Tuesday, 21 January 2014

Petisyen: Mahkamah Benar Permohonan Bantahan Awal Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini dibenar membangkitkan bantahan awal petisyen pilihan raya yang difailkan PKR untuk membatalkan keputusan bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).
Hakim Pilihan Raya Datuk Hasnah Mohammed Hashim membuat keputusan itu selepas menolak permohonan untuk menentang permohonan Ahmad Zahid bagi membangkitkan bantahan awal, yang difailkan calon PKR Madhi Hasan dan pengundi Azmi Sulaiman.
Mahkamah menetapkan pada Rabu untuk mendengar bantahan awal Ahmad Zahid itu yang juga anggota Parlimen Bagan Datoh.
Hakim dalam keputusannya berkata Mahkamah Persekutuan, semasa rayuan berhubung petisyen pilihan raya, tidak menetapkan isu yang dibangkitkan dalam bantahan awal Ahmad Zahid, sehubungan itu mahkamah membenarkan permohonan bantahan awal menteri itu.
Hasnah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Syed Faisal Syed Abdullah yang mewakili Ahmad Zahid manakala Edmund Bon mewakili kedua-dua pempetisyen (Madhi dan Azmi).
Pada 23 Disember 2013, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya yang difailkan kedua-dua pempetisyen itu diremit semula ke Mahkamah Pilihan Raya untuk mendengar merit kes.
Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan petisyen pilihan raya yang difailkan PKR.
PKR memfailkan rayuan itu di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Pilihan Raya di Ipoh menolak petisyen itu.
Ahmad Zahid calon Barisan Nasional memperoleh majoriti 2,108 undi mengalahkan calon PKR, Madhi pada PRU13 bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh. - BERNAMA

Keputusan Permohonan DAP Batal Saman Asoghan Ditunda 14 Mac

GEORGE TOWN: Keputusan permohonan DAP untuk membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan bekas Ketua Cawangan Bagan Luar DAP, G. Asoghan berhubung isu pemecatannya sebagai anggota parti, ditunda kepada 14 Mac.
Penundaan itu dicadangkan Andy Ooi, peguam yang mewakili Karpal Singh dengan alasan beliau tidak dapat hadir untuk mendengar keputusan Mahkamah Sesyen kerana terpaksa menghadiri perbicaraan kes di Mahkamah Persekutuan.
Menurut Ooi, Karpal Singh ingin mendengar sendiri keputusan mahkamah yang ditetapkan Selasa, namun tidak dapat hadir kerana urusan perbicaraan lain.
Cadangan itu dipersetujui Hakim Mahmud Abdullah dan peguam Asoghan, V. Amareson.
Pada Jun tahun lepas, Asoghan, 56, selaku plaintif memfailkan saman berkenaan dan menamakan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Tan Kok Wai dan Setiausahanya Tai Sing Piau serta anggota jawatankuasa parti itu M.
Kulasegaran, Dr P.Ramasamy dan Lim Hock Seng sebagai defendan.
Asoghan mendakwa pemecatannya tidak sah kerana Pendaftar Pertubuhan (ROS)tidak mengiktiraf Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang dilantik melalui pemilihan pada 15 Dis 2012. BERNAMA