Wednesday, 21 January 2015

Kes Bunuh Altantuya: Sirul Ditahan Di Australia


Diterbitkan: Rabu, 21 Januari 2015 11:01 AM
Sirul Azhar Umar.
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Koperal Sirul Azhar Umar yang didapati bersalah atas sabitan kes bunuh model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, ditahan oleh pegawai imigresen di Queensland, Australia, lapor  ABC News pada Rabu.

Menurut agensi berita itu, Sirul, 43, diletakkan dibawah jagaan pegawai Imigresen di Brisbane semalaman selepas Interpol mengeluarkan notis merah terhadapnya.

Notis merah Interpol bermaksud usaha mencari serta menangkap individu yang dikehendaki tersebut akan dilakukan oleh suatu bidang kuasa kehakiman atau tribunal antarabangsa, dengan tujuan untuk mengekstradisi.

Kalimah Allah: Permohonan Gereja Roman Katolik Ditolak


Diterbitkan: Rabu, 21 Januari 2015 11:46 AM
  (Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak permintaan Gereja Roman Katolik yang mahukan lebih ramai panel hakim bagi mendengar semula permohonannya berhubung kes kalimah Allah.
Penerbitan mingguannya, The Herald menghantar permohonan pada Rabu dalam usaha pihak gereja untuk mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan perintah Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah Allah adalah tidak mengikut undang-undang.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong mengetuai panel lima hakim yang terdiri daripada Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Ramly Ali dan Datuk Azahar Mohamed untuk mendengar permohonan tersebut pada Rabu.

Pihak The Herald diketuai oleh Datuk Dr Cyrus Das.

Pada 14 Oktober 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan dan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009.

Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun tahun lalu yang menolak permohonan gereja itu untuk mendapatkan kebenaran merayu berikutan keputusan majoriti 4-3 panel tujuh hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Gereja Roman Katolik, yang ketika itu dipimpin Ketua Paderi Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 2009 dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.

Ahli Perniagaan Bergelar 'Datuk Seri' Dikhuatiri Mati Terbakar


Diterbitkan: Selasa, 20 Januari 2015 7:00 AM
  (Ubah saiz teks)
GEORGE TOWN: Mayat terbakar seorang lelaki yang ditemui terbaring berhampiran hutan di Lumut, Perak dipercayai adalah seorang ahli perniagaan dari Bukit Mertajam yang dianugerahkan gelaran 'Datuk Seri'.

Difahamkan lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an itu dilaporkan hilang sejak minggu lepas.

Beliau kali terakhir dilihat dilarikan oleh lelaki daripada dua buah kereta ketika mahu meninggalkan pusat refleksologi kaki di Bukit Mertajam pada Rabu.

Siasatan awal polis mendapati kedua-dua kereta itu yang menggunakan plat nombor pendaftaran palsu melalui plaza tol Changkat Jering, Perak.