Wednesday 18 December 2013

Suami Isteri Bebas Tuduhan Cederakan Amah Warga Indonesia

JOHOR BAHARU: Mahkamah Tinggi di sini, Rabu melepaskan dan membebaskan sepasang suami isteri terhadap tuduhan menyebabkan kecederaan parah dan memperdagang amah mereka, antara Julai dan September tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Samsudin Hassan membenarkan rayuan Mohd Shukur Suradi, 29, dan isterinya Daeng Norulasyikin Bachok, 28, untuk mengetepikan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan terhadap Mohd Shukur manakala isterinya yang dihukum penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 19 Jun lepas.
Hakim Mahkamah Sesyen telah memutuskan Mohd Shukur, seorang ahli perniagaan dan isterinya seorang guru didapati bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap Marsini, 22, dengan menggunakan pisau, kayu golf, penyangkut baju, tali pinggang, air panas, minyak panas, senduk panas serta sudu panas bagi pertuduhan berkenaan.
Dalam penghakimannya, Samsudin berkata Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam mensabitkan tuduhan itu selain terdapat kecamukan dalam keterangan beberapa saksi dan sejarah sakit mangsa juga tidak mempunyai sokongan.
Beliau berkata terdapat tiga elemen yang perlu dibuktikan bagi tuduhan menyebabkan kecederaan parah iaitu kedua-dua perayu sengaja mendatangkan kecederaan parah ke atas mangsa, cedera parah itu disebabkan senjata atau alat yang boleh menyebabkan kematian serta perbuatan kedua-dua perayu adalah secara bersama.
"Keterangan pegawai siasatan pula hanya semata-mata hasil siasatan dan tidak mempunyai keterangan langsung yang mengaitkan perayu dengan mangsa serta keterangannya juga tidak padat untuk mengaitkan kedua-dua perayu dengan kecederaan yang dihadapi mangsa," katanya.
Samsudin berkata terdapat kecamukan keterangan memandangkan pihak pendakwaan melonggokkan kecederaan lama dan baharu bersekali dalam tempoh kejadian berlaku sehingga menyebabkan wujudnya prejudis untuk mensabitkan pertuduhan menyebabkan kecederaan parah.
Mengenai tuduhan memperdagang Marsini, Samsudin berkata mahkamah mendapati kedua-dua perayu mempunyai ejen bagi mendapatkan pembantu rumah dan tiada keterangan bahawa mangsa diambil dan disimpan bagi tujuan perhambaan.
"Oleh itu, rayuan kedua-dua perayu dibenarkan dan sabitan terhadap mereka diketepikan. Kedua-dua perayu dibebas dan dilepaskan atas kedua-dua tuduhan berkenaan," katanya.
Pasangan itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman mereka di Nombor 7, Jalan Utama 5, Taman D Utama, Perling, di sini, antara Julai dan 23 September 2012 dan dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.
Masing-masing dikenakan hukuman penjara 10 tahun terhadap tuduhan memperdagang Marsini pada pukul 12 tengah hari, pada tarikh dan alamat sama dan didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda oleh Mahkamah Sesyen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rahimah Abdul Majid manakala Mohd Shukur dan Daeng Norulasyikin diwakili peguam Muhammad Ashraf Mohd Diah. -BERNAMA

Mahkamah Tolak Saman Fitnah Gardenia Terhadap Seorang Pengguna

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menolak dengan kos, saman fitnah yang dikemukakan sebuah syarikat pembuat dan pengeluar roti, membabitkan penemuan seekor cicak dalam roti yang dibeli seorang pengguna pada 6 Januari lepas.
Hakim Sabariah Othman dalam penghakimannya berkata kenyataan dan gambar yang dikeluarkan jurulatih sumber manusia, Lau Kian Eng, 42, berhubung perkara itu seperti yang diterbitkan dalam lima akhbar berbahasa Cina pada 29 Mac lepas, tidak merujuk kepada plaintif, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd.
Pada masa sama, katanya, plaintif juga gagal mengemukakan sebarang keterangan daripada saksi bebas untuk menyokong dakwaannya itu.
Gardenia Bakeries memfailkan saman fitnah terhadap Lau pada 6 Ogos lepas, menerusi Tetuan Raja, Darryl dan Loh berhubung sidang media Lau pada 28 Mac lepas, yang dikatakan memfitnah syarikat itu berhubung penemuan cicak dalam roti.
Sidang media itu dibuat Lau ekoran penemuan seekor cicak dalam sebungkus roti putih yang dibelinya pada 6 Jan lepas, di sebuah pasar raya di Bukit Tinggi,Klang.
Plaintif mendakwa gambar-gambar beg mengandungi roti yang dikemukakan Lau seperti yang diterbitkan di akhbar, menjejaskan reputasi perniagaan plaintif, sehingga menyebabkan kerugian besar.
Ini kerana, katanya, gambar beg berwarna biru dan merah yang mengandungi roti itu mudah dikenal pasti sebagai roti yang dihasilkan plaintif (Gardenia).
Selain daripada menuntut ganti rugi termasuk ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, plantif juga mahukan satu injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menyiarkan selanjutnya sebarang kenyataan atau gambar yang memfitnah plaintif.
Dalam kenyataan pembelaan, Lau mendakwa gambar beg roti yang diterbitkan dalam akhbar berkenaan telah dikaburkan, dan tidak dapat dikenal pasti.
Beliau juga mendakwa anak perempuannya mengalami ciri-birit akibat termakan roti mengandungi cicak itu.
Sementara itu, peguam yang mewakili Lau, Sreekant Pillai berkata anak guamnya tidak memohon sebarang ganti rugi dalam kes itu tetapi hanya mahu siasatan penuh dijalankan plaintif untuk mengenal pasti punca aduan yang dikemukakan. - BERNAMA

Tukang Cat Didenda Guna IC Palsu Sebagai Saksi Upacara Perkahwinan

Tukang Cat Didenda Guna IC Palsu Sebagai Saksi Upacara Perkahwinan
PUTRAJAYA: Seorang tukang cat didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menggunakan kad pengenalan palsu semasa mendaftar sebagai saksi untuk satu upacara perkahwinan bagi satu pasangan imigran.
Ong Kok Keong, 46, yang merupakan rakyat tempatan ditahan ketika dia cuba untuk mendaftar sebagai saksi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Dia dituduh kerana menggunakan kad pengenalan yang didaftarkan atas nama Lai Kar Ching.
Ong mengaku melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 25(1)(e) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) di cawangan penguatkuasaan dan penyiasatan jabatan itu pada pukul 12.45 tengah hari pada 16 Disember dan mengaku bersalah di mahkamah.
Ong, yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman denda kepadanya dan bukan hukuman penjara.
Dia berhadapan dengan denda maksimum RM20,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Tolonglah denda saya, saya tidak mahu masuk penjara. Saya bekerja sebagai tukang cat dengan upah RM100 sehari. Saya ada ibu dan isteri untuk saya tanggung," katanya pada Selasa.
Pegawai pendakwa bagi jabatan itu, Sulaiman Ghamat berkata, isu kad pengenalan palsu merupakan perkara melibatkan kepentingan rakyat dan memohon mahkamah memutuskan hukuman sebagai pengajaran.
Majistret Nur Dahlia Azmi meluluskan hukuman dan mengarahkan Ong dikenakan hukuman penjara lima bulan sekiranya dia gagal membayar denda.

Empat Lelaki Didakwa Bunuh Remaja Yang Disyaki Curi Tabung Masjid

KUALA LUMPUR: Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini Selasa atas pertuduhan membunuh seorang remaja yang disyaki mencuri tabung masjid, dua minggu lepas.
Pengurus Keselamatan Mohamad Yusof Mohamad, 39, dan tiga lagi pengawal keselamatan Mohd Aswenry Majon, 26, Iweldo Putra, 19, dan Pondri Neriko, 20, didakwa membunuh Mohamad Shah Reza Fauzi, 20, di tangga tepi pagar Masjid Al-Azim, Jalan Pandan Indah, Ampang Jaya dekat sini pada 5 pagi, 3 Disember lepas.
Tiada pengakuan dicatatkan daripada kesemua tertuduh yang berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan 17 Feb depan untuk sebutan, sementara menunggu laporan bedah siasat.
Sementara itu, Iweldo dan Pondri dari Indonesia turut dijatuhi hukuman penjara selama setahun dan dikenakan dua sebatan selepas mengaku bersalah kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah untuk masuk ke Malaysia.
Ayuni mmerintahkan Iweldo dan Pondri menjalani hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 3 Disember lepas.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Pandan Indah 4/8, Pandan Indah, Ampang Jaya dekat sini pada 2.30 petang, 3 Disember lepas di bawah Akta Imigresen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene dan kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA