Tuesday 10 December 2013

Mahkamah Persekutuan Perintah Petisyen Pilihan Raya Machang Didengar Semula

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya yang difail Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membatalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Machang pada pilihan raya umum ke-13 didengar semula.
Panel lima hakim diketuai Tun Arifin Zakaria membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan calon PKR Wan Zawawi Wan Ismail bagi mengetepikan perintah Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan petisyennya pada 16 Julai lepas.
Dalam penghakimannya, Arifin berkata hakim pilihan raya tidak sepatutnya membatalkan pertisyen itu atas alasan pempetisyen gagal mematuhi beberapa peraturan mengikut Kaedah 9 dan Kaedah 34 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.
Arifin, yang bersidang bersama-sama Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop dan Datuk Hasan Lah berkata Mahkamah Pilihan Raya perlu mendengar kes itu berdasarkan merit.
Beliau kemudian menetapkan 17 Dis sebagai pengurusan kes bagi petisyen itu.Mahkamah Pilihan Raya membatalkan petisyen Wan Zawawi selepas membenarkan bantahan awal peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili responden.
Wan Zawawi menamakan Anggota Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden.
Ahmad Jazlan, yang juga Ketua Umno Bahagian Machang, menewaskan Wan Zawawi dengan majoriti 805 undi pada pilihan raya umum ke-13.
Pada prosiding pada Selasa, panel sama menolak lima rayuan berkaitan petisyen pilihan raya selepas mendengar hujah pihak berkaitan.
Tiga daripada petisyen itu difail oleh PAS bagi kerusi Dewan Undangan Pasir Panjang, Manong dan Rungkup di Perak manakala dua oleh BN bagi kerusi Parlimen Bachok dan kerusi Dewan Undangan Negeri Jelawat di Kelantan.
Sementara itu, satu lagi panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif turut menolak petisyen pilihan raya PAS bagi kerusi Dewan Undangan Selama.
Md Raus, yang bersidang bersama-sama Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Seri Abu Samah Nordin, membuat keputusan itu selepas peguam pempetisyen Mohd Akmal Kamaruddin tidak hadir ke mahkamah.
Rayuan itu ditolak dengan kos RM20,000.
Mahkamah itu turut menetapkan 23 Disember ini untuk memutuskan petisyen pilihan raya bagi kawasan Parlimen Bagan Datoh, Sungai Besar, Tapah dan kerusi Dewan Undangan Negeri Lubok Merbau. -BERNAMA

Bekas Pengerusi NFCorp Dipanggil Semula Beri Keterangan

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail akan dipanggil semula untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes tipu ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail membabitkan wang berjumlah RM1.755 juta.
Hakim Mahkamah Sesyen Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pembelaan untuk memanggil semula Mohamad Salleh mengikut Seksyen 162 Kanun Tatacara Jenayah.
Mahkamah menetapkan 20 Februari tahun depan untuk mendengar keterangan beliau.
Terdahulu, peguam Kamarul Hisham Kamaruddin memaklumkan pihaknya akan menyoal balas saksi ke-42 itu berhubung peranan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang namanya disebut dalam kelima-lima pertuduhan terhadap Shamsubahrin.
Pada 26 November lepas, Rozilah meminda lima pertuduhan itu mengikut Seksyen 158 Kanun Tatacara Jenayah dengan memasukkan nama Dr Mahathir apabila memutuskan Shamsubahrin perlu membela diri terhadap pertuduhan menipu itu selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Shamsubahrin didakwa menipu iaitu menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat dengan menyatakan dia disuruh Dr Mahathir bagi membantu Mohamad Salleh serta menawarkan untuk menjalankan kerja-kerja konsultan bernilai RM2.75 juta sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Sid's Pub di H2, Taman Tunku, Off Langkat Tunku di sini pada 6 petang 20 November 2011 mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pindaan kedua hingga kelima, Shamsubahrin didakwa menipu iaitu secara tidak jujur memujuk Mohamad Salleh dengan menyatakan dia disuruh Dr Mahathir membantu dan menawarkan untuk melakukan kerja-kerja konsultan.
Perbuatan itu mendorong Mohamad Salleh menyerahkan empat keping cek yang kesemuanya bernilai RM1.755 juta dan mempercayai sebahagian daripada wang itu adalah untuk bayaran perkhidmatan rundingan, nasihat serta diberi kepada pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Perdana bagi menutup kes yang sedang disiasat berkaitan NFCorp.
Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di beberapa bank di Taman Tun Dr Ismail; Kuala Lumpur City Centre (KLCC); dan Petaling Jaya antara 25 Nov dan 5 Disember 2011.
Shamsubahrin didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dia juga diperintah membela diri terhadap 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.755 juta mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. -BERNAMA