athimulan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan di sini.
Pada Khamis, panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Aziah Ali menolak rayuan Mohamad Khir kerana melakukan kesalahan itu pada 2007.
Panel tersebut juga turut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember 2011 yang mengarahkan perayu dilucutkan hak ke atas hartanah yang dimiliki itu dan menyerahkannya kepada kerajaan.
Mohamad Khir, 48, didakwa mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 46, dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam daripada Ditmas Sdn Bhd melalui pengarahnya Shamsuddin Hayroni.
Bekas anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di keadiaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei, 2007. - BERNAMA