Thursday 12 February 2015

Dr M: Kalaulah saya PM, saya letak jawatan



Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sanggup meletakkan jawatan sekiranya masih memegang jawatan perdana menteri saat ini.

Bekas presiden Umno itu berkata seseorang perdana menteri sepatutnya "memudahkan sesuatu perkara" dan melepaskan jawatan jika gagal mentadbir.

Tanpa menyebut nama, kenyataannya jelas menempelak Datuk Seri Najib Abdul Razak, yang kini makin kerap dikritiknya.

Bercakap di forum 'The Malaysian dilemma' di Kuala Lumpur pagi ini, bekas perdana menteri itu juga berkata:

"Tiada ada sesiapa yang mendesak saya apabila saya melepaskan jawatan, kerana saya rasa 22 tahun (pentadbiran saya) itu cukup lama.

"Tapi jika anda gagal mentadbir dan rakyat mengkritik anda, tolong mudahkan negara."

Malott perjelas petisyen kepada Rumah Putih



"Keprihatinan yang mendalam" bekas duta Amerika Syarikat, John Malott, terhadap rakyat Malaysia, mendorong beliau untuk memulakan petisyen kontroversi kepada Rumah Putih berhubung penghakiman yang mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Petisyen itu yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai menggalakkan campur tangan asing, telah disusuli pula oleh petisyen balas kepada Rumah Putih untuk menggesa Amerika Syarikat supaya menghormati kedaulatan Malaysia.

"Saya percaya bahawa kata-kata saja tidak mencukupi dan pentadbiran Obama perlu memberi perhatian yang lebih kepada hak asasi manusia dan mesti menyokong kuasa-kuasa demokrasi di seluruh dunia, bukan sahaja di Malaysia.

"Tetapi, yang pastinya, saya amat mengambil berat tentang Malaysia dan rakyat Malaysia. Ditambah pula Anwar dan keluarganya adalah kawan baik," kata Malott dalam emel.

Isterinya menulis biografi tentang isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Malott (kanan) berkata hubungannya dengan Malaysia dan sokongannya terhadap pendemokrasian  "bukanlah suatu teori atau abstrak".

"Saya melihat orang sebenar dan wajah sebenar, dan bukan hanya Anwar dan Azizah dan keluarga mereka. Selepas 20 tahun, saya mempunyai ramai kawan Malaysia, di semua lapisan masyarakat.

"Saya mahu mereka menikmati kebebasan yang sama yang saya nikmati sebagai seorang rakyat Amerika," kata Malott.

Walaupun dia sedar petisyen itu tidak menjamin kebebasan Anwar, tetapi beliau berharap Presiden Barack Obama "boleh menjelaskan" kepada Malaysia bahawa dunia tidak memandang ringan terhadap penindasan politik.

Dalam diplomasi, katanya, kenyataan mesti dibuat untuk menunjukkan bahawa perkara itu tidak boleh diterima.

"Saya tidak mahu lagi melihat Presiden Amerika Syarikat bermain golf dengan (Perdana Menteri) Najib (Abdul Razak) sekali lagi."

Mallot juga menganggap dakwaan bahawa tindakan itu mengganggu kedaulatan Malaysia sebagai mengarut.

"Ianya mengarut. Saya dan semua orang yang menandatangani petisyen ini adalah rakyat Amerika, bercakap kepada presiden kami. Kami tidak menulis kepada perdana menteri Malaysia."

Pada tengah malam 12 Februari, petisyen itu menerima 31,164 tandatangan, kira-kira satu pertiga daripada matlamat 100,000 tandatangan yang diperlukan untuk mendapatkan maklum balas daripada Rumah Putih.

Petisyen untuk Obama bebaskan Anwar



Sebuah petisyen terhadap Barrack Obama sedang diusahakan supaya presiden Amerika Syarikat (AS) itu memainkan peranan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Petisyen orang ramai itu mensasarkan kutipan 100,000 tandatangan supaya gesaan mereka layak disemak Rumah Putih sebelum dimajukan kepada pakar berkaitan dasar berkaitan.

Kenyataan rasmi harus dikeluarkan selepas itu.

Petisyen itu dirancang diserahkan kepada Obama pada 12 Mac depan.

Baru 24 jam, petisyendi laman khas disediakan Rumah Putih itu kini sudah berjaya mengumpulkan hampir 20,000 (ketika berita ini ditulis) sokongan pelbagai pihak.

Petisyen itu antaranya menyebut, Anwar seorang juara demokrasi, percaya kepada keadilan Islam dan sahabat lama AS yang dipenjarakan atas “tuduhan yang direka-reka”.

"Masa depan demokrasi di Malaysia sedang dipertaruhkan.

“Pembebaskan Anwar Ibrahim dari penjara harus menjadi keutamaan dalam dasar AS terhadap Malaysia, untuk menjadikan maju dalam pelbagai bidang,” menurut petisyen itu.

Antara paling banyak sokongan

Menurut undang-undang AS, hak mempetisyen presiden termaktub dalam perlembagaannya supaya orang ramai dapat mengetengahkan pelbagai isu untuk perhatian negara itu.

Bagi memudahkan orang ramai, Rumah Putih menyediakan sebuah laman khas atas talian.

Antara pelbagai petisyen dikemukakan terhadap Obama (kiri), petisyen berkaitan Anwar menjadi antara yang paling banyak mendapat sokongan setakat ini.

Keputusan Mahkamah Persekutuan semalam mengundang kebimbangan antarabangsa terhadap ketelusan sistem kehakiman Malaysia.

AS turut menyatakan perkara itu melalui kenyataan jurucakap Rumah Putih Bernadette Meehan.
 

Majlis Peguam persoal kejanggalan kes Anwar



Presiden Majlis Peguam Christopher Leong berkata terdapat beberapa perkara janggal dalam tuduhan Liwat II yang membangkitkan persepsi bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dianiaya.

Leong dalam kenyataannya berkata, Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 377A.

Seksyen 377B memperuntukkan bahawa individu yang melakukan kesalahan seperti dinyatakan dalam Seksyen 377A boleh dihukum untuk tempoh yang mungkin dilanjutkan sehingga 20 tahun, dan boleh dirotan.

"Penting untuk diperhatikan bahawa Anwar tidak didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat secara paksa atau liwat rogol, walau mungkin terdapat dakwaan berlaku paksaan semasa dalam persidangan.

“Ini juga menyebabkan timbul persoalan atau kebimbangan, mengapa pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang didakwa menyertai perlakuan liwat itu tidak didakwa kerana bersubahat mengikut Seksyen 377A dan 377B, dan dibaca bersama dengan Seksyen 109 Kanun Keseksaan," said Leong.

Katanya, undang-undang itu jarang sekali digunakan untuk pendakwaann, namun Anwar tetap didakwa dan disabitkan dua kali atas satu kesalahan di mana tuduhan itu mengandungi elemen paksaan.

Hal ini menambahkan lagi kesangsian dalam kes ini, katanya.

"Kejanggalan yang jelas ini membangkitkan persepsi bahawa Anwar dianiaya dan bukan didakwa,” kata Leong.