Tuesday, 28 April 2015

Zaid: Ku Li yang kamu perlu, Mahathir



Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan calon terbaik untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berundur, kata bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim.

Bekas menteri undang-undang itu berkata Muhyiddin sebagai pemimpin nombor dua belum tentu akan melaksanakan pembaharuan dan membatalkan apa yang dilaksanakan Najib dalam tahun-tahun terakhir ini.

Zaid (kanan) berkata Muhyiddin mungkin tidak akan mendedahkan segala-galanya berkaitan isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan menghukum pihak yang bersalah tidak kira siapa.

“Ini sebabnya kenapa saya percaya Mahathir mahu pemimpin lebih baik dan lebih bertanggungjawab pada tahun-tahun akan datang—dan pada masa sama menamatkan wabak rasuah dan meningkatkan kualiti instituti awam—pilihan pengganti harus tidak lain tidak bukan Tengku Razaleigh Hamzah,” katanya.

Tengku Razaleigh, yang lebih dikenali sebagai Ku Li, seperti Mahathir, seorang veteran Umno.

Razaleigh pernah berkhidmat sebagai bekas menteri kewangan ketika era pentadbiran Mahathir.

Beliau mencabar Mahathir sebagai presiden Umno pada 1987 tetapi tewas tipis.

'Dr M tak minat pemimpin terbaik Umno'



Naib Presiden PKR Rafizi Ramli percaya, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berminat melantik tokoh yang bersih di kalangan pemimpin Umno sebagai perdana menteri akan datang.

"Kepada Dr Mahathir, apa yang penting bukanlah seorang pemimpin yang boleh berkhidmat kepada rakyat. Itu bukan isunya.

"Apa yang dimahukan ialah meletakkan seorang perdana menteri yang boleh menerima arahan dan menjaga kepentingan beliau dan Umno," katanya kepadaMalaysiakini.

Rafizi mengulas cadangan bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim (gambar) yang mencadangan nama ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon untuk menggantikan Datuk Seri Najib Razak.