Tuesday 4 February 2014

Jongkong Emas: Seorang Lagi Pengarah Syarikat Genneva Didakwa

Bekas Pengarah Genneva Malaysia Sdn Bhd, Ahmad Khairuddin Illias, 55, (tengah) diiringi oleh anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen terhadap dua pertuduhan menerima deposit tanpa lesen membabitkan urusniaga RM5.5 juta di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Selasa.
KUALA LUMPUR: Selepas 15 individu dan 10 syarikat didakwa berkaitan pelaburan jongkong emas, seorang lagi pengarah syarikat Genneva (M) Sdn Bhd dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini kerana menerima deposit tanpa lesen membabitkan urus niaga berjumlah RM5.5 bilion.
Ahmad Khairuddin Illias, 55, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen melalui satu skim yang melibatkan transaksi emas menerusi dua akaun semasa CIMB Islamic Bank Berhad.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Jalan Kuchai Lama di sini antara 10 Januari 2011 dan 1 Oktober 2012.
Ahmad Khairuddin didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) yang dibaca bersama Seksyen 106(1) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Bank Negara Malaysia (BNM) Fahmi Abd Moin tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan mengikut BAFIA amat serius dan melibatkan pengambilan deposit daripada 35,000 orang awam membabitkan jumlah RM5.5 bilion.
Namun, katanya jika mahkamah membenarkan jaminan, beliau menawarkan jaminan sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Fahmi juga memohon supaya kes itu dibicarakan bersama-sama dengan 15 tertuduh lain.
Peguam Mohd Hairani Samsi yang mewakili Ahmad Khairuddin memohon supaya anak guamnya itu dibenarkan diikat jamin atas alasan kes itu melibatkan dokumen yang banyak dan menjadi kesukaran untuk pihaknya berurusan jika tertuduh ditahan di penjara.
Beliau memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM100,000.
Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 20 Feb untuk sebutan dan hujahan berhubung permohonan pendakwaan supaya kes itu dibicarakan bersama.
Dari September 2013 hingga hari ini, BNM telah mendakwa seramai 16 individu dan 10 syarikat terhadap 1,550 pertuduhan berhubung pelaburan jongkong emas membabitkan jumlah RM5.5 bilion. BERNAMA

3 lelaki Bersaudara Didakwa Miliki Pistol Angin dan Syabu

BALIK PULAU: Seorang bapa dan anak lelakinya serta anak saudaranya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini terhadap tiga pertuduhan iaitu memiliki pisau belati, pistol angin dan syabu pada Isnin.
Agil Ariffin, 47, seorang nelayan mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan itu, bagaimanapun anaknya Mohamad Azrin, 19, dan anak saudaranya, Mohamad Nizam Othman, 27, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Najib Ismail.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mereka dituduh bersama-sama memiliki sebilah pisau belati dan sepucuk pistol angin, 50 butir 'ball bearing' serta sembilan butir peluru tanpa kebenaran di No. 267, Mukim 7, Pulau Betong, di sini pada 6.15 petang, 27 Jan lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan boleh disebat serta Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan ketiga, mereka dituduh memiliki syabu seberat 4.14 gram di tempat, masa dan tarikh yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan pertama, Muhammad Najib memutuskan Agil dihukum penjara seminggu bermula dari tarikh tangkap pada 27 Jan lepas dan didenda RM4,000 dan enam bulan penjara jika gagal membayar denda itu.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga hukuman belum diputuskan terhadap tertuduh kerana menunggu laporan kimia dan balistik.
Muhammad Najib turut membenarkan Mohamad Azrin dan Mohamad Nizam masing-masing diikat jamin RM11,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 19 Mac untuk sebutan semula kes.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz dan ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam. BERNAMA

Rogol Gadis Bawah Umur: Pengurus Restoran Dipenjara 12 tahun, Dua Sebatan

Bekas pengurus restoran Riduan Masmud diiringi dua anggota polis selepas mahkamah menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan dua sebatan kerana merogol kanak-kanak berusia 13 tahun, tahun lepas. -foto NORMIMIE DIUN/The Star
KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan terhadap bekas pengurus restoran kerana kesalahan merogol gadis bawah umur yang kemudian dikahwininya.
Hakim Ummu Khaltom Abd Samad memutuskan Riduan Masmud, 40, bersalah merogol pelajar perempuan yang ketika kejadian berumur lingkungan 12 tahun, sekitar 9 pagi hingga 10 pagi di dalam sebuah kereta di tepi jalan dekat kawasan Air Terjun Kionsom di Inanam pada 18 Februari tahun lepas.
Ummu Khaltom berkata bapa kepada empat anak itu juga akan diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun setelah tamat menjalani hukuman itu.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan hukuman ke atas tertuduh ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Beliau turut memerintahkan Riduan membayar wang jaminan RM15,000 dengan dua penjamin yang mana seorang daripada penjamin adalah isterinya.
Terdahulu, Ram Singh, peguam yang mewakili Riduan ketika merayu agar hukuman terhadap anak guamnya diringankan, berkata tiada elemen paksaan dan keganasan dalam kejadian itu selain Riduan telah bertanggungjawab mengahwini gadis itu serta menjaga keluarganya.
Beliau berkata Riduan juga menghadapi tiga pertuduhan rasuah di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu kerana memberi rasuah kepada bapa mangsa pada April tahun lepas, yang dijangka bersidang bulan ini.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin berkata tertuduh tidak boleh menggunakan alasan perkahwinan untuk melarikan diri daripada kes rogol yang dilakukannya sebelum mengahwini gadis itu.
Raja Zaizul Faridah berkata berikutan kejadian itu, gadis berkenaan tidak lagi bersekolah selain menjadi suri rumah dalam usia muda.
Sementara itu, ibu saudara mangsa dalam nada sebak ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu berharap hukuman itu akan menjadi pengajaran kepada tertuduh.
"Saya harap anak saudara saya dapat kembali bersekolah selepas memohon untuk bercerai. Saya tahu dia amat tertekan dengan apa yang sudah berlaku sehingga tidak dapat menyambung pelajaran di sekolah menengah," katanya.
Beliau berharap dapat kembali menjaga anak saudaranya itu yang kini tinggal bersama bapanya agar beliau dapat meneruskan cita-cita untuk menjadi seorang doktor memandangkan mempunyai keputusan yang baik dalam peperiksaan.
Pada 20 Mei tahun lepas, Riduan memberitahu mahkamah dia sudah mengahwini gadis itu, bagaimanapun pada 6 Jun tahun lepas Jabatan Peguam Negara berkata pendakwaan terhadap pengurus restoran itu akan diteruskan.
Hadir selaku peguam pemerhati ialah Mary Lee bagi Sabah Women's Action Resource Group, Women's Centre for Change, Penang, Sisters in Islam dan Mama Anne of Bukit Harapan manakala peguam Mary Florence Gomez bagi Persatuan Undang-undang Sabah dan Voice of the Children Malaysia. - BERNAMA