Tuesday, 5 May 2015

Anwar Ibrahim Fail Semakan Untuk Ketepikan Sabitan Liwat, Penjara


Diterbitkan: Khamis, 30 April 2015 4:56 PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim melambai kepada para penyokongnya di luar mahkamah hari ini. - Foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT
  (Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, pada Khamis memfailkan permohonan semakan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara itu atas alasan wujud ketidakadilan.
Notis usul itu yang dilampirkan bersama-sama afidavit sokongan Anwar setebal sembilan muka surat difailkan di pusat sehenti Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan di sini oleh peguam belanya N. Surendran.
Dalam pemohonan itu, Anwar, 67, meminta Mahkamah Persekutuan membatalkan Peraturan 137, Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 untuk mengetepikan keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan bagi kesalahan meliwat dan hukuman lima tahun penjara diputuskan terhadap Anwar oleh Mahkamah Rayuan.
Sebagai pilihan, beliau memohon Mahkamah Persekutuan mendengar semula rayuannya atas meritnya sendiri.
Dalam afidavit itu, Anwar berkata penghakiman disampaikan oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb tahun ini wajar disemak semula untuk mencegah ketidakadilan.

Ambiga kecam 'pengecut tak berwajah'



Menceritakan pengalamannya ditahan semalaman, bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, beliau tidak menyimpan dendam terhadap anggota polis atas alasan mereka hanya mengikuti arahan.

Bagaimanapun, Ambiga menuding kepada ketua-ketua mereka di Bukit Aman.

"Bagi saya, orang yang tidak berwajah dan tidak bernama ini yang memberikan arahan adalah pengecut sebenar. Tindakan mereka adalah berdasarkan agenda yang ditetapkan dan ini bukan kepolisan profesional.

"Anggota polis di bawah melayan kami dengan baik dan berterusan memberitahu kami bahawa mereka mengikuti arahan. Perselisihan saya bukan dengan mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Ambiga berkata walaupun diminta datang ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada malam Jumaat lalu kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan anti-GST, tetapi kenyataan beliau hanya dirakam beberapa jam kemudiannya.

"Apabila saya menerima panggilan pada malam itu, peguam saya dan saya bertanya kepada polis mengapa tidak boleh tunggu sehingga keesokannya.

'Jangan harap Dr M akan sokong Pakatan'



Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata bapanya tidak akan menyokong pembangkang walaupun sering memberikan pandangan yang mengkritik kepimpinan Umno.

Beliau yang juga bekas timbalan menteri berkata pandangan yang diberikan Tun Dr Mahathir adalah demi kebaikan Umno dan bukan melemahkan parti tersebut.

"Tak timbul langsung isu di mana Tun menyokong pembangkang. Tapi saya tengok pembangkang nakal juga, ada poster kata dia (Mahathir) akan datang berkempen untuk Pakatan di Rompin dan Permatang Pauh, pergi demonstrasi di depan Sogo untuk himpunan anti-GST. Itu karut.

"Dia ada pandangannya tapi pandangannya untuk kekuatan parti, tidak sesekali untuk kelemahan parti. Jadi jangan harap dia akan sokong Pakatan," katanya dalam satu sidang media selepas Majlis Kenduri Rakyat di Tanah Liat, Permatang Pauh.

Mukhriz ditanya tentang kritikan Dr Mahathir terhadap kerajaan dan Perdana Menteri yang menyebabkan pakatan pembangkang menganggapnya sebagai "De facto Opposition Leader".

Dr Mahathir sebelum ini pernah digesa mengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tindakannya yang sering mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.