Monday 8 June 2015

'Jangan lantik saya lagi dalam PAS'- Malaysiakini

'Jangan lantik saya lagi dalam PAS'


Tiada tanda-tanda PAS akan berpecah susulan pembersihan penuh kumpulan ulama dalam parti itu susulan keputusan pemilihan Jumaat lalu.

Tetapi mungkinkah pemimpin yang dianggap daripada kem pencabar presiden Ahmad Awang perlahan-lahan menjarakkan diri daripada kepimpinan pusat?

Ketika Mazlan Aliman, satu-satunya calon pro-Pakatan Rakyat yang terpilih,  masih berkira-kira meletakkan jawatan, pemimpin muda PAS daripada Sarawak Abang Ahmad Kerdee Masagus pula
mengumumkan haluannya.

Setelah 12 tahun terlibat dalam kepimpinan pelbagai peringkat, Ahmad Kerdee berkata beliau kini tidak akan menerima lagi sebarang pelantikan ke dalam PAS negeri, sayap Pemuda mahupun jawatankuasa pusat.

Dalam kenyataannya, beliau memberikan alasan mahu memberi tumpuan terhadap dua kawasan pilihan raya PAS di Sarawak, iaitu Beting Maro dan Sebuyau.

“Keputusan ini pada saya, yang terbaik untuk diri saya buat masa ini.

“Boleh jadi sahabat-sahabat dan teman- teman pimpinan punya pandangan yang berbeza, saya mohon untuk dihormati pendirian ini dan beri peluang kepada saya bergerak ke hadapan dalam 'zon khas' bagi sesi ini.

Jawatan terakhir peguam itu sebagai anggota jawatankuasa pusat. Beliau juga anak Sarawak pertama dilantik ke jawatan itu.

Dalam pemilihan kali ini beliau bertanding mempertahankan jawatannya tetapi kalah selepas kumpulan proulama mencapai kemenangan besar hampir seratus peratus.

Kemelut: PKR akan runding dengan DAP, PAS- Malaysiakini



PKR akan berunding dengan sekutu mereka PAS dan DAP susulan kemelut yang melanda kedua-dua parti itu.

Bagaimanapun tarikh pertemuan itu hanya akan diumumkan kemudian, kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR hari ini bermesyuarat di ibu pejabatnya di Petaling Jaya susulan muktamar PAS menerima usul putus hubungan dengan DAP.

Berbeza dengan Kelantan dan Pulau Pinang, kerajaan Selangor pimpinan PKR berpotensi hilang jika Pakatan berpecah.

Sementara itu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan PAS dan DAP di parlimen dalam masa terdekat.

Beliau bagaimanapun berkata perlu pergi ke Sabah terlebih dahulu susulan bencana alam yang berlaku.

“Kami akan bertemu (dengan PAS dan DAP) di parlimen, kami akan bertemu secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu tamat.

Azizah juga ditanya mengenai kemungkinan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) menubuhkan parti Islam baru minggu depan dan mahu bergabung dengan Pakatan.

“PasMa masih NGO, (untuk masuk Pakatan) kita harus mesyuarat terlebih dahulu,” katanya ringkas.

Mesyuarat PKR hari ini berlangsung kira-kira empat jam susulan kemelut itu.