Thursday 1 June 2017

Polis soal siasat lima pengarang The Star

Lima pengarang dan seorang jurugambar dari The Star hari ini disoal siasat oleh polis berhubung muka depan kontroversi akhbar berkenaan Sabtu lalu.
Peguam mereka, Amer Hamzah Arshad berkata keenam-enam mereka disoal mengikut Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan berhubung dakwaan kesalahan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.
"Rakaman kenyataan berjalan lancar. Kami percaya pihak polis akan menyiasat perkara itu secara adil dan objektif," kata Amer Hamzah kepada Malaysiakini.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan berhubung soalan yang diajukan, tetapi memberitahu soal siasat mengambil masa dua jam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata, akhbar harian berbahasa Inggeris itu akan disiasat kerana menghasut selepas beberapa laporan polis dibuat ke atasnya.