Wednesday, 29 July 2015

Muhyiddin digamit untuk 'kerajaan peralihan'-Malaysiakini



Sekumpulan anggota parlimen pembangkang cuba meraih sokongan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan sebagai timbalan perdana menteri untuk mengadakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Sudah sampai masanya beliau (Muhyiddin) dan kumpulan beliau serta ahli-ahli parlimen BN yang lain yang cintakan negara menyokong satu usaha menubuhkan kerajaan peralihan melalui satu undi tidak percaya kepada Najib,” kata mereka.

Dalam kenyataan bersama 16 anggota parlimen pembangkang, termasuk bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, mereka mencadangkan penubuhan sebuah 'kerajaan peralihan' setelah undi tidak percaya dibuat.

Mereka berkata tindakan itu perlu diambil memandangkan pelbagai desas-desus pergolakan politik dalaman Umno, termasuk isu 1MDB dan pengguguran Muhyiddin daripada jawatannya.

“Kedegilan Najib untuk terus berkuasa akan mengheret negara dengan ketidaktentuan selagi ia tidak diselesaikan segera,” kata pemimpin-pemimpin PKR, DAP dan Gerakan Harapan Baru (GBH) itu.

GBH, yang diketuai Mohamad, ditubuhkan sebagai wadah untuk merintis penubuhan sebuah parti Islam baru dan gabungan pembangkang baru.

Ia digerakkan oleh kumpulan pemimpin PAS yang tewas dalam pemilihan parti sebelum ini.

Sementara itu, dalam kenyataan itu, mereka mencadangkan beberapa terma untuk tindakan itu, termasuk pelantikan seorang perdana menteri interim daripada kalangan pemimpin terkanan dari tempoh setahun sehingga pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Dalam tempoh itu, mereka juga menuntut “skandal-skandal utama negara” termasuk 1MDB dengan diselesaikan dengan memastikan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan. 
 

'Kalau dah nak lemas, najis pun capai'



Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bermain madah lagi petang ini - dan menariknya ia berlaku pada hari sama rombakan kabinet diumum perdana menteri yang menyaksikan seorang ahli politik Johor tersingkir.

Seperti sifat beliau yang suka berkias, Tunku Ismail berkata, seseorang yang sedang berdepan dengan keadaan "lemas" akan melakukan apa saja untuk menyelamatkan diri.

Langkah itu, kata status di Facebook, termasuklah menggapai "najis".

Memuatkan kenyataan itu secara soal jawab dengan "wartawan" Tunku Ismail ditanya pandangannya mengenai FAM.

 

"Tunku, ada sebarang komen berkenaan bolasepak atau FAM?" tanya wartawan.

Soalan itu dijawab dengan bersahaja oleh TMJ: "Kalau orang dah nak lemas, najis pun dia sanggup capai."

Walaupun itu adalah reaksi Tunku Ismail mengenai FAM, soalan berikutnya daripada wartawan - yang tidak didedahkan identitinya itu - menjadi jawapan beliau lebih menarik.

Wartawan: Apa maksud Tunku?

TMJ: Fikir-fikirkanlah sendiri.

Wartawan: Adakah ini berkenaan bola sepak ataupun berkenaan isu-isu yang lain?

TMJ: (senyum)... Terima kasih.

Bagaimanapun, status tersebut tidak menjelaskan temu bual tersebut diadakan dengan media mana.

TMJ sebelum ini merupakan antara individu yang kuat mengkritik FAM.

Beliau juga menyahut cabaran untuk bertanding jawatan Presiden FAM pada Kongres Tahunan FAM ke-50 tahun lalu walaupun tewas kepada Tunku Abdullah Sultan Ahmad Shah.