PETALING JAYA: Langkah Interpol mengeluarkan waran tangkap terhadap cendekiawan Islam terkenal, Dr Yusuf Al-Qaradawi kerana dikatakan terbabit dengan kegiatan kumpulan Ikhwanul Muslimin yang diharamkan Mesir sewajarnya perlu mendapat perhatian dan tindakan segera pemimpin dunia.
Berdasarkan laporan sebelum ini, notis merah terhadap Yusuf, 88, sudah dikeluarkan awal bulan ini bagi membolehkan pihak berkuasa kehakiman Mesir mendakwa dan menghukum tokoh terkemuka warga Mesir dan Qatar itu.
Tindakan Interpol itu antaranya kerana beliau dituduh menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri daripada penjara, selain aktiviti vendalisme dan kecurian.
Mengambil maklum pentingnya peranan Yusuf terhadap dunia Islam, Yayasan Rights tampil mempertahankan tokoh itu yang disifatkan sebagai simbol suara demokrasi ulung yang berusaha keras membentuk dunia yang demokratik terutama di timur tengah.
Pengerusi Yayasan Rights, Yusmadi Yusoff berkata, pemimpin dunia terutama negara Islam perlu bangkit membantah permohonan waran tersebut.