Tuesday, 4 March 2014

101 Orang Lagi Keracunan Makanan Dibeli Dari Pasar Malam


KUALA TERENGGANU: Seramai 101 orang lagi mengalami keracunan makanan selepas menikmati juadah yang dibeli di pasar malam di Taman Shah Bandar dan Padang Hiliran di sini pada Sabtu lepas.
Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata mereka dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) setelah muntah dan cirit-birit selepas menikmati nasi goreng putih, nasi goreng merah, kuetiau goreng dan mee goreng.
"Kita sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden ini dan kita tidak menolak kemungkinan empat jenis makanan itu mengandungi virus salmonella yang mungkin berpunca daripada ayam atau telur," katanya dalam satu sidang media di sini, Selasa.

Perbicaraan Di Sweden: Bapa Dakwa Tidak Pernah Pukul Anak Ketika Menetap Di Sweden

Peguam Azizul Raheem Awalludin, Jona Tamm (kiri) bercakap sesuatu dengan kakitangan kedutaan Malaysia di mahkamah daerah Solna di Sweden.
STOCKHOLM: Rakyat Malaysia yang merupakan bapa kepada empat kanak-kanak yang dibicarakan di Sweden kerana memukul anak-anaknya memberitahu mahkamah di sini bahawa dia hanya memukul anak-anaknya ketika mereka tinggal di Afrika Selatan dan Malaysia.
Azizul Raheem Awalluddin mendakwa dia pernah memukul anak-anaknya sebelum berpindah ke Sweden, bertentangan dengan apa yang diberitahunya kepada polis tempatan dalam temubual sebelum ini.
Pendakwa Raya Anna Arnell menegaskan bahawa Azizul mengaku bahawa dia memukul anak-anaknya untuk mendisiplinkan mereka walaupun selepas polis menjelaskan bahawa mereka hanya bertanyakan dalam konteks semasa keluarga itu tinggal di Sweden.
Azizul menjawab bahawa dia telah tersalah faham dengan soalan polis kerana berasa gementar.
"Ini adalah kali pertama saya disoal siasat oleh pihak polis. Saya sangat gugup dan otak saya tidak berfungsi, saya fikir soalan itu bermaksud jika saya pernah memukul mereka sepanjang hidup mereka," katanya kepada mahkamah daerah Solna, Isnin.
Sweden telah mengharamkan tindakan memukul kanak-kanak sejak tahun 1979 dan ini bermakna Azizul dan isterinya Shalwati Nurshal bakal berdepan hukuman enam tahun penjara jika didapati bersalah memukul anak-anak mereka.

Mahkamah Persekutuan Benarkan Permohonan Pihak Pendakwaan Batalkan Rayuan Anwar

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Selasa membenarkan permohonan pihak pendakwaan membatalkan rayuan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memanggil semula bekas pegawai penyiasat polis untuk memberi keterangan tambahan dalam kes liwatnya.
Ini membuka jalan bagi Mahkamah Rayuan untuk mendengar, seperti dijadualkan, pada 6 dan 7 Mac rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar atas dakwaan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun, 2008.
Pada 12 Februari Mahkamah Rayuan menolak permohonan Anwar untuk memanggil semula Supt Judy Blacious Pereira dalam kes liwatnya berhubung isu kewibawaannya.
Panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tan Sri Suriyadi Halim Omar, dalam keputusan sebulat suara, berkata keputusan Mahkamah Rayuan adalah betul dan bahawa permohonan kedua Anwar bukan permohonan yang boleh dirayu mengikut tafsiran Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Empat Suspek Bunuh Polis Ditahan

Mohd Shukri Dahlan. -foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/THE STAR
PETALING JAYA: Empat suspek warga asing termasuk tiga wanita dan seorang lelaki ditahan polis berhubung serangan ke atas dua anggota polis di Klang.
Sebilah parang dan pisau rambo turut ditemui di tempat kejadian, kata Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan pada Selasa.
Beliau berkata kes itu disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Seorang anggota polis ditikam sehingga mati dan dua warga asing ditembak mati selepas berlaku pergelutan dengan lima warga asing di Taman Sentosa, Klang, awal pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi Selasa, Koperal Raja Aizam Raja Mohd, 53, dan Koperal Mohd Aidil Mustafa, 29, dipercayai diserang suspek berkenaan ketika mereka sedang membuat rondaan di Lorong Yusuf Shahbuddin 44D, Taman Sentosa.