Saturday, 13 April 2013

Anggota Polis Mengaku Tidak Bersalah Sembunyi Maklumat Pengganas

TAWAU: Seorang anggota polis yang menghadapi pertuduhan sengaja tidak memberi maklumat mengenai pengganas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini Jumaat.
Koperal Hassan Ali Basari, 55, berasal dari Semporna, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Cawangan Khas Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu pada 9 Februari hingga 3 Mac lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim P. Ravinthran yang mendengar kes itu menetapkan 24 hingga 28 Jun untuk perbicaraan.
Hassan yang digari dan dipakaikan 'straight jacket' kelihatan tenang sepanjang prosiding.
Dia diwakili peguam Kamarudin Mohd Chinki manakala barisan pendakwaan diketuai Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
Kamarudin pada awalnya memohon mahkamah mempertimbangkan supaya membenarkan isteri Hassan bertemu dengan anak guamnya kerana sejak ditahan mereka dilarang berbuat demikian.
Ravinthran bagaimanapun menasihatkan Kamarudin supaya membuat permohonan rasmi berkenaan perkara berkenaan.
Selain itu, Abdul Gani memberitahu mahkamah perbicaraan kes itu akan melibatkan lebih 10 saksi dan tidak akan dibicara bersama dengan kes lain yang turut melibatkan keganasan di Lahad Datu.
Dalam prosiding hari ini juga, sepuluh lagi warga Filipina berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Sebelum ini, dua warga Filipina menghadapi tuduhan yang sama.
Mereka yang didakwa melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong ialah Masir Aidin, Ismail Yasin, Anwar Salib Akhmad, Binhar Salib Akhmad, Virgilio Nemar Patulada @ Mohammad Alam Patulada, Salib Akhmad Emali, Wazir Osman@Abdul, Abd Hadi Mawan, Tani Lahad Dahi dan Julham Rashid.
Semua mereka turut didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas bersama seorang lagi tertuduh Aiman Radie.
Salib Akhmad turut didakwa atas pertuduhan merekrut orang sebagai anggota kumpulan pengganas dan melindungi pengganas.
Bagi pertuduhan-pertuduhan berkenaan masing-masing didakwa melakukan kesalahan itu antara 9 Februari hingga 13 Mac lalu di beberapa lokasi iaitu di Kampung Tanduo (daerah Lahad Datu); Kampung Perigi (daerah Semporna); Kampung Madai Kunak (daerah Kunak); Ladang Atlas 2, Jalan Ulu Tungku (daerah Lahad Datu) dan Kampung Bakau (daerah Semporna).
Tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Ravinthran menetapkan 14 Mei untuk pengurusan kes kesemua tertuduh.
Mahkamah turut menetapkan tarikh yang sama untuk mendengar pengakuan lapan lagi warga Filipina yang telah didakwa di Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Pengakuan Atik Hussin Abu Bakar dan Basad Manuel yang didakwa melancarkan perang dan menganggotai kumpulan pengganas masih tidak direkodkan hari ini kerana mahkamah perlu meneliti kebenaran pelantikan dua peguam untuk mewakili kedua tertuduh.
Peguam Abdul Ghani Zelika dilantik untuk mewakili Atik Hussin manakala Ram Singh bagi pihak Basad.
Enam tertuduh lagi iaitu Lin Mad Salleh, Holland Kalbi, Habil Suhaili dan Timhar Hadir, Kadir Uyung dan Lating Tiong masih tidak diwakili peguam dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Lin, Holland, Habil dan Timhar Hadir didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas manakala Kadir dan Lating didakwa cuba melindungi sekumpulan pengganas.
-BERNAMA

HUSAM MUSA MENANG SAMAN NST

Mohd Rashidi Hassan,12 Apr 2013

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menang dalam samannya terhadap akhbar The New Straits Times, dalam satu keputusan yang dibuat hakim Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur sebentar tadi.

Hakim Datuk Su Geok Yiam membenarkan tuntutan Husam dengan mengarahkan pihak NST membayar gantirugi terhadap Husam yang ditohmah terbabit dalam penyelewengan dan salah guna kuasa di Kelantan.

Peguam yang mewakili Husam, Md Yunos Shariff berkata, pihak mahkamah menetapkan tarikh 17 Mei depan untuk membincangkan pengurusan kes dan segala aspek berkaitan gantirugi.