Friday 2 January 2015

AirAsia QZ8501: Misi Pencarian Disambung Dengan Kapal Lebih Besar


Diterbitkan: Jumaat, 2 Januari 2015 9:53 AM
  (Ubah saiz teks)
JAKARTA: Operasi pencarian pesawat QZ8501 AirAsia Indonesia memasuki hari kelima hari ini dengan Agensi SAR Nasional (BASARNAS) mengerahkan kapal melawan ombak, KN SAR Purworejo 101 yang mampu mengharungi ombak setinggi tiga meter ke lokasi pencarian.

KN SAR Purworejo 101 dilapor bersiap-siap untuk berlayar ke lokasi pencarian dari Pelabuhan Kumai, Kalimantan Tengah, bagi menggantikan kapal KN SAR 224 yang berukuran lebih kecil.

"Kapal ini akan belayar dua-duanya," kata Komandan Pasukan Khas BASARNAS, Charles Batlajery di Pelabuhan Kumai.

Edar Dadah: Lelaki Nigeria Ke Tali Gantung


Diterbitkan: Selasa, 30 Disember 2014 4:45 PM
  (Ubah saiz teks)
SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Nigeria dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 2150.4 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, empat tahun lepas.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu ke atas Ibe Godwin Uzochukwu, 37, setelah berpuas hati dengan hujahan pihak pendakwaan yang berjaya mengemukakan kes melampaui keraguan munasabah.
Abdul Halim dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati pembelaan tertuduh lebih bersifat penafian semata-mata.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Laluan Keluar, Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA, kira-kira pukul 4.30 petang pada 1 Julai 2011.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2), akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.
Sebanyak enam orang saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil sepanjang kes perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam bela Luqman Mazlan.

'Datuk' Terselamat Daripada Cubaan Bunuh Malam Tahun Baharu


Diterbitkan: Khamis, 1 Januari 2015 8:49 AM
Keadaan di lokasi kejadian.
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Seorang yang bergelar Datuk mengalami kecederaan di kaki selepas terkena tembakan yang dilepaskan terhadapnya di Bandar Rahman Putra, Sungai Buloh di sini.

Difahamkan Datuk berusia 49 tahun itu sedang berada di rumahnya di Bandar Rahman Putra apabila dua lelaki menaiki motosikal cuba untuk membunuhnya, kira-kira pukul 10 malam Rabu.

Temubual dengan jiran-jiran mendedahkan bahawa mereka telah mendengar kira-kira empat hingga lima kali tembakan dilepaskan di kawasan perumahan sekitar waktu kejadian.

Dipercayai dua lelaki terbabit telah melarikan diri selepas anak perempuan Datuk berkenaan, yang didakwa menyaksikan kejadian itu, menjerit meminta bantuan.

Sumber berkata, dua peluru telah menembusi bahagian kaki Datuk berkenaan. Terdapat juga dua kesan tembakan pada keretanya.