Wednesday, 26 August 2015

Berhenti bermimpi jadi pahlawan, Najib



719
 Radzi Razak      23 May 2015, 7:00 pm      23 May 2015, 9:03 pm

  
Bekas Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Affifuddin Omar menggamatkan dewan tempat sebuah forum diadakan di Petaling Jaya hari ini apabila meminta perdana menteri berhenti bermimpi kononnya beliau seorang pahlawan Bugis.
Kata Affifuddin, keadaan itu kerana orang Bugis juga dikenali sebagai lanun.
Menurut beliau yang kini aktif menulis novel, kenyataan berulang kali Datuk Seri Najib Razak untuk tidak mahu mengalah walaupun berdepan kritikan hebat kelihatan lompong kerana beliau tidak menjawab tuduhan yang ditujukan.
"Orang Bugis tak melawan sangat dulu. Yang kuat melawan, orang Aceh. Orang Aceh dok diam (tak ke mana-mana) saja.
"Orang Bugis (berlayar) di laut selalu menyamun saja.
"(Jadi), tak payah bermimpi jadi pahlawan Bugis. Saya pun ada darah Minang," katanya.
PAC tak ada kuasa
Sementara itu, Afiffudin juga berkata, kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang hangat ketika ini mungkin menandakan berakhirnya hayat politik Najib dan UMNO.
"Pihak yang tampil menyokong beliau adalah pemimpin bahagian tetapi ahli tahu apa yang berlaku di peringkat bawahan, terutama dalam pilihan raya kecil Rompin lalu.
Affifuddin juga menyokong desakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu akaun 1MDB diaudit dengan teliti tanpa bergantung hanya kepada siasatan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC).
Kata Affifuddin, pengalaman menjadi Pengerusi PAC mengajar beliau bahawa jawatankuasa itu tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menyiasat secara bebas serta berkesan.
"Ketika saya mempengerusikan PAC, kami tidak membuat semakan forensik. Kami cuma membincangkan laporan Ketua Audit Negara.
"Jika mereka (kerajaan) meminta pengaudit menyembunyikan sesuatu, kami tidak boleh berbuat apa-apa. Skop PAC terhad. Kami tak ada kuasa memanggil sesiapa dan kami juga tidak ada kuasa mendakwa," katanya.
Affifuddin juga bertanya mengapa Najib dipaksa menjawab setiap dakwaan mengenai 1MDB ketika ada pihak lain yang turut terlibat.
Sambil menunjukkan dokumen mengenai syarikat tajaan kerajaan itu, Affifuddin berkata, ada ramai orang bergelar Datuk dan Tan Sri dari UMNO yang dilantik sebagai ahli lembaga serta penasihat 1MDB.
"Mengapa mereka berdiam diri? Mereka juga patut disiasat. Gergasi korporat ini hanya berdiam diri dan mengapa mereka tidak pernah memberikan jawapan?" katanya.

Peserta BERSIH boleh dapat perlindungan di 3 gereja



3
 25 Aug 2015, 10:34 pm      Hari ini, 12:40 am

  
Archbishop Kuala Lumpur Julian Leow mengesahkan bahawa tiga buah gereja Katolik di Kuala Lumpur akan membuka pintu mereka kepada peserta BERSIH 4 yang ingin mendapatkan perlindungan.
Katanya, atas semangat perikemanusiaan, Gereja Katolik telah memutuskan untuk membenarkan St John Cathedral di Bukit Nanas, Gereja St Anthony di Pudu dan Gereja Fatima di Brickfields menjadi tempat perlindungan ketika perhimpunan BERSIH 4.
Dalam satu kenyataan, Leow juga menjelaskan bahawa Gereja Katolik tidak memihak kepada mana-mana organisasi politik dan gereja itu telah berdoa untuk kesejahteraan negara tercinta ini.
Sebelum ini, Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah berkata, tiga gereja akan membuka pintu kepada peserta perhimpunan itu yang memerlukan perlindungan.
Ini telah membawa kepada kebimbangan bahawa tindakan akan diambil terhadap tiga gereja berkenaan.
Perhimpunan BERSIH 4 akan bermula pada jam 2 petang Sabtu dan berterusan selama 34 jam.
Selain menggesa Perdana Menteri Datuk Najib Abdul Razak berundur ekoran kontroversi 1MDB, penganjur perhimpunan itu berkata, mereka juga menuntut pembaharuan institusi untuk membasmi rasuah.

Sultan: Selesaikan kejatuhan amat teruk ringgit



25.9K2419
 25 Aug 2015, 1:32 pm      25 Aug 2015, 8:30 pm

  
Peka pada rintihan rakyat, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah kerajaan perlu menangani keadaan politik dan ekonomi yang tidak stabil.
Baginda bertitah, walaupun raja tidak boleh mencampuri politik, baginda tetap bertanggungjawab memastikan kehidupan rakyat Johor dalam keadaan baik, maju dan makmur.
“Oleh itu saya menggesa kepada pihak kerajaan yang memerintah supaya segera menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi sekarang ini, antaranya mengenai kejatuhan nilai ringgit yang amat teruk,” titah baginda.
Ringgit sekarang jatuh melebihi paras RM4 untuk sedolar Amerika Syarikat, prestasi terburuk dalam 17 tahun.
Laporan menyebut ia antaranya berpunca daripada kejatuhan harga komoditi, pengaruh matawang China, jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat serta keadaan politik yang tidak stabil.
Baginda bertitah demikian sempena hari ulang tahun Rejimen Gerak Khas yang ke-50. Petikan ucapan itu dimuat naik ke Facebook Johor Southern Tigers hari ini.
Urusan orang Johor
Sementara itu, mengulas penggunaan istilah Bangsa Johor, Sultan Ibrahim bertitah bahawa ia bukan istilah atau konsep baru.
Malah, titah baginda, lagu negeri sendiri dinamakan “Lagu Bangsa Johor”.
“Oleh itu, kepada orang luar yang tidak tahu sejarah Johor, Saya nasihatkan supaya jangan masuk campur dalam urusan orang Johor.
“Saya berharap rakyat bangsa Johor yang berbilang agama dan keturunan akan hidup harmoni dan bersatu padu demi untuk kemakmuran dan keamanan Negeri Johor Darul Ta'zim,” titah baginda lagi.